ANAK turut membantu menggemburkan tanah untuk menanam sayur baru.
ANAK turut membantu menggemburkan tanah untuk menanam sayur baru.
Siti Zarinah Sahib

TINGGAL berjauhan dengan suami yang hanya pulang ke rumah seminggu sekali membuatkan Norhasilawati Abd Rahim, 33, menjadikan berkebun sebagai aktiviti utama bagi menghilangkan kebosanan di rumah.

Dia yang sering ditemani anak meluangkan waktu pada awal pagi untuk menyiram tanam-tanaman selepas menghantar mereka ke sekolah.

“Sejak lapan tahun lalu, berkebun menjadikan kehidupan saya lebih bahagia. Walaupun suami tinggal berjauhan dan hanya pulang seminggu sekali, dia tidak pernah menghalang hobi ini sebaliknya memberikan galakan dengan membawa saya membeli peralatan berkebun di kedai,” kata Norhasilawati.

Meminati aktiviti berkebun sejak zaman sekolah, jelas wanita ini dia sekadar membantu ibu bercucuk tanam sayur-sayuran di belakang rumah. Kemudian ia terhenti disebabkan kesibukan menguruskan keluarga.

Selepas bergelar suri rumah sepenuh masa minat terhadap tanaman semakin menyerlah memandangkan banyak masa terluang dan dia ingin menjimatkan kos pembelian barangan dapur.

SAWI tanaman pertama yang diusahakan Norhasilawati.
SAWI tanaman pertama yang diusahakan Norhasilawati.

“Saya memang suka makan sayur-sayuran jadi fikir daripada beli eloklah tanam sendiri di belakang rumah. Pokok pertama yang saya tanam adalah sawi diikuti terung dan bendi. Benih pula saya beli daripada peladang, kedai dan juga secara dalam talian.

“Membeli di alam maya lebih menyeronokkan kerana ada pelbagai jenis biji benih pelik dan jarang ditemui. Contohnya cili saja hampir 20 jenis yang semuanya saya peroleh menerusi kedai dalam talian,” katanya.

Tidak mengeluarkan kos yang besar jelas Norhasilawati, kelengkapan berkebun dibeli secara berdikit-dikit dengan duit diberi suami. Malah wang simpanan ini digunakan untuk barangan berkebun berbanding hiasan peribadi seperti kasut, alat solek atau beg tangan.

“Saya lebih rela menghabiskan duit untuk membeli pasu, tanah, baja dan biji benih berbanding perhiasan sendiri. Satu kepuasan yang sukar digambarkan. Sehingga sekarang saya menggunakan wang hasil titik peluh dengan menjual baja dan biji benih kepada rakan. Dapat juga pendapatan sampingan,” ujarnya.

Melakukan aktiviti penyiraman pokok pada waktu petang manakala membaja pada awal pagi. Ini kerana pada waktu malam tanah lambat kering berbanding siang jadi sangat sesuai sekiranya semburan racun perosak dilakukan pada waktu malam.

“Semburan hanya dilakukan seminggu sekali di sekeliling rumah sambil mengutip siput dan merosakkan tanah dan memakan tumbuhan,” katanya.

Berpengalaman dari segi penggunaan baja, jelas Norhasilawati, sejak mula berkebun dia hanya menggunakan tiga jenis baja iaitu baja ABC, baja navotec dan brogard (racun kawalan serangga organik). Dia juga turut menjual ketiga-tiga jenis baja ini secara dalam talian.

Katanya, baja ABC bukan jenis organik tetapi ia tidak bahaya seperti baja kimia. Baja ini bagus untuk menghalang makhluk perosak mendekati tumbuh-tumbuhan selain menjadikan tanah lebih subur.

“Bagi saya penanaman pokok ini sangat mudah. Asalkan konsisten menyiram dan membaja sudah pasti tumbuhan dapat hidup dengan subur. Cuma pada musim hujan ia agak mencabar disebabkan penyakit kulat yang tumbuh selepas hujan. Jadi perlu selalu memerhati dan membuang kulat ini agar tidak merosakkan tanaman,” jelasnya yang turut menanam pokok anggur dan strawberi.

i

Norhasilawati turut menasihat suri rumah supaya bercucuk tanam di halaman rumah terutama tumbuhan yang selalu digunakan seperti pandan, serai, kunyit dan kari kerana pokok herba ini hanya diperlukan sedikit sebagai penambah rasa dalam masakan.

“Menanamnya juga amat mudah cuma perlukan air dan pencahayaan. Apabila diperlukan petik saja di belakang rumah. Selain menjimatkan kos berkebun dapat meredakan tekanan selepas penat bekerja,” katanya menggalakkan wanita menanam sayuran sendiri kerana lebih bersih dan bebas racun kimia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Disember 2018 @ 5:30 AM