WAJAH dibersihkan bagi membuang segala kotoran.
WAJAH dibersihkan bagi membuang segala kotoran.
 OKSIGEN dihalakan pada kulit bagi memberi kesegaran dan elak kusam.
OKSIGEN dihalakan pada kulit bagi memberi kesegaran dan elak kusam.
 SELEPAS wajah disapu krim karbon laser dihalakan
SELEPAS wajah disapu krim karbon laser dihalakan
 WAJAH diletakkan di bawah lampu LED Fototerapi selama 15 minit.
WAJAH diletakkan di bawah lampu LED Fototerapi selama 15 minit.
 KRIM pelindung matahari disapu ke seluruh kulit bagi melindungi daripada pancaran ultra ungu.
KRIM pelindung matahari disapu ke seluruh kulit bagi melindungi daripada pancaran ultra ungu.
Siti Zarinah Sahib

Wajah disapu dengan krim karbon sehingga menutupi keseluruhan kulit. Selepas krim ini dibiarkan 20 minit, menggunakan kuasa pancaran laser alat ini dihalakan ke setiap bahagian wajah bermula dari dahi, pipi, hidung dan dagu. Semasa rawatan, pelanggan akan mendengar bunyi klik yang menandakan bahan karbon ini diserap ke dalam kulit.

Bagi yang baru kali pertama melakukannya mungkin akan terasa sedikit suam apabila peranti ini diletakkan pada lapisan teratas, namun ia tidak menyakitkan. Hanya selepas kira-kira 30 minit sehingga satu jam selepas semua warna hitam karbon diserap barulah peranti laser dihentikan dan pelanggan boleh meneruskan semula aktiviti mereka kerana ia tidak mendatangkan kesan sampingan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Estetika Medispa Dr Abdul Haq Ab Wasa rawatan pengelupasan secara laser karbon atau ‘carbon peel’ ini semakin mendapat perhatian dalam kalangan wanita.

Di Amerika Syarikat ramai artis Hollywood menggunakan kaedah laser karbon yang dikenali sebagai Black Doll bagi mengecilkan pori dan mengurangkan parut jerawat. Sama seperti Korea ia menjadi pilihan kerana dapat menghaluskan kulit dan menjadikannya lebih berseri.

Selain tidak menyakitkan dan mendatangkan kesan sampingan, rawatan laser karbon menunjukkan kesan ketara. Pengelupasan secara laser karbon juga mencetuskan penghasilan sel kulit baru sekali gus menjadikan kulit lebih cerah dan sihat.

“Walaupun ia masih dianggap baru, menggunakan kuasa pancaran laser untuk membetulkan pelbagai ketidaksempurnaan kulit menjadi antara rawatan paling diminati wanita. Apa yang membezakannya ialah lapisan karbon yang tipis digunakan untuk melitupi bahagian kulit yang hendak dirawat manakala laser ini menyedut zarah ini perlahan-lahan sambil menanggalkan lapisan lama pada permukaan kulit,” katanya.

Kaedah ini akan menghasilkan lapisan kulit baru yang lebih cerah dan licin di bawah lapisan yang lama. Kulit juga akan menjadi lebih lembap dan kelihatan berseri kerana ia mampu menahan lembapan yang secukupnya. Hasilnya ialah kesan semula jadi terserlah pada kulit yang lebih cerah.

Katanya, apa yang berlaku menerusi pancaran laser ini adalah penghasilan tenaga haba yang merangsang kulit untuk meningkatkan pengeluaran kolagen baru dan sel kulit baru. Hasilnya, tisu penghubung tumbuh dengan lebih pantas, manakala zarah karbon mengelupaskan kulit secara halus dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar lalu menyingkirkan kotoran yang ada di dalam liang roma.

“Selain itu ia dapat mengecilkan kelenjar minyak dan pori menjadi lebih halus. Ramai tidak tahu kulit berminyak menjadi punca kepada pori terbuka sehingga menyebabkan pengumpulan bintik hitam, selain peningkatan usia, jantina dan genetik. Untuk mengecilkan pori, kita perlu mengurangkan lebihan minyak menerusi rawatan karbon,” katanya.

Ketika terapi ini, pelanggan tidak akan berasa sakit atau kurang selesa cuma kulit terasa seperti digigit semut. Pelanggan juga boleh terus menyambung semula aktiviti harian mereka. Bagi yang baru kali pertama melakukannya pasti akan merasai perbezaannya apabila kulit lebih halus dan lembap.

Sebelum melakukan laser karbon kulit perlu dibersihkan bagi menghilangkan kotoran. Wajah disental menggunakan skrub khas bagi mengeluarkan sel kulit mati sambil juruterapi melakukan urutan lembut pada bahagian dahi, pipi, hidung dan dagu. Selepas laser selesai wajah diletakkan di bawah lampu LED Fototerapi selama 15 minit bagi mengurangkan pigmentasi dan mencantikkan kulit.

Untuk mendapatkan kesan yang diinginkan rawatan ini boleh dilakukan dua minggu sekali selama enam kali kemudian diteruskan sekali sebulan. Bagi mereka yang mengalami masalah kulit yang teruk digalakkan memakai pelindung matahari selepas melakukan laser karbon dan menggunakan produk penjagaan wajah sesuai jenis kulit.

“Untuk mendapatkan kulit yang sihat, 70 peratus bermula daripada penjagaan di rumah manakala 30 peratus menerusi rawatan di pusat kecantikan,” katanya yang menasihatkan wanita supaya menjaga pemakanan dengan mengambil makanan seimbang dan air kosong secukupnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 2:46 PM