CANON MAXIFY iB4070
CANON MAXIFY iB4070
Oleh Afiq Hanif

Jika anda mempunyai perniagaan kecil yang beroperasi dari rumah atau penggunaan pencetak terlalu kerap dalam kalangan ahli keluarga, anda mungkin boleh memikirkan untuk memiliki Canon Maxify iB4070 yang ternyata memberi kelegaan kepada kerja terbabit.

Siri inkjet Maxify sememangnya disasarkan pejabat di rumah sepenuh masa dan perniagaan kecil. Ia mengelak beberapa ciri yang biasa pada model Pixma Canon seperti pembaca kad memori namun memberi tumpuan semata-mata kepada ciri yang mesra perniagaan seperti keupayaan faks serta berkos rendah.

Pencetak pelbagai guna ini bersaiz 463 x 394 x 290mm yang lebih besar daripada apa yang anda mahu jika diletakkan di meja kerja jadi tempatkannya bersebelahan lebih baik.

Ia mempunyai pengendalian kertas yang baik dengan sepasang dulang untuk memuatkan 250 helai dan sistem auto-dupleks untuk mencetak dua belah mukasurat.

Mengikut manualnya, ia mampu melakukan tugas bulanan maksimum sehingga 30,000 muka surat, tetapi setakat ini penguji mungkin mencetak lebih 10,000 helai sejak menggunakannya sebulan lalu.

Pencetak ini menggunakan antaramuka Maxify Cloud Link yang membolehkan anda mengakses pelbagai perkhidmatan berasaskan ‘cloud’ daripada pencetak anda.

Anda boleh memindah naik dokumen yang diimbas terus ke Evernote, Dropbox, Google Drive, dan OneDrive.

Ia juga menyokong pencetakan cloud Google dan penguji berupaya menghantar dokumen ke pencetak ini dari mana-mana lokasi menggunakan telefon pintar atau laptop berdasarkan aplikasi Maxify Printing Solutions yang dipasang pada iOS.

Mengikut manual juga, aplikasi sama boleh dicapai menggunakan Android atau Windows.

Sudah pasti, ia boleh menyambung kepada rangkaian melalui Ethernet atau WiFi dan secara langsung ke komputer melalui USB.

Penguji mencuba sambungan Ethernet dengan pemacu dipasang pada PC yang beroperasi pada Windows 7.

Kualiti output keseluruhan adalah biasa bagi inkjet, tetapi tidak konsisten antara imej berwarna atau hitam putih.

Kualiti teks lebih baik, namun ia perkara biasa bagi inkjet dan sudah cukup bagus untuk kegunaan perniagaan kecuali individu yang terlalu mencetak pada saiz font yang halus.

Canon iB4070 menghasilkan cetakan pada resolusi imej percetakan maksimum 600 x 1200dpi. Ia bergantung pada dakwat pigmen hitam baru yang menghasilkan teks terperinci.

Kelajuan cetakan maksimum yang diperoleh penguji ialah 31ppm untuk monokrom atau hitam putih manakala jika anda mencetak kertas berwarna, penguji mendapati ia boleh mencetak sehingga 23 muka surat.

INFO

CANON MAXIFY iB4070

- Harga: RM549.08

- Pengeluar: Canon

- Ciri: Pencetak inkjet pejabat

- Pro: Cetakan maksimum harga minimum

- Kontra: Tetapan pemacu kerap gagal

- Laman Web: http://www.canon.com.my/business/products/inkjet-printers

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2015 @ 9:47 AM