X
ANAK-ANAK menggunakan internet tanpa kawalan sehingga mula menjadi ketagih termasuk ada yang menjadi mangsa buli siber serta mendedahkan mereka kepada pelbagai aktiviti jenayah siber yang lain. FOTO AFP
ANAK-ANAK menggunakan internet tanpa kawalan sehingga mula menjadi ketagih termasuk ada yang menjadi mangsa buli siber serta mendedahkan mereka kepada pelbagai aktiviti jenayah siber yang lain. FOTO AFP
Noor Mohamad Shakil Hameed

Penggunaan internet sepanjang tempoh penularan wabak Covid-19 dan ketika pelaksanaan pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu mula mencetuskan masalah sosial baru iaitu ketagihan internet dalam kalangan anggota masyarakat. Lebih membimbangkan apabila ia membabitkan golongan remaja dan kanak-kanak.

Kajian Tinjauan Penggunaan Internet 2020 (IUS 2020) yang dijalankan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati penggunaan internet oleh kanak-kanak dan remaja berusia lima hingga 17 tahun di negara ini meningkat 155 peratus pada 2020 berbanding 2016.

Ironinya, pada masa sama, kesedaran ibu bapa atau penjaga dalam mengawal penggunaan peranti dan internet oleh kanak-kanak dan remaja pula didapati menurun dengan hanya 34.4 peratus menggunakan perisian kawalan bagi melindungi anak-anak ketika melayari internet. Malah, kawalan keseluruhan oleh ibu bapa didapati menurun daripada 62.4 peratus pada 2018 kepada 53.4 peratus pada 2020. Ini menunjukkan ibu bapa semakin cuai dan kurang memberi perhatian terhadap aktiviti harian anak-anak, khususnya ketika melayari internet.

Kajian ini merumuskan pandemik Covid-19 dan arahan kekal di rumah secara tidak langsung mengakibatkan masa diluangkan kanak-kanak dan remaja di internet meningkat secara mendadak.

Umumnya peningkatan kadar penggunaan internet tidaklah mengejutkan kerana dalam tempoh pandemik pelajar sekolah, misalnya terpaksa mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian di samping golongan remaja berkomunikasi dengan rakan serta ahli keluarga yang lain melalui pelbagai platform media sosial.

Namun, apa yang membimbangkan ialah peningkatan kadar penggunaan internet ini tidak selari dengan peningkatan tahap kawalan daripada ibu bapa. Ini menyebabkan anak-anak menggunakan internet tanpa kawalan sehingga mula menjadi ketagih termasuk ada yang menjadi mangsa buli siber serta mendedahkan mereka kepada pelbagai aktiviti jenayah siber yang lain.

Dalam konteks ini, anak-anak bakal berhadapan dengan pelbagai kesan akibat buli siber yang merangkumi aspek emosi, fizikal dan mental. Antara kesannya termasuklah depresi, kemurungan, perbuatan melukakan dan mencederakan diri sendiri sehingga akhirnya jika tidak dibendung akan mengakibatkan bunuh diri. Kesan fizikal kepada mangsa termasuklah masalah gastrousus seperti sakit perut, muntah dan ulser perut serta gangguan pada pola makan dan tidur. Hal ini menyebabkan mangsa akan sentiasa rasa penat dan kelelahan.

Oleh itu, ibu bapa perlu memberikan perhatian yang serius berkaitan isu ketagihan internet dalam kalangan kanak-kanak dan remaja kerana pada peringkat usia seperti ini mereka belum mampu membuat keputusan dan pilihan yang matang, rasional dan betul. Justeru, ibu bapa perlu bertanggungjawab sepenuhnya dalam soal keselamatan anak-anak ini.

Antara langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa ialah menggunakan aplikasi kawalan dalam usaha menyediakan persekitaran dalam talian yang selamat untuk anak. Kini terdapat pelbagai perisian kawalan yang disediakan sama ada secara percuma mahupun berbayar yang membolehkan ibu bapa memantau, mengawal dan mengawasi kandungan yang dilayari oleh anak. Melalui kaedah ini ibu bapa dapat menyaring dan menyekat akses kepada kandungan yang tidak sesuai pada peranti internet anak. Amalan kawalan keselamatan seperti ini signifikan dan cukup penting bagi melindungi anak-anak dalam era dunia tanpa sempadan ini.

Pada masa sama, ibu bapa juga perlu mendidik anak berkaitan keselamatan dan etika melayari internet. Antaranya ingatkan anak-anak, apabila berkongsi sesuatu di media sosial pastikan ia tidak mendedahkan butiran maklumat peribadi kerana boleh dijadikan bahan rujukan oleh penjenayah siber. Nasihatkan anak juga agar tidak berkongsi atau menyebarkan sebarang maklumat yang tidak pasti dan sahih di samping tidak berhubungan dengan mana-mana individu yang tidak dikenali. Biar didikan ini sebati dalam diri mereka agar sentiasa beringat dan berhati-hati ketika menggunakan internet.

Dalam pada itu ibu bapa juga perlu sentiasa menjadi teman rapat anak-anak. Kita perlu bertindak sebagai rakan yang menjadi tempat rujukan utama anak-anak khususnya jika mereka ada sebarang masalah. Kita tidak mahu ibu bapa sibuk dengan pelbagai urusan lain sehingga tidak memberi perhatian dan kasih sayang yang secukupnya kepada anak menyebabkan mereka berasa sunyi dan mula mencari kawan baharu di internet yang bersedia menemani dan mendengar segala permasalahan mereka. Ringkasnya, jangan wujudkan situasi anak terpaksa atau lebih selesa meluahkan rasa hati kepada orang lain daripada ibu bapa sendiri. Ingat, ada saja individu yang akan cuba untuk mengambil kesempatan dan memerangkap anak kita.

Secara prinsipnya pada ketika ini penggunaan internet sudah menjadi satu keperluan yang mendesak dalam aktiviti seharian, maka kita tidak boleh menghalang anak-anak daripada menggunakan internet. Cuma kita perlu memastikan kadar penggunaan itu tidak memasuki fasa ketagihan sehingga boleh mengakibatkan pelbagai implikasi yang negatif kepada anak-anak.

Justeru, ibu bapa perlu bijak mengurus, menyelia dan memantau keperluan dan penggunaan peranti serta internet dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Mencegah lebih baik daripada mengubati dan sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Bertindaklah segera lindungi keselamatan anak-anak sebelum nasi menjadi bubur.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 7:00 AM