Klang: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengadakan kempen pengurangan kompaun lalu lintas kepada orang ramai yang mempunyai tunggakan kompaun di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Bayaran denda RM15 dikenakan bagi semua kesalahan membabitkan Kompaun Letak Kereta dan Kompaun Halangan Lalulintas bermula hari ini sehingga 30 Jun kelak.

Ketua Komunikasi Korporat MPK Norfiza Mahfiz berkata, tawaran khas bagi kompaun letak kereta ditawarkan sebelum ini mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

“Kempen ini juga secara tidak langsung membantu pelanggan yang tidak berkesempatan untuk menjelaskan kompaun mereka terdahulu supaya melangsaikan hutang berkenaan.

“Orang ramai disaran mengambil peluang ini untuk membayar kompaun sebelum tamat tempoh tawaran diskaun,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Norfiza berkata, orang ramai juga boleh membuat semakan di kaunter Dewan Hamzah MPK, Pejabat Cawangan Tengku Kelana dan kaunter van bergerak manakala bayaran boleh dibuat di semua kaunter bayaran MPK.

Menurutnya, semakan dan bayaran juga boleh dibuat pada hari Sabtu dan Ahad di kaunter pasar raya terpilih antaranya di AEON Jusco Bukit Tinggi pada 27 hingga 28 Jun, AEON Jusco Bukit Raja(13 hingga 14 Jun), Giant Hypermarket Bukit Tinggi (20 hingga 21 Jun) dan AEON BIG di Jalan Kapar (6 hingga 7 Jun).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2015 @ 7:50 AM