GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 3,150 hantaran di pelbagai platform media sosial berunsur penipuan dan pemancingan maklumat (phising) disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Sept tahun ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata, ia membabitkan 2,871 hantaran di Facebook; 254 (WhatsApp); 13 (Instagram); 11 (Telegram); dan satu di TikTok, selain 1,471 membabitkan laman sesawang.

"Memang kuasa SKMM terhad, misalnya untuk kes penipuan kuasa siasatan di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM), tetapi SKMM main peranan penting iaitu kita boleh ambil tindakan apabila dapat informasi daripada PDRM supaya kita boleh padamkan atau turunkan kandungan berunsur penipuan.

"SKMM akan sentiasa bekerjasama rapat dengan PDRM untuk memastikan kita boleh memberi bantuan segera kepada mangsa penipuan," katanya di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak).

Dr Wan Azizah mahu tahu langkah penguatkuasaan undang-undang mengenai bahaya ancaman siber memandangkan ketika ini penjenayah siber mengunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menggodam kata laluan, membocorkan maklumat dan menipu pengguna mengakibatkan pelanggaran data serta kerugian kewangan.

Teo berkata, sebagai langkah proaktif dalam penguatkuasaan undang-undang mengenai bahaya ancaman siber, Kementerian Komunikasi dan Digital melalui Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) sedang meneliti dan membuat pindaan terhadap beberapa aspek berkaitan perlindungan data peribadi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (Akta 709).

Menurutnya antara pindaan Akta 709 yang dicadangkan bagi mengawal ancaman siber ialah mewajibkan pengguna data untuk melantik Pegawai Perlindungan Data, melaporkan insiden kebocoran data kepada Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi dan meningkatkan kadar denda yang lebih tinggi kepada Pengguna Data dan Pemproses Data.

"Selain itu, cadangan peluasan pemakaian tanggungjawab secara langsung juga akan dikenakan kepada Pemproses Data jika berlaku sebarang ketirisan data.

"Dalam masa sama, JPDP dalam perancangan membangunkan garis panduan AI bagi mengawal serta meminimumkan kadar capaian atau gunaan AI berkaitan data peribadi," katanya.

Katanya pada masa ini, Agensi Keselamatan Siber Negara, Majlis Keselamatan Negara (NACSA, MKN) sedang dalam proses penggubalan Rang Undang-undang Keselamatan Siber yang akan menguatkuasakan jenayah siber selari dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 12:58 PM