AIMAN melihat biawak sebagai haiwan yang manja.
AIMAN melihat biawak sebagai haiwan yang manja.
Hafiz Ithnin

Biawak air atau nama saintifiknya, Vavanus salvator atau Asian Water Monitor antara haiwan reptilia yang begitu sinonim dalam kalangan kita kerana boleh didapati di kawasan seperti sungai dan parit.

Malah, haiwan pemakan bangkai itu juga mudah didapati bukan sahaja di Malaysia, malah di Sri Lanka, India dan Indonesia.

Biawak air juga mempunyai warna kulit bermula coklat gelap sehingga hitam. Selain itu, biawak air juga mempunyai bintik kuning yang unik pada badannya.

Menerusi sumber reptiledirect.com memaklumkan saiz purata biawak air jantan dewasa mempunyai panjang antara 1.5 meter sehingga lebih 2.4 meter dan betina dewasa melebihi 1.2 meter. Apabila cukup dewasa ia juga boleh mempunyai berat sehingga lebih 68 kilogram.

Dari segi jangka hayatnya sekitar 15 tahun. Jika mempunyai persekitaran dan diet yang baik, biawak air mampu hidup sehingga 20 tahun.

Selain itu, biawak air dianggap sebagai haiwan yang mempunyai kepintaran dan bersifat aktif. Tambahan pula, haiwan itu juga memerlukan tempat untuk menyejukkan diri dan kadangkala gemar berjemur.

BIAWAK yang dibeli daripada pembiak lebih mudah ‘diasuh’.
BIAWAK yang dibeli daripada pembiak lebih mudah ‘diasuh’.

BEELZEBUB adalah biawak pertama dimiliki Aiman.
BEELZEBUB adalah biawak pertama dimiliki Aiman.

Bagaimanapun, jangan hairan sekiranya biawak air turut menjadi antara haiwan peliharaan bagi peminat reptilia kerana ia mempunyai keunikan tersendiri.

Baru-baru ini, penulis berkesempatan menemu bual pemilik dua biawak air tempatan dan turut mempunyai dua lagi biawak yang diimport dari luar negara.

Bagi Mohamad Zulaiman Din, memelihara biawak air memerlukan lesen khas dan bukan sesuatu yang baharu di Malaysia memandangkan ada peminatnya tersendiri.

Pemuda berusia 24 tahun itu memiliki biawak air pertamanya pada 2018 berkata, dia melihat reptilia itu sebagai haiwan peliharaan yang pintar dan manja jika kenal dengan pemiliknya.

"Saya memiliki biawak pertama yang diberi nama Beelzebub ketika usianya tiga bulan daripada pembiak berlesen.

"Membeli dengan pembiak lebih baik berbanding kita mengambilnya daripada habitat asal kerana mungkin sukar dididik untuk lebih mesra dengan pemilik," katanya.

BIAWAK meskipun dilihat liar, tetapi mempunyai peminat yang menjadikan haiwan peliharaan kesayangan.
BIAWAK meskipun dilihat liar, tetapi mempunyai peminat yang menjadikan haiwan peliharaan kesayangan.

Mohamad Zulaiman yang lebih mesra disapa Aiman berkata, pada 2019 dia membeli biawak air kedua dengan diberi nama Lucyfeer.

"Tahun seterusnya saya membeli biawak diimport dari Argentina dan harganya juga boleh tahan lebih mahal dari membeli Beelzebub ketika itu sekitar RM1,100.

"Bagi saya membela biawak ini lebih mudah kerana ia tidak memerlukan perhatian yang khusus. Lebih penting kita perlu sentiasa bermain dengannya supaya haiwan ini dapat mengenal tuan mereka dan tidak menyerang," katanya.

Aiman berkata, dia juga perlu memahami emosi haiwan itu sebelum membawanya keluar bermain dari tempatnya.

"Biasanya saya akan mengetuk dahulu cermin akuarium besar yang menjadi tempat tinggalnya. Melalui gerak-gerinya kita dapat mengetahui sama ada dia ingin bermain atau tidak dengan tuannya.

"Walaupun sudah jinak, tetapi haiwan liar ini tetap kita tidak boleh menjangka tingkah lakunya yang azali. Jadi, saya juga sentiasa berhati-hati dan memastikan ketika bermain dengannnya, pastikan bukan dalam keadaan lapar," katanya.

Katanya, dia memberi makanan daging lembu atau ayam, tikus hidup atau anak burung puyuh sebagai menu kepada biawak kesayangannya.

TEMPAT tinggal biawak peliharaan Aiman.
TEMPAT tinggal biawak peliharaan Aiman.

"Biawak yang dipelihara perlu diberi makanan yang baik dan bersih kerana kita tidak mahu dia mempunyai kuman berbahaya seperti biawak liar yang memakan bangkai.

"Saya juga tidak berbelanja besar dari segi makanan biawak peliharaan ini kerana haiwan itu hanya makan dua hari sekali dengan kos sekitar RM30 seminggu," katanya.

Katanya, jika ingin membela biawak air perkara yang dipelajarinya adalah memastikan tempat peliharaan perlu bersih terutama ruang air yang menjadi lokasi berendam.

"Saya ada juga kawan yang membela biawak air dan begitu pintar dengan membuang air di tandas. Bermakna haiwan ini boleh dididik.

"Malah, mereka juga bijak seperti haiwan peliharaan kesayangan yang lain dan mudah memberi maklum balas apabila kita memanggil namanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 7:00 AM