BERKEBUN sebagai terapi diri.
BERKEBUN sebagai terapi diri.
Siti Zarinah Sahib

Berkebun bagi sesetengah individu boleh mengurangkan tekanan. Bercakap dan mengomel di hadapan tumbuh-tumbuhan memberikan kepuasan yang tidak terhingga, apatah lagi apabila melihat tanaman mula membesar. Saat tangan bermain dengan tanah atau menanam biji benih membuatkan seseorang leka dengannya lantas melupakan segala kekusutan fikiran.

Inilah yang dirasai Hamizah Zainal Abidin, 37, apabila menjadikan berkebun sebagai aktiviti harian terutama selepas pulang dari kerja. Dia turut mengakui sejak melakukan aktiviti berkebun di belakang rumah, hidupnya lebih tenang dan ceria.

Malah bermain dengan tanah, berbicara dengan alam sambil melihat pokok yang dulunya kecil kian membesar membuatkannya melupakan sementara masalah di tempat kerja. Lebih menggembirakan apabila dia dapat memetik tanaman yang sudah matang seperti kacang panjang dan daun kari untuk dijadikan bahan memasak.

“Apabila saya dapat menggunakan sendiri sayur-sayuran di belakang rumah ia cukup menyeronokkan. Saya seakan-akan teringat kata-kata ibu yang menggalakkan anaknya bercucuk tanam sekurang-kurangnya sejenis sayur di belakang rumah agar dapat digunakan untuk keperluan dapur,” katanya.

Bekerja sebagai eksekutif pengurusan, jelas Hamizah, minat berkebun bermula selepas tiga tahun melangsungkan perkahwinan iaitu pada 2011.

“Saya menyedari banyak masa di rumah dan mula tercari-cari hobi sesuai. Selepas berjinak-jinak dengan Facebook, saya terpandang cerita rakan berserta gambar berkaitan pokok spider lily, keladi hiasan, kunyit, kacang panjang dan serai yang ditanam di halaman rumah. Minat mulai datang melihat kejayaannya menanam di halaman rumah untuk kegunaan sendiri,” katanya.

Namun pada penghujung 2013, Hamizah mula berjinak-jinak dalam penanaman ros Jepun disebabkan terpengaruh dengan kecantikan bunganya yang ketika itu mendapat perhatian ramai. Disebabkan ramai pengikut, Hamizah menubuhkan kelab untuk peminat bunga ini di media sosial.

Ia ternyata mendapat sambutan ramai sehingga dia mengambil peluang menjual ros Jepun secara serius. Pada penghujung 2014, melihat bunga ros yang sedang kembang mekar dia mula merasakan alangkah baiknya beralih kepada penanaman sayur-sayuran.

“Saya mengambil langkah drastik dengan mengurangkan ros Jepun kemudian mencari biji benih beberapa sayur-sayuran hijau yang mudah ditanam. Saya merasakan ia sebagai cara menjimatkan kos membeli sayur di pasar,” katanya.

HAMIZAH menjenguk kebun kecil di belakang rumah sebaik pulang dari kerja.
HAMIZAH menjenguk kebun kecil di belakang rumah sebaik pulang dari kerja.

Lihat kebun sebaik tiba di rumah

Memandangkan kekangan waktu disebabkan bekerja, Hamizah hanya meluangkan masa melihat tanamannya sebaik pulang ke rumah. Ada kalanya dia sanggup bertemankan ubat nyamuk pada waktu malam untuk melihat tumbuhan kesayangan atau memberi baja organik setiap hari.

Bagi memudahkan urusan pengalihan tempat, kebanyakannya ditanam di dalam pasu dan polibeg. Hanya sesetengah pokok seperti ubi kayu, serai, tulasi, selasih dan tebu memerlukan tanah untuk tumbesaran. Namun masalah dihadapi apabila sayurannya diserang siput, benah putih, belalang dan kutu pokok.

“Walaupun serangga yang mengganggu tidak banyak namun ia tetap mengganggu kelancaran bercucuk tanam. Saya terpaksa menggunakan baja khas bagi mengawal serangan kerana ia boleh mencacatkan sayur-sayurannya,” katanya.

Dia tidak berhasrat menjual sayur-sayuran yang sudah matang kerana ia hanya untuk kegunaan sendiri. Pokok kari, kucai, kunyit, serai, cili dan kacang panjang dijadikan pelengkap dalam menu harian. Tetapi lama-kelamaan ada yang bertanya mengenai biji benih dan ingin mendapatkannya.

“Sekadar ingin membantu, saya menjual stok pokok yang ada kepada pelanggan. Dapatlah duit saku sekitar RM300 hingga RM400 sebulan. Ia juga turut bergantung kepada stok yang ada,” katanya yang mengeluarkan kos sekitar RM250 untuk pembelian tanah, pasu dan baja kawalan serangga. Selebihnya untuk biji benih yang dibeli di nurseri dan menerusi dalam talian.

Malah melengkapi harinya sebagai pekebun sambilan, Hamizah turut menyertai acara membabitkan tanam-tanaman seperti Floria Putrajaya dan MAHA di Serdang setiap tahun.

 ANTARA sayur-sayuran yang ditanam di belakang rumah.
ANTARA sayur-sayuran yang ditanam di belakang rumah.

Hobi berfaedah

Hamizah ini turut mempengaruhi ibu di kampung dan rakan sekerja. Mereka seronok setiap kali datang ke rumah melihat pokok herba yang menghijau subur dan merancang menanamnya di rumah.

Pada masa akan datang wanita kelahiran Perak ini merancang membuka nurseri kecil di rumah. Dia juga berharap dapat menghadiri lebih banyak kursus berkaitan penanaman dan penternakan serta menghadiri pameran berkaitan agro dan penternakan.

“Saya juga bercita-cita mengeluarkan buku berkaitan pengalaman menanam sebagai pekebun suatu hari nanti. Melalui bantuan laman sosial, saya dapat ramai kawan dan mengumpul benih yang jarang ditemui serta saling bertukar pendapat,” katanya yang berterima kasih kepada suami kerana membantu menyiram pokok bunga dan menyemai benih sayuran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 2:51 PM