MENGGUNAKAN fabrik kapas untuk keselesaan pelanggan.
MENGGUNAKAN fabrik kapas untuk keselesaan pelanggan.
CORAK dan warna pastel sesuai digayakan semua.
CORAK dan warna pastel sesuai digayakan semua.
MADISON Luxe Prints warna rasberi.
MADISON Luxe Prints warna rasberi.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Sebut saja Sugarscarf, kebanyakan wanita yang gemarkan gaya segar berhijab mengetahuinya, malah ada antara mereka mengunjungi butik Sugarscarf setiap minggu atau melayari laman sesawang setiap hari semata-mata untuk melihat koleksi terbarunya.

Sehingga kini jenama tudung ini menjadi antara yang mempunyai kelompok paling ramai peminat dan dianggap koleksi premium bagi mereka yang memilikinya. Dikenali kerana menghasilkan rekaan selendang yang lain daripada lain bukan saja menerusi potongan, tetapi fabrik dan warna digunakan.

Menjelaskan perkara ini menurut pemiliknya Nur Atiqah Sulaiman, Sugarscarf sentiasa berusaha memberikan yang terbaik kepada pengguna dengan menyediakan helaian tudung yang bukan saja membuatkan wanita tampil anggun, tetapi mudah digayakan. Malah setiap rekaan akan melalui penyelidikan pengguna dan rujukan di laman sesawang dan pertunjukan fesyen, lalu diberi nafas baru sama ada menerusi potongan dan corak.

“Corak yang ditampilkan juga sangat istimewa kerana hanya boleh diperoleh menerusi jenama Sugarscarf manakala rekaannya pula dihasilkan sendiri berdasarkan kajian dan juga kesukaan pelanggan. Biasanya saya akan membuat lakaran di kertas, kemudian memilih fabrik dan warna sesuai.

“Namun, tidak semua potongan diterima sebaliknya akan melalui proses pencerapan untuk menilai kualitinya. Saya sendiri akan mencuba tudung yang siap dihasilkan sebagai salah satu langkah kawalan kualiti sebelum ia boleh dijual,” katanya.

Terkenal dengan rekaan tudung Madison yang dihasilkan berserta anak tudung berlapis, keunikan jenama ini terletak pada kualiti serta pembuatannya yang begitu teliti. Malah setiap corak yang ditawarkan sangat eksklusif dan tidak dijual di tempat lain.

“Corak ditawarkan sangat terhad dan akan bertukar setiap minggu. Selain itu, tudung polos juga dijual dengan warna yang jarang ditemui di tempat lain,” kata bekas penuntut Universiti Multimedia yang mesra disapa Eyqa.

Dikenali dengan penggunaan fabrik berkualiti, bagi Eyqa, setiap pelanggan berhak mendapat keistimewaan berdasarkan harga yang dibayar. Justeru, kualiti material amat diutamakannya.

“Pemilihan fabrik dilakukan sendiri dan begitu juga dengan rekaan tudung. Untuk itu Sugarscarf tidak akan mengambil stok yang sama untuk tudung kerana tiada pembaharuan.

“Dalam seminggu biasanya kami tampilkan dua atau tiga rekaan baru. Namun, tidak semua rekaan dapat dijual, biasanya hanya dua rekaan yang mendapat sambutan menggalakkan,” katanya yang menghasilkan hampir 30 rekaan tudung bercorak setiap minggu.

Kebanyakan corak diberi suntikan kontemporari supaya dapat digayakan semua tanpa mengira usia. Untuk musim ini Sugarscarf memperkenalkan koleksi Madison Classic, Madison Luxe Prints pada warna-warna ceria dan menawan.

Bagi penggemar fabrik kapas mereka boleh memiliki Juliette Madison Cotton yang didatangkan dalam pelbagai corak menawan. Sudah pasti bagi mereka yang ingin menggayakan tudung bercorak koleksi Juliette Madison Cotton ini mampu memenuhi cita rasa wanita. Ini kerana selain selesa warna dan corak ditampilkan sangat eksklusif dan istimewa untuk peminatnya.

Kesemua koleksinya kini boleh didapati di empat butik di Shah Alam, Johor Bahru, Wangsa Melawati dan Bandar Baru Bangi juga turut boleh diperoleh menerusi laman sesawang www.sugarscarf.com.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2015 @ 5:01 AM