NOORHARYANTY meninjau pokok cili di belakang rumah setiap petang.
NOORHARYANTY meninjau pokok cili di belakang rumah setiap petang.
Siti Zarinah Sahib


RUANG di hadapan dan belakang rumah banglo dua tingkat di Puncak Alam, Kuala Selangor ini digunakan sepenuhnya untuk bercucuk tanam. Bermula dengan deretan tumbuhan herba, sayur-sayuran sehingga buah-buahan diusahakan wanita ini.

Pendek kata sejak berkebun hampir empat tahun lalu dia tidak lagi membeli sayur-sayuran di pasar. Sebaliknya mendapatkan pelbagai jenis tumbuhan antaranya sawi, bunga kubis, cili, kangkung dan tumbuhan herba seperti serai, kari, lengkuas dan kunyit untuk ramuan dalam masakan.

Menurut Noorharyanty Mohd Sabri, 45, dia mewarisi bakat ibu dan ayah yang menjadikan berkebun sebagai aktiviti harian di rumah.

Malah sejak di sekolah rendah dia sering mengikut mereka untuk menyiram, membaja dan memetik sayuran jika sudah matang.

“Sejak kecil tanah, pasu bunga dan peralatan membaja menjadi permainan saya. Apabila sering mengikut ibu ayah lama kelamaan saya mampu melakukan kerja-kerja berkebun seperti menanam dan mengutip sayur bersendirian,” jelasnya.

STRAWBERI perlukan penjagaan rapi.
STRAWBERI perlukan penjagaan rapi.

Memulakan aktiviti berkebun dengan kos RM100 sahaja, ujar Noorharyanty ia untuk pembelian pasu, tanah dan biji benih.

Pulang ke rumah dia terus menanam tumbuhan herba, seperti pandan, serai, limau purut, pandan, cili, kunyit dan kari sama ada di dalam pasu dan juga tanah.

Lama-kelamaan melihat hasilnya, dia terus menambah kepada tumbuhan seperti adenium, tin, bunga raya, selain cili dan limau yang kini menjadi tumbuhan kesayangannya.

“Di antara semua jenis tanaman, pisang, kedondong, mangga dan longan antara pokok yang mudah dijaga kerana tidak memerlukan siraman dan baja yang kerap.

“Cili pula tumbuhan yang mudah mendapat serangan penyakit dan serangga. Jadi saya perlu memastikan air dan baja mencukupi,” jelasnya.

BUAH kedondong yang sedia untuk dimakan.
BUAH kedondong yang sedia untuk dimakan.

Bercerita mengenai hobi yang kini menjadi kegiatan wajib Noorharyanty sebelum mengemas rumah, dia akan ke kebun kecilnya untuk menyiram pokok yang dilakukan dua kali sehari.

Wanita ini menggunakan baja organik untuk sayuran manakala baja kimia digunakan apabila perlu sahaja sebagai penggalak pokok mengeluarkan bunga dan buah.

Di samping itu, dia turut menggunakan racun serangga dan racun kulat organik setiap satu atau dua minggu untuk mengelak serangan serangga perosak dan kulat.

“Seboleh-bolehnya saya akan memastikan keluarga dalam keadaan sihat menerusi pengambilan sayuran bebas racun kimia. Di samping itu saya dapat memperkenalkan kepada anak-anak jenis pokok supaya mereka tahu kegunaannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 5:30 AM