FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

Kuala Lumpur: Penjenayah siber kini menyasarkan kanak-kanak sebagai mangsa terbaharu mereka dengan 'memancing' golongan ini melalui permainan maya.

Berdasarkan laporan Kaspersky bertajuk "Sisi Gelap Dunia Permainan Maya Kanak-kanak", ia mendapati terdapat tujuh juta serangan siber ke atas kanak-kanak dilaporkan pada tahun lalu dengan mengeksploitasi tajuk permainan popular seperti Roblox, Minecraft, Fortnite dan Apex Legends.

"Untuk mencapai peranti ibu bapa, penjenayah siber sengaja mencipta tapak permainan palsu yang membangkitkan minat kanak-kanak untuk mengikuti halaman pancingan data dan memuat turun fail berniat jahat," katanya.

Menurut laporan itu, penyelesaian keselamatan Kaspersky mengesan lebih tujuh juta serangan dari Januari 2022 dan Disember 2022, meningkat 57 peratus berbanding pada 2021.

"Pada tahun 2022, 232,735 pemain menemui hampir 40,000 fail, termasuk perisian hasad dan aplikasi yang mungkin tidak diingini, yang menyamar sebagai permainan kanak-kanak paling popular.

"Memandangkan kanak-kanak pada usia ini selalunya tidak mempunyai komputer sendiri dan bermain dari peranti ibu bapa, ancaman yang disebarkan oleh penjenayah siber berkemungkinan besar bertujuan untuk mendapatkan data kad kredit ibu bapa," katanya.

Menurutnya, dalam tempoh sama, hampir 40,000 pengguna cuba memuat turun fail berniat jahat yang meniru Roblox.

"Ini mengakibatkan peningkatan 14 peratus dalam jumlah mangsa, berbanding 33,000 pemain yang diserang pada 2021.

"Memandangkan separuh daripada 60 juta pengguna Roblox berumur di bawah 13 tahun, majoriti mangsa adalah kanak-kanak yang kurang pengetahuan mengenai keselamatan siber," katanya.

Menurut statistik Kaspersky, secara keseluruhan, lebih 878,000 halaman pancingan data telah dicipta untuk empat permainan popular itu pada tahun 2022.

"Antara teknik yang paling biasa adalah membabitkan tawaran untuk memuat turun kaedah menipu (cheat) dan mod untuk permainan.

"Pada tapak pancingan data, pengguna mungkin mendapat manual keseluruhan tentang cara 'cheat' yang betul termasuk arahan khusus melumpuhkan antivirus sebelum memasang fail.

"Ini mungkin tidak memberi amaran kepada pemain muda, tetapi ia mungkin dicipta khas supaya perisian hasad mengelakkan pengesanan pada peranti yang dijangkiti.

"Lebih lama antivirus pengguna dilumpuhkan, lebih banyak maklumat mungkin dikumpulkan daripada peranti mangsa," katanya.

Menurut Kaspersky, bagi menangani masalah berkenaan, ibu bapa perlu menunjukkan keprihatinan terdapat aktiviti dalam talian anak-anak.

"Sebagai pilihan, ibu bapa boleh mengajar anak-anak beberapa amalan untuk kekal selamat dalam talian.

"Pilihan lebih baik adalah aplikasi kawalan ibu bapa.

"Selain itu, ibu bapa boleh jelaskan bahawa maklumat sensitif hanya boleh dikongsi dengan orang yang mereka kenali dalam kehidupan sebenar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2023 @ 3:05 PM