PENCETAK Canon.
PENCETAK Canon.
Muhammad Saufi Hassan


Prihatin terhadap aspek produktiviti, Canon Marketing Malaysia (Canon) memperkenalkan dua pencetak pelbagai fungsi baharu daripada generasi Pixma.

  Menerusi generasi berkenaan, Canon memperkenalkan Pixma Ink Efficient E4570 dan Pixma TR4670S.

  Kedua-dua pencetak kompak ini menawarkan pelbagai ciri produktiviti termasuk Penyuap Dokumen Automatik untuk mendigitalkan dokumen dengan pantas, pencetakan tanpa wayar dengan peranti mudah alih dan arahan suara untuk melaksanakan pelbagai tugas dengan lancar serta saiz katrij dakwat yang versatil untuk memenuhi keperluan penggunaan yang berbeza.

  Ketua Jabatan Produk Sistem Pengguna, Canon Marketing Malaysia Sandy Lee berkata, sejak dua tahun lalu pihaknya sentiasa melakukan evolusi dalam cara bekerja, belajar serta bekerjasama.

  "Apa yang penting dalam cabaran ini adalah untuk menghasilkan peranti yang sesuai dan dapat menyokong pendekatan jarak jauh atau hibrid dengan efektif, supaya pelajar dan pekerja boleh bekerja dengan produktif tidak kira di mana mereka berada."

  "Kami berbangga untuk memperkenalkan penambahan terkini dalam siri E dan TR, yang bukan hanya menawarkan kelebihan penjimatan kos, tetapi juga ciri-ciri binaan berfungsi untuk tujuan pendidikan dan tenaga kerja tanpa mengira lokasi," katanya.\

  Untuk Siri Pixma E ini, ia mampu untuk mencetak sehingga 180 muka surat dengan katrij dakwat hitam PG-47 dan katrij warna CL-57S dengan Pixma E4570.

  Katrij dengan harga berpatutan dan mudah diganti ini direka khas untuk para pelajar dan pejabat di rumah dengan keperluan pencetakan sederhana.

  Siri Pixma TR4670S dilengkapi dengan dua katrij dakwat ekonomi iaitu katrij dakwat hitam PG-745S untuk teks dan lukisan bergaris dan katrij warna CL-7465 untuk grafik.   

  Selain berupaya mencetak, mengimbas, menyalin dan menghantar faks, pencetak ini dilengkapi dengan Penyuap Dokumen Automatik kompak 20 helaian untuk memudahkan pendigitalan kertas kerja penting termasuk kerja sekolah, nota bertulis atau invois ke dalam format imej atau PDF.

  Ia memberi kemudahan kepada pengguna sekali gus menjimat lebih banyak masa dengan pencetak siri E dan TR yang menyokong pencetakan dua sisi automatik, serta mampu menyalin kad pengenalan dengan mudah ke atas satu helaian. Apabila dokumen ditinggalkan di bawah penutup imbasan, pencetak ini akan membunyikan peringatan secara automatik.

  Pengguna juga boleh menikmati pelbagai pilihan pencetakan tanpa sentuh dengan pencetak E4570 dan TR4670S.

  Kedua-dua peranti ini boleh digunakan untuk pencetakan mudah alih melalui Apple AirPrint, Mopria (untuk Android) dan Canon Print Service (plugin Android) untuk cetakan terus.

  Untuk menggunakan lebih banyak fungsi, sambungkan dengan aplikasi Canon Print Inkjet atau SELPHY yang membolehkan pengguna mencetak, menyalin dan mengimbas melalui telefon pintar atau tablet.

  Seiring dengan pencetak baharu ini, Canon turut mengumumkan perisian Easy-Layout Editor baharu yang boleh didapati di platform Sistem Operasi Windows yang membantu dalam penyuntingan  dan susun atur kandungan laman web dan pelbagai jenis fail lain.

  bagi Siri Pixma E4570 dijual bermula 10 Januari lalu dengan harga RM499 manakala untuk siri Pixma TR pada harga RM439.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 9:15 PM