SAYURAN dicampurkan kalsium untuk hidangan bearded dragon milik Aida.
SAYURAN dicampurkan kalsium untuk hidangan bearded dragon milik Aida.
Hafiz Ithnin

Meskipun kelihatan menggerutu terutama di bahagian kolarnya, ia sememangnya mempunyai peminat tersendiri untuk dijadikan haiwan peliharaan kesayangan.

Mempunyai nama saintifik, Pogona vitticeps atau turut dikenali dengan beberapa nama seperti 'bearded dragon' atau 'central bearded dragon', reptilia dalam keluarga cicak itu mudah ditemui di Australia.

Mampu mempunyai panjang antara 0.4 meter (16 inci) hingga 0.6 meter (24 inci), bearded dragon boleh dikatakan sebagai haiwan kesayangan yang perlu diberi perhatian khusus dalam penjagaannya.

Ia kerana, bearded dragon yang aktif pada sebelah siang dan secara semula jadinya hidup di kawasan panas selain amat mementingkan suhu yang sesuai serta tahap pencahayaan yang baik.

Menerusi perkongsian maklumat daripada portal The Spruce Pets, bearded dragon yang dipelihara memerlukan suhu antara 35 hingga 43 darjah Celsius.

Justeru, pemilik memerlukan termometer untuk mengetahui tahap suhu di dalam bekas yang menempatkan haiwan terbabit.

BEARDED dragon dimandikan dan dikenakan cahaya matahari.
BEARDED dragon dimandikan dan dikenakan cahaya matahari.

Tidak sekadar itu, bearded dragon juga memerlukan pencahayaan yang sesuai dan pemilik harus memasang lampu sinar ultra ungu (UV) pada sebelah siang. Sebaik-baiknya 12 jam pada sebelah siang dan 12 jam gelap setiap hari.

Dalam kehidupan liarnya, bearded dragon dalam kategori omnivor yang menjadikan serangga kecil dan tumbuh-tumbuhan sebagai diet.

Menurut portal itu lagi, bearded dragon dewasa perlu diberi makanan sekurang-kurangnya sekali sehari dan untuk anak pula tiga kali sehari.

Haiwan kesayangan yang boleh hidup secara purata antara enam hingga 10 tahun itu juga mudah diserang penyakit iaitu metabolisme tulang kerana nisbah kalsium dan fosforus yang tidak seimbang.

Akibat penyakit itu, tulang bearded dragon menjadi lembut dan mudah patah. Tidak sekadar itu, ia juga boleh mendapat jangkitan kuman yang menyerang bahagian pernafasan.

Selain itu, bearded dragon juga mudah mendapat serangan jangkitan penghadaman kerana memakan serangga yang tidak sesuai terutama berciri keras.

RUANG simpanan bearded dragon perlu ringkas.
RUANG simpanan bearded dragon perlu ringkas.

Bagi peminat bearded dragon tempatan, Aida Syahira Rozman, 30, dia mula memiliki bearded dragon sejak enam tahun lalu.

Jelasnya, bearded dragon pertamanya dibeli daripada seorang pembiak tempatan pada harga RM200 dan kini dia hanya mempunyai lima ekor haiwan berkenaan masing-masing tiga jantan dan dua betina.

"Dalam tempoh enam tahun itu, saya sudah mempunyai 10 ekor bearded dragon tetapi ada yang sudah mati dan kini hanya tinggal lima ekor sahaja.

"Membela bearded dragon memerlukan penjagaan yang khusus kerana memerlukan suhu yang sesuai dan diet yang betul. Jika tidak, ia mudah mati," katanya.

Aida Syahira berkata, salah satu bearded dragon miliknya sudah berusia tiga bulan yang diberi nama sebagai Waseem dan selebihnya pula berusia antara satu hingga empat tahun.

"Bearded dragon mempunyai pelbagai morf (jenis kulit, warna kuku, saiz badan dan corak badan) antaranya normal, hypo, trans, dunner, zero, paradox, albino, wero dan letherback.

"Lebih sukar mendapatkan morf daripada pembiak tempatan kerana harga lebih mahal. Malah, ada yang dijual sehingga RM10,000 seekor," katanya.

BEARDED dragon mempunyai keunikan tersendiri.
BEARDED dragon mempunyai keunikan tersendiri.

Jelasnya lagi, keunikan morf mempengaruhi harga jualan pembiak atau pemilik kepada mereka yang meminatinya.

Jelasnya, bearded dragon tidak memerlukan lesen jika ingin dipelihara dan haiwan itu meskipun kelihatan ganas namun sebenarnya manja jika sudah mengenali pemiliknya.

"Sebagai pemilik, kita perlu sentiasa dekat dengannya dan memahami tingkah laku haiwan ini supaya tidak menggigit jika ingin bermain dengannya.

"Antara tingkah laku yang perlu saya fahami ialah apabila bearded dragon dalam situasi ingin menyerang, ia akan mengembangkan kolar di lehernya," katanya.

Tambahnya, apabila bearded dragon sudah mengenali pemilik, ia bersifat manja seperti kucing yang sentiasa minta dibelai.

"Saya lihat bearded dragon mempunyai keunikan tersendiri kerana dikenali sebagai haiwan peliharaan eksotik yang nampak ganas di permukaan kulit menggerutu tetapi sebenarnya mempunyai mulut seperti tersenyum.

SETIAP bearded dragon tidak boleh tinggal dalam tempat yang sama.
SETIAP bearded dragon tidak boleh tinggal dalam tempat yang sama.

"Jujurnya, haiwan ini adalah jenis omnivor yang mungkin boleh menyerang pemilik. Justeru, kita perlu bersifat berhati-hati dan seperti dimaklumkan pada awal, pemilik perlu faham tingkah lakunya," katanya.

Dari segi diet bearded dragon miliknya, Aida Syahira memberi makanan serangga seperti lipas dubia, lipas turkestan, ulat BSF dan 'superworm.'

Untuk diet sayur-sayuran pula, dia memberikan sawi bok choy, timun, lada benggala, lobak, brokoli dan labu. Selain buahan-buahan seperti betik, strawberi, beri biru dan mangga.

"Dalam seminggu, dua atau tiga kali saya akan memberi makanan seperti telur rebus, ayam rebus dan bunga raya sebagai snek kepada bearded dragon.

"Bagi menjaga kesihatan di dalam dietnya, saya taburkan serbuk kalsium khas untuk reptilia yang dicampurkan di dalam makanan sekali sehari untuk lima hari dalam tempoh seminggu supaya tidak mendapat penyakit metabolisme tulang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 7:00 AM