BEBERAPA kepingan simen projek pembinaan LRT 3 jatuh menimpa khemah peniaga pasar borong di Kompleks Pasar Meru. FOTO ihsan MPK
BEBERAPA kepingan simen projek pembinaan LRT 3 jatuh menimpa khemah peniaga pasar borong di Kompleks Pasar Meru. FOTO ihsan MPK
Ruwaida Md Zain


Klang: Beberapa kepingan simen dari projek pembinaan landasan Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3) dilaporkan jatuh menimpa khemah peniaga pasar borong di Kompleks Pasar Meru, di sini, pagi tadi.

Pengarah Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Klang (MPK), Norfiza Mahfiz berkata, kejadian pada jam 9.30 pagi itu membabitkan empat khemah, bagaimanapun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

"Pihak MPK memaklumkan kepada pihak LRT mengenai kejadian berkenaan dan mereka memberhentikan kerja-kerja pembinaan serta-merta.

"MPK juga sudah mengarahkan peniaga terkesan menutup gerai mereka serta-merta dan berpindah ke petak kosong berhampiran yang selamat.

"Tiada sebarang kecederaan berlaku kepada orang awam dan peniaga sewaktu kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Norfiza berkata, difahamkan kejadian berlaku sewaktu kerja 'hacking' dilakukan oleh Emrail Sdn Bhd (EMSB) dan didapati sebahagian kepingan simen itu jatuh di atas khemah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2022 @ 4:21 PM