Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Bagi pemain yang serius atau mahu bermain secara kompetatif terutamanya dalam genre permainan penembak pandang pertama (FPS), peranan tetikus adalah penting.

  Untuk itu, jenama perkakas permainan terkemuka tidak ketinggalan untuk memenuhi segmen pengguna berkenaan dengan pengenalan kepada tetikus MSI Clutch GM50 Gaming Mouse.

  Tetikus keluaran MSI ini menggunakan sensor kelas permainan PMW 3330 manakala jenis sensor adalah optikal seperti kebanyakan tetikus kelas permainan yang lain. 

  Kadar sensitiviti DPI untuk MSI GM50 ini pula bermula daripada 400 sehingga kepada tahap maksimum 7,200 mengikut tetapan serta kesesuaian pengguna.

  Bagi sesetengah pengguna, mereka lebih senang untuk tetapan DPI antara 800 hingga 3200 memandangkan skala lebih tinggi akan menjadikan pergerakan tetikus lebih sensitif.

  Untuk genre permainan FPS, tetikus yang terlalu sensitif akan menyukarkan usaha untuk mensasarkan kepada musuh jadi menerusi MSI Clutch GM50 ini, pengguna boleh membuat tetapan mengikut kesesuaian.

  Tetikus ini juga mempunyai keupayaan untuk penyelarasan lampu RGB menerusi perisian Mystic Light keluaran MSI manakala kabel sambungan menggunakan jenis USB 2.0 plat emas.

  Jangka hayat butang tetikus ini juga dikuasakan dengan Omron Gaming iaitu mampu untuk bertahan lebih 50 juta klik.

  Kegunaan kelas permainan FPS, pastinya pengguna mahukan tetikus yang ringan kerana ia tidak membebankan tangan dan mudah untuk bergerak, MSI Clutch GM50 hanya sekitar 90 gram saja dan ia sememangnya direka untuk genre permainan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 11:11 PM