Peserta yang menyertai Kursus Pengurusan dan Pengendalian Aduan
Peserta yang menyertai Kursus Pengurusan dan Pengendalian Aduan

Klang: Majlis Perbandaran Klang (MPK) sentiasa memperkasakan kemahiran kakitangan ketika berhadapan dan berurusan dengan aduan pelanggan meliputi aspek kemahiran komunikasi mantap yang berkeyakinan.

Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata, tatacara penampilan diri yang profesional dan kemahiran dalam pengurusan aduan akan meningkatkan persepsi positif pelanggan terhadap imej selain reputasi Majlis bakal bergelar bandaraya tidak lama lagi.

Menurutnya, komitmen pengurusan dan kakitangan untuk mendengar serta menyelesaikan isu-isu perbandaran dan melihat aduan sebagai suatu peluang untuk penambahbaikan adalah antara elemen diterapkan dalam Kursus Pengurusan dan Pengendalian Aduan MPK 2023 baru-baru ini.

"Beberapa slot penting dimasukkan antaranya 'Sharing Knowledge' Aduan,'Mistery Shopping' Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Budaya Integriti Dalam Pengurusan Aduan dan Sistem I-Responz'.

"Kita turut memasukkan Pembangunan Pengurusan Integriti Aduan MPK dan Kajian Semula Pengurusan Aduan Kategori serta Aduan Tertunggak Dan Berulang," katanya pada kursus yang dirasmikan oleh Setiausaha MPK, Zaireezal Ahmad Zainuddin itu.

Norfiza berkata, pelbagai aktiviti berkumpulan diadakan bagi mengeratkan lagi hubungan di kalangan Pegawai Perhubungan Pengaduan Awam (PPPA) yang menjadi tulang belakang kepada kelancaran proses aduan di MPK. Tambahnya, pihaknya sentiasa memberi perhatian untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan dengan memberi tumpuan kepada perkhidmatan pelanggan yang menjadi teras kepada kecemerlangan organisasi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 11:33 PM