Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


MENJALIN hubungan 'mesra' atau 'bonding' dengan haiwan peliharaan antara perkara pertama yang perlu dilakukan pemilik bagi memastikan ia manja dan mudah diurus.

Menurut peminat haiwan eksotik, Fatin Nadhira Mohd Noor, 28, rutin berkenaan sangat penting terutama buat mereka yang pertama kali mengendalikan haiwan eksotik.

Dia yang memelihara dua jenis haiwan eksotik kecil seperti landak mini dan sugar glider melihat rutin bermesra dengan haiwan kesayangan sangat penting dalam memastikan haiwan terbabit tidak stres serta mampu hidup dalam persekitaran tidak menentu.

"Saya terbabit dengan hobi memelihara haiwan eksotik hampir 10 tahun lalu sejak belajar di kolej sehingga sekarang kerana tertarik dengan karakter haiwan eksotik dan rupanya yang unik.

"Malah, saya selesa mengendalikan landak mini dan sugar glider kerana kedua-dua haiwan ini saiznya kecil selain mudah untuk dipelihara dalam rumah atau dibawa keluar bersiar-siar.

"Bagi saya untuk pelihara haiwan eksotik, langkah pelihara seawal usia anak lagi penting supaya boleh jinakkan dengan sesi 'bonding'," katanya.

Kata Fatin Nadhira, sugar glider sebaiknya dipelihara ketika usianya tiga bulan ke atas sementara bagi landak duri ialah dua bulan ke atas.

"Lagi kecil lagi baik, tetapi untuk sugar glider biasanya saya sarankan mula pelihara usia tiga bulan ke atas kerana sudah boleh makan sendiri.

"Untuk landak duri pula saya bela sejak usia dua bulan kerana sudah pandai makan sendiri.

BIASAKAN memegang dan bermain dengan sugar glider untuk ia jinak.
BIASAKAN memegang dan bermain dengan sugar glider untuk ia jinak.

"Jika diambil terlalu kecil dan belum boleh makan sendiri, pemilik akan berdepan kesukaran terutama mereka yang baharu berjinak-jinak kerana kurang pengalaman," katanya.

Tambah Fatin Nadhira, proses menjinakkan haiwan eksotik adalah berbeza mengikut karakter dan sifat haiwan terbabit.

"Setiap haiwan ada karakter dan ciri-ciri masing-masing terutama dalam memahami ia tergolong dalam spesies yang mana.

BOLEH pegang landak duri.
BOLEH pegang landak duri.

"Saya pelihara dua haiwan kecil ini, tetapi sifat kedua-duanya sangat berbeza. Seperti sugar glider yang saya pelihara ini baharu mencecah usia sebulan perlu dipelihara sepasang kerana haiwan ini hidup dalam koloni.

"Meskipun kedua-duanya mempunyai cara 'bonding' hampir sama iaitu boleh diletakkan dalam beg kecil, tetapi cara hidup dua spesies ini berlainan.

"Berbeza dengan landak mini yang sangat 'teritorial' dan tidak boleh berkongsi sangkar dengan haiwan lain meskipun sama spesies atau berlainan jantina.

"Penting sediakan keperluan asas haiwan mengikut ciri-ciri atau karakter kerana keadaan itu membantu mengurangkan stres haiwan terbabit di awal tempoh peliharaan," katanya.

Menjelaskan secara terperinci kaedah digunakan dalam menjinakkan haiwan peliharaannya, kongsi Fatin, dia akan memastikan setiap hari dapat meluangkan masa bermain atau 'membelai' haiwan kesayangannya.

FATIN ketika membersihkan landak mini dipeliharanya.
FATIN ketika membersihkan landak mini dipeliharanya.

"Ramai juga bertanya tip saya jinakkan landak duri, sebenarnya landak duri ini ada sisi lembut iaitu apabila dia berasa tidak terancam, durinya akan 'menguncup' dan ketika itu pemilik boleh memegangnya.

"Saya akan memegang dari bawah badannya seperti kedudukan tangan 'menadah' mengambil air supaya landak duri tidak terkejut. Saya akan letak ia atas riba meskipun sedang bekerja atau meletakkan ia dalam beg ketika memasak.

"Landak mini ini biasa dengan bau badan. Ia turut mempunyai deria bau yang kuat dan saya perasan kalau saya pakai minyak wangi baharu, mulutnya akan mengeluarkan buih," katanya.

Sementara untuk sugar glider, kata Fatin Nadhira, dia turut membawa haiwan berkenaan bersiar-siar atau keluar bersama ketika membeli-belah supaya dapat membiasakan diri dengan persekitaran yang berbeza.

SESI ‘bonding’ Fatin bersama sugar glider miliknya.
SESI ‘bonding’ Fatin bersama sugar glider miliknya.

"Sugar glider pula biasanya saya akan guna teknik 'bonding'

dengan cara masukkan tangan dalam beg khas yang diletakkan haiwan itu. Letakkan tangan sehingga berpeluh dan biarkan sugar glider jilat peluh.

"Selain itu, kerap bermain seperti 'menguli' kepala sugar glider supaya ia biasa dengan bau badan dan menjadi jinak," katanya.

Meskipun haiwan terbabit memberi reaksi agresif, pengalaman Fatin, dia tidak melatah sebaliknya meneruskan rutin terbabit sehingga haiwan selesa dengannya.

"Pada mulanya memang susah atau akan ada insiden tercedera atau luka-luka, tetapi pemilik perlu terus usaha menjinakkannya kerana itu membantu anda kelak.

"Sebenarnya haiwan ini perlu latihan konsisten supaya ia mengenal dan tidak berasa takut. Haiwan ini ada sisi manja dan

'menundukkannya' juga satu kepuasan buat pemilik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 7:01 AM