APLIKASI serta perisian ini mengawal tempoh masa skrin serta kedudukan semasa GPS dengan peranti secara masa nyata.
APLIKASI serta perisian ini mengawal tempoh masa skrin serta kedudukan semasa GPS dengan peranti secara masa nyata.
Muhammad Saufi Hassan


IBU bapa pada hari ini sangat sukar untuk memantau aktiviti pelayaran internet anak-anak mereka seperti mengetahui tempoh masa skrin, jejak pelayaran dan melaksanakan penapisan kandungan.

Pada masa sama, ibu bapa juga tidak boleh menyekat akses internet anak-anak mereka kerana ia adalah salah satu sumber maklumat penting serta cepat pada ketika ini.

Kaedah yang dirasakan paling selamat adalah melaksanakan pemantauan berterusan terhadap peranti anak-anak mereka khususnya melaksanakan tapisan dengan lebih efektif.

Tidak dinafikan bahawa pelayar pada hari ini turut dilengkapi dengan pilihan tapisan, namun ia masih bersifat asas, terdapat banyak kandungan yang 'terlepas' daripada tapisan berkenaan.

Firma keselamatan siber terkemuka, Kaspersky memperkenalkan perisian mereka iaitu 'Kaspersky Safe Kids' yang memberikan kuasa mutlak kepada ibu bapa untuk memantau sebarang aktiviti digital anak mereka.

Perisian atau aplikasi ini membolehkan pihak penjaga melakukan kawalan seperti tempoh had skrin, kandungan yang tidak dibenarkan dan pelbagai lagi kefungsian dengan satu aplikasi saja.

Pengguna juga dapat mengetahui jejak digital anak mereka di internet seperti laman web yang selalu dilayari, genre kandungan yang sering menjadi pilihan dan notifikasi amaran jika wujud perlakuan yang meragukan oleh anak-anak mereka.

Pada masa sama, aplikasi ini juga melindungi kanak-kanak daripada mengalami pengalaman negatif ketika berada di internet khususnya menyekat kandungan tidak sepatutnya.

Aplikasi ini bukan sekadar 'aplikasi penjaga' saja, malah ia akan memberikan tip selamat di internet, sekali gus mendidik pengguna dan kanak-kanak untuk menggunakan teknologi dengan lebih bijak.

Kaspersky juga menyediakan keupayaan aplikasi dengan sistem kedudukan global (GPS) terbina iaitu menghantar notifikasi kepada penjaga apabila anak mereka berada di luar daripada kedudukan biasa.

Tahap tapisan kandungan juga mengikut peringkat umur, ia bukan satu aturan untuk semua umur, tetapi Kaspersky turut menyediakan kumpulan umur dengan cadangan tapisan tertentu.

Aplikasi ini juga akan memberi peringatan kepada kanak-kanak berhubung tempoh masa skrin yang dibenarkan dan penggunaan skrin pada ketika itu.

Secara keseluruhannya, dalam mendepani ancaman digital yang nyata untuk kanak-kanak, perisian ini adalah sangat sesuai dan mampu memberikan tapisan berkesan.

Ibu bapa juga boleh mengehadkan tempoh skrin mengikut kesesuaian di samping penjejakan kedudukan semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 6:45 AM