ANTARA makanan kegemaran Dormouse.
ANTARA makanan kegemaran Dormouse.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


MINAT pemilik nama Norfazliana Mohd Roslan, 33, ini cukup berbeza.

Usahawan dalam talian dari Kuantan, Pahang ini lebih tertarik dengan kecomelan tupai mini Afrika, Dormouse yang agak jarang sekali dijadikan haiwan peliharaan.

Memiliki sepasang tupai mini Afrika seakan-akan tikus kecil yang diberi nama Minie dan Mikie sejak empat bulan lalu, Norfazliana mengakui haiwan itu mudah dijaga serta tidak banyak ragam.

"Selain itu, saya juga tertarik kerana saiznya yang comel dan ia juga pemakan buah-buahan.

"Kebetulan sama tabiat pemakanannya dengan haiwan peliharaan lain yang sedia ada," katanya.

Menurut Norfazliana, dia membeli haiwan itu daripada kenalan di laman sosial dan ia tidak memerlukan lesen untuk membelanya.

Katanya, disebabkan ia sejenis spesies yang 'rare', tidak ramai yang membelanya di negaranya (asal Afrika) apatah lagi untuk mendapatkannya dari kedai haiwan.

"Buat ketika ini, saya meletakkan Minie dan Mikie dalam sebuah akuarium khas yang dihias dengan pelbagai keperluan habitat haiwan itu.

AKUARIUM khas untuk keselesaan Minie dan Mikie.
AKUARIUM khas untuk keselesaan Minie dan Mikie.

"Selain itu, akuarium berkenaan juga perlu dipasang tali bagi membolehkan Minie dan Mikie memanjat serta bermain.

"Ini kerana di habitat asal haiwan berkenaan memang suka memanjat," katanya.

Seperti mana haiwan lain, ia juga mengambil masa untuk dijinakkan.

Norfazliana berkata, semua haiwan peliharaan mudah dijinakkan jika pemiliknya kerap meluangkan masa bermain dengan haiwan itu.

"Setiap kali ada masa terluang, memang saya akan bermain dengan Minie dan Mikie.

"Saya percaya komunikasi dan masa itu penting antara pemilik dengan haiwan yang dibela," katanya yang turut memelihara musang, sugar glider, hedgehog dan kucing sebagai hobi.

JINAK dan manja.
JINAK dan manja.

Menyentuh mengenai kos penjagaan, Norfazliana berkata, makanan utama haiwan berkenaan adalah buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang, campuran seed (makanan hamster), telur, serangga seperti cengkerik dan sebagainya.

Katanya, ada ketika dia turut membuat campuran smoothie (isi ayam dan buah-buahan) untuk mempelbagaikan makanan untuk haiwan kesayangannya itu.

"Namun, Minie dan Mikie hanya makan pada sebelah malam kerana di sebelah siang haiwan itu hanya tidur.

"Untuk mengelakkan Minie dan Mikie sakit perut, buah-buahan yang jenis masam tidak boleh diberi kerana ia boleh menyebabkan haiwan itu cirit-birit," katanya.

Jelas Norfazliana lagi, haiwan itu mungkin membahayakan kanak-kanak jika ia tidak jinak atau tidak biasa dengan keadaan sekeliling.

"Jadi, elakkan daripada membiarkan kanak-kanak bermain dengannya jika mereka tidak biasa kerana haiwan ini boleh menggigit.

MINIE dan Mikie aktif pada sebelah malam.
MINIE dan Mikie aktif pada sebelah malam.

"Gigitan itu antara salah satu cara untuk Dormouse mempertahankan diri apabila ia berasa terancam,"katanya.

Sementara itu, Norfazliana berkata, dia bertuah kerana keluarganya juga menyukai haiwan dan mereka turut menghulurkan bantuan dalam soal penjagaan.

Katanya, memelihara apa jenis haiwan peliharaan sekali pun memerlukan komitmen kewangan dan masa.

"Ia juga perlukan minat, kasih sayang yang tidak berbelah bagi, bukan setakat suka sebulan dua.

"Bukan itu sahaja, sebaiknya pemilik juga perlu ada ilmu kerana penjagaannya akan membabitkan soal kebajikan haiwan itu sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2023 @ 7:00 AM