Muhammad Saufi Hassan

 

 

Pemilihan skrin paparan sememangnya penting untuk genre permainan sekali gus memberi pengalaman serta visual yang lebih licin.

  Jenama terkemuka kelas permainan, MSI memperkenalkan Optix G273QF yang bukan saja sesuai dengan pelbagai kelas permainan terutamanya genre penembak pandang pertama (FPS) malah ia lebih 'mesra poket' kepada pengguna.

  Skrin paparan jenis ini menawarkan resolusi 1440p dengan masa tindak balas 1ms GTG sekali gus menghilangkan kesan 'koyakan skrin' ketika bermain.

  Optix G273QF ini turut menyokong Nvidia GSYNC sekali gus menghasilkan pengalaman permainan tanpa lengah.

  Paparan MSI Optix ini mempunyai 178 darjah sudut pandang dengan penghasilan imej serta objek yang lebih baik berbanding skrin lain di pasaran.

  Panel skrin ini menggunakan teknologi IPS untuk tona warna lebih baik termasuk kadar kecerahan yang selesa untuk mata pengguna.

  Kadar segar semula untuk skrin ini juga 165Hz dan sangat sesuai untuk konsep permainan aksi pantas seperti genre FPS, perlumbaan dan strategi masa nyata.

  Padanan fungsi DLSS oleh Nvidia juga memberikan kesan terbaik menerusi skrin paparan MSI Optix ini terutamanya bagi pemain yang mementingkan kesan visual tanpa gangguan.

  MSI Optix G273QF ini mempunyai beberapa mod fungsi skrin yang boleh dipilih oleh pengguna mengikut kesesuaian penggunaan atau genre permainan.

  Ia juga mendapat pengiktirafan TUVRheinland bagi 'Low Blue Light' khusus bagi penjagaan mata pengguna untuk tempoh penggunaan lama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 10:59 PM