SELULIT sukar dihilangkan. FOTO hiasan
SELULIT sukar dihilangkan. FOTO hiasan
AMALKAN gaya hidup sihat dengan melakukan senaman. FOTO Muhammad Asyraf Sawal
AMALKAN gaya hidup sihat dengan melakukan senaman. FOTO Muhammad Asyraf Sawal
Intan Mas Ayu Shahimi


SELULIT adalah imej kasar atau kesan bonjolan pada permukaan kulit akibat pengumpulan lebihan lemak. Dalam sesetengah keadaan, selulit bukan hanya sekadar gumpalan lemak degil, tetapi lemak yang menyerap lebihan air dan mengandungi sisa pembuangan bertoksin serta beracun.

Semua bahan berkenaan terkurung dalam sel lemak dan terperangkap dalam penunjang bawah kulit. Ia kemudian timbul dan membentuk bonjolan pada kulit. Lama-kelamaan bonjolan itu semakin mengeras sehingga aliran darah ke daerah itu tersumbat lalu membentuk selulit.

Berbanding lelaki, selulit sering dikaitkan dengan wanita kerana lapisan kulit pada tubuh yang sangat sensitif. Ia juga dikatakan mudah terjadi kerana posisi jaringan kulit wanita yang vertikal.

Jaringan ini amat mudah berkembang ketika sel lemak bertambah lalu membentuk permukaan kasar pada lapisan atas kulit. Hilangnya sifat elastik pada kulit akhirnya akan menyumbang kepada pembentukan selulit di punggung, paha, betis dan lengan.

Tidak cukup dengan itu, ada juga beberapa faktor lain yang menyumbang kepada pembentukan selulit. Antaranya diet yang tidak seimbang, kurang senaman, tekanan, kepenatan dan kurang minum air putih.

Menurut jurulatih kecergasan, Kevin Zahari kira-kira 85 peratus wanita mempunyai selulit. Ia jarang berlaku kepada lelaki kerana sel lemak pada kulit mereka lebih jauh daripada lapisan atas kulit.

“Sebenarnya, hampir mustahil untuk menghilangkan selulit. Apa yang wanita boleh lakukan adalah dengan mengurangkan lemak. Ia boleh membantu mengurangkan kesan selulit.

“Biarpun selulit tidak hilang 100 peratus dengan kaedah ini, tetapi ia boleh berkurang,” katanya.

Berikut antara kaedah dicadangkan Kevin untuk wanita menghadapi selulit:

1. Rawatan sedut lemak: Kaedah rawatan ini membantu wanita membuang lemak bawah kulit. Ia mahal dan hanya memberi kesan untuk sementara waktu.

Perlu diingat, ia juga berisiko dan tidak mengubah struktur kulit anda. Jadi, masalah selulit boleh berulang.

2. Rawatan menggunakan mesin khas di spa: Kaedah ini banyak digunakan di pusat kecantikan. Namun, ia tidak menjamin selulit hilang sepenuhnya.

3. Pil pembentung kolagen: Ini berdasarkan teori kurang kolagen, maka kurang selulit. Bagaimanapun, perlu berhati-hati apabila anda mahu mencuba sebarang produk makan yang mendakwa boleh membantu mengurangkan masalah selulit. Periksa sama ada ia mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan dan jenama itu ada dalam senarai produk yang selamat dimakan.

Jangan mengikut kata hati yang inginkan cepat cantik kerana banyak pihak mendakwa mengeluarkan produk berasaskan bahan semula jadi sedangkan ia mengandungi unsur berbahaya yang boleh menjejaskan buah pinggang.

4. Penggunaan krim: Pilihlah krim yang diyakini selamat di pasaran.

5. Berurut semata-mata tidak dapat menghilangkan kesan selulit: Jika ia mampu melonggarkan lemak sekali pun, lemak tetap tidak akan ke mana-mana.

6. Amalkan gaya hidup sihat adalah kunci terbaik setakat ini: Ia juga mungkin cara paling berkesan untuk mengurangkan lemak dan kesan selulit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 4:30 AM