FERET boleh jadi jinak dan dibelai.
FERET boleh jadi jinak dan dibelai.
Nurul Husna Mahmud


Feret adalah mamalia jenis mustela putorius furo yang mana dalam spesies haiwan itu, saiz badan jantannya lebih besar berbanding betina.

Ia sering menjadi pilihan kebanyakan pemilik haiwan di Eropah untuk dijadikan 'teman' perburuan seperi mana anjing atau helang.

Fakta menarik itu dikongsi peminat haiwan eksotik, Sulaiman Badrol Hisham yang juga seorang renjer di G2G Animal Garden, Serdang, Selangor.

Menurut pemuda berusia 23 tahun itu yang berjinak-jinak dengan haiwan eksotik sejak tahun 2016, dia begitu berminat dengan feret kerana haiwan berkenaan mempunyai keistimewaan tersendiri sebagai haiwan peliharaan dan boleh menjadi 'sejinak' kucing jika dilatih.

SULAIMAN menyifatkan feret boleh menjadi haiwan peliharaan di rumah seperti kucing dan anjing.
SULAIMAN menyifatkan feret boleh menjadi haiwan peliharaan di rumah seperti kucing dan anjing.

"Feret ini kalau hendak gambarkan ciri-ciri terdekat dengan haiwan peliharaan dari segi pengalaman menjaga dan pelihara, saya rasa kucing atau anjing.

"Haiwan ini berbulu dan suka bermain. Lihat keletahnya yang terlompat-lompat apatah lagi gemar mengejar haiwan seperti tikus dan arnab. Tidak ubah seperti sifat haiwan 'bulus' yang dipelihara dalam rumah.

"Cumanya ia bukanlah haiwan peliharaan domestik sebaliknya perlu diimport. Kalau dikaji atau dilakukan pencarian mengenai haiwan ini di internet, memang ia antara haiwan peliharaan utama di luar negara, malah meluas digunakan sebagai haiwan untuk berburu.

"Selain itu pemilik tanaman juga memelihara feret bagi memburu arnab dan juga tikus yang dikatakan sebagai haiwan perosak kepada tanaman mereka. Tidak hairanlah di Amerika Syarikat, jumlah feret dipelihara oleh penduduk di sana melebihi 5 juta," katanya.

TIKUS dan arnab antara mangsa atau makanan feret.
TIKUS dan arnab antara mangsa atau makanan feret.

Kata Sulaiman lagi, penjagaan haiwan berkenaan cukup mudah kerana kurang keperluan termasuk tugas membersihkan badannya.

"Feret tidak perlukan penjagaan rapi, cukup sekadar membersihkan telinga selain sekali-sekala bulu disikat untuk memastikan ia bersih. Disebabkan feret haiwan eksotik, jika berinteraksi dengan spesies ini elak untuk menarik ekor ketika mengendalikannya.

"Ini kerana seperti skunk (spesies mamalia yang merembeskan cecair yang berbau busuk), feret juga mempunyai karakter yang sama tetapi dalam keadaan terkawal. Feret memiliki kelenjar bau dan untuk jadi pemilik memang kena biasakan dengan bau haiwan ini.

"Selain itu satu sifat yang juga memberi cabaran kepada pemilik haiwan comel ini ialah gemar membuang najis di sudut tertentu. Jika pemilik memiliki lebih dari seekor, setiap feret peliharaan akan ada sudut kegemaran masing-masing.

CARA memegang yang betul iaitu tidak menarik ekor sebaliknya dipangku memastikan haiwan itu selesa.
CARA memegang yang betul iaitu tidak menarik ekor sebaliknya dipangku memastikan haiwan itu selesa.

"Begitu juga keadaannya jika pelihara seekor. Andai pemilik tidak membersihkan najis di sudut yang sedia digunakan, haiwan itu akan mencari sudut baru untuk membuang najis.

"Feret juga menggunakan air kencing sebagai 'penanda' untuk memperkenalkan diri dan jantina. Bau adalah identiti haiwan ini, malah dengan bau jugalah tanda atau ekpresi perasaan takut serta terkejut," katanya.

Sulaiman yang sudah memelihara haiwan itu lebih setahun berkata, diet haiwan itu juga seperti kucing yang mana memerlukan diet tinggi protein untuk kekal membesar dan sihat.

"Makanan paling mudah ialah bekalkan sumber protein. Setakat ini makanan yang diberi adalah telur, daging ayam dan 'kibbles' (palet khas) untuk pastikan ia mendapat nutrisi mencukupi.

"Elak beri makanan bukan daging kerana feret ialah haiwan karnivor jadi, kalau hendak beri snek perlu pastikan ia adalah daripada sumber protein. Ada pemilik gemar bagi makan macam-macam seperti coklat dan buah tetapi ia bukanlah diet yang baik. Sebaliknya boleh menjejaskan kesihatan haiwan itu," katanya.

MUDAH dijaga selain sesekali perlu dibersihkan badan, bulu harus disikat.
MUDAH dijaga selain sesekali perlu dibersihkan badan, bulu harus disikat.

Cabaran lain kepada peminat haiwan berkenaan adalah harganya kerana ia bukanlah haiwan peliharaan domestik yang mudah didapati di mana-mana.

"Bagi yang mahu berjinak-jinak dengan haiwan ini, kelebihan feret ialah tidak memerlukan sebarang permit atau lesen untuk bela. Ia boleh dibeli dari kedai haiwan eksotik atau pembiak baka.

"Tetapi disebabkan ia spesies eksotik dari luar, harga masih menjadi kekangan utama dalam usaha menjadikannya sebagai binatang peliharaan. Tidak silap saya, nilai pasaran sekarang harga untuk anak sahaja sudah melangkaui RM1,000.

"Jika benar-benar berminat, kena 'melabur' untuk dapatkan feret dan sediakan keperluan lain seperti sangkar untuk haiwan itu tidur serta berehat. Keperluan bulanan seperti makanan, kos masih sama seperti memelihara kucing atau anjing," katanya.

Sulaiman turut memaklumkan saiz feret dewasa boleh mencapai berat sehingga 2.5 kilogram dan mencapai kepanjangan tubuh sehingga 45.72 sentimeter.

SULAIMAN ketika bermain dengan Feret yang dinamakan Kopi kerana tona warna bulunya lebih gelap.
SULAIMAN ketika bermain dengan Feret yang dinamakan Kopi kerana tona warna bulunya lebih gelap.

"Pada saya nilai itu berbaloi kerana feret memiliki ikatan sangat kuat dengan pemilik. Pada saya, ia antara haiwan peliharaan yang bijak dan boleh menjadi penghibur dengan ragamnya yang comel.

"Malah jika di luar negara ada gelaran iaitu 'pencuri kecil' kerana matanya yang bertompok lebih gelap mirip seperti imej perompak mengenakan topeng mata kelihatan begitu nakal," katanya.

Sulaiman berkata, terdapat pelbagai variasi warna termasuklah kategori jarang jumpa atau albino yang harganya jauh lebih tinggi daripada varian biasa.

"Feret juga ada beberapa mutasi warna seperti sable mask, cinnamon, lucy, champange dan banyak lagi. Seperti biasa, setiap mutasi ada nilai tertentu dari harga yang murah sehinggalah paling mahal," katanya.

SULAIMAN mencuci telinga feret.
SULAIMAN mencuci telinga feret.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 6:20 AM