Oleh Muhammad Saufi Hassan

 

Penggemar atau pembina desktop pastinya mahu pengalaman permainan yang lancar terutamanya untuk genre 'penembak pertama' atau 'First Person Shooter' (FPS).

  Elemen paling penting dalam genre ini adalah kejituan tetikus selain tahap sensitiviti yang boleh diubah mengikut kesesuaian pengguna.

  Untuk itu, jenama kelas permainan terkemuka, MSI, memperkenalkan siri tetikus kelas permainan mereka daripada siri Clutch GM20 Elite yang dikuasakan dengan sensor optikal bersama-sama butang kekunci Omron.

  Sesuai dengan kelas permainan, siri berkenaan dilengkapi dengan sensor optikal daripada PixArt PAW 3309 yang boleh menyokong sehingga tahap 6400DPI tanpa sebarang masalah.

  Ubahsuai tahap sensitiviti berkenaan boleh dibuat hanya menekan butang di atas tetikus berkenaan dan ia mempunyai lima tetapan standard iaitu 400DPI, 800DPI, 1600DPI, 3200DPi dan 6400DPI.

  Tetikus ini dilengkapi dengan enam butang boleh laras dan pengguna boleh menukarnya di dalam ubahsuai setiap permainan mengikut kefungsian yang dimahukan.

  Berat tetikus ini hanya 98 gram (g) sekali gus tidak memberi tekanan kepada pengguna terutamanya untuk genre FPS aksi pantas seperti Call of Duty, Apex Legends dan beberapa judul lain.

  Berat tetikus itu juga boleh diubat dengan membuka bahagian atas dan ia terdiri daripada kombinasi satu pemberat 5g dan dua pemberat 3g sehingga menyokong berat 109g secara keseluruhannya.

  Sesuai dengan trend semasa, tetikus jenis ini dilengkapi dengan penyeragaman lampu yang boleh dibuat hanya menerusi perisian termasuk didatangkan dengan sambungan 'gold plate' USB.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 10:11 PM