Muhammad Saufi Hassan


Pengeluar perkakas pengimejan serta pencetak, Canon Marketing Malaysia (Canon) mengumumkan pelancaran inovasi baharu menerusi segmen pencetakan format besar.

  Menerusi pengenalan berkenaan, Canon memperkenalkan tiga pencetak siri imagePROGRAF GP baharu dan tiga pencetak siri imagePROGRAF PRO.

  Siri GP baharu ini diperkenalkan bagi memenuhi keperluan pasaran seni grafik, manakala Siri GP baharu lebih sesuai untuk cetakan imej foto dan cetakan seni halus.

  Ketua Bahagian Penyelesaian Pengimejan Perniagaan (BIS) Canon Marketing Malaysia, Jeffrey Kung berkata, pihaknya memperkenalkan inovasi terkini dalam segmen pencetakan format besar yang direka khusus untuk meningkatkan kualiti cetakan, melicinkan operasi dan menangani keperluan pelanggan yang sentiasa berkembang.

  "Menerusi pelancaran pencetak siri imagePROGRAF GP dan imagePROGRAF PRO baharu ini, kami mengukuhkan lagi kedudukan sebagai penyedia penyelesaian sehenti serta memastikan prestasi luar biasa dan penyelesaian yang mengutamakan alam sekitar.

  "Matlamat kami ialah untuk memperkasakan perniagaan dengan menyediakan alat yang diperlukan oleh mereka untuk merealisasikan visi kreatif," katanya.

  Setiap pencetak berkenaan menggunakan dakwat pigmen LUCIA PRO II baharu yang dibangunkan untuk memberikan kualiti cetakan yang baik bagi menghasilkan poster yang bukan sahaja terang tetapi mampu menarik perhatian, sesuai untuk pengiklanan produk dan memiliki ciri-ciri tahan cahaya dan tahan calar yang lebih baik.   

  Kedua-duanya dilengkapi dengan penutup lut sinar untuk kertas gulung dan tangki dakwat, memudahkan pengguna memeriksa bekalan. 

  Pencahayaan dalamannya membolehkan pengguna memeriksa cetakan yang sedang berjalan dan panelnya yang luas memberikan pandangan jelas baki kertas dan paras dakwat.

  Untuk operasi yang lebih lancar, pencetak ini turut dilengkapi dengan sistem pengesanan dakwat baharu yang memantau keadaan dakwat, memastikan kualiti imej yang tinggi serta menghalang berlakunya peralihan warna. 

  Fungsi 'Smart Roll Paper Set' mengesan sumber kertas, jenis dan anggaran baki kertas secara automatik, mempercepatkan proses suapan kertas dan memudahkan kerja-kerja penyelenggaraan pencetak untuk operasi yang stabil.

  Siri imagePROGRAF GP direka bentuk untuk pencetakan berkelajuan tinggi bagi memenuhi pelbagai segmen pasaran seperti agensi pengiklanan dalaman dan kedai mencetak. 

  Menerusi tujuh dakwat pigmen warna LUCIA PRO II, pencetakan cemerlang dengan penggredan yang licin boleh dicapai, menyokong pencetakan poster bertekstur halus dan berkualiti tinggi. 

  Sementara itu, Siri imagePROGRAF PRO pula menetapkan standard baharu untuk pencetakan dengan menampilkan 12 dakwat pigmen LUCIA PRO II yang memberikan julat warna yang lebih meluas, sesuai untuk cetakan foto dan aplikasi seni halus pada pelbagai media kertas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 12:16 PM