FARIZATUL (tengah) bersama Fawwaz (kiri) dan dua anak lain ketika bercuti ke luar negara.
FARIZATUL (tengah) bersama Fawwaz (kiri) dan dua anak lain ketika bercuti ke luar negara.
Siti Zarinah Sahib


KESUNGGUHAN tiga ibu ini dalam melatih anak berpuasa perlu dipuji. Jika ibu yang memiliki anak normal turut berhadapan cabaran bagi memastikan si kecil berpuasa seawal usia inikan pula anak syurga yang diketahui kekurangan serba-serbi daripada segi fizikal, mental dan emosi mereka.

Bagi Zaharatul Sophia Mohamed Amir Abas, dia turut melahirkan kesyukuran apabila anaknya, Muhammad Faris Akhyar Norakyairee, 13, yang dirujuk sebagai autisme kini mampu berpuasa penuh untuk tahun kelima berturut-turut.

Walaupun mengakui ia bukan tugas mudah dan menuntut kesabaran namun melihat Muhammad Faris (Faris) berpuasa tanpa banyak kerenah ia sesuatu yang cukup membanggakannya.

“Saya pernah cuba melatih Faris ketika dia berusia tujuh tahun. Tetapi, menjelang tengah hari wajahnya pucat, jadi saya meminta dia berbuka puasa.

“Sedangkan anak normal pun agak sukar pada mulanya inikan pula anak syurga seperti Faris yang perlu diberi penjelasan berkenaan ibadat ini,” katanya.

Walaupun Faris hanya berpuasa separuh hari pada tahun pertama, Zahratul Sophia (Sophia) tidak pernah mengalah. Memasuki usia lapan tahun, dia mula mengajar Faris perkara sama, tetapi melanjutkan waktu berbuka selama satu jam sehingga dia boleh bertahan apabila tiba waktu berbuka sebenar.

“Saya banyak bersabar dan sentiasa beristighfar. Mujur dia bukan jenis memberontak. Sebaliknya hatinya mudah lembut dan mendengar kata. Apabila saya katakan berbuka pada jam tertentu dia akan menunggu di meja makan sehingga waktu berbuka tiba,” katanya.

ZAHARATUL Sophia bersama Faris.
ZAHARATUL Sophia bersama Faris.

Memikirkan Faris berbeza berbanding kanak-kanak lain, sebagai ibu Sophia menunjukkan komitmen dan berusaha memberi penerangan berkenaan fadilat puasa serta perkara yang boleh membatalkannya.

Berkat kesabaran Zaharatul Sophia hasilnya, pada usia sembilan tahun, Faris dapat berpuasa dengan mudah.

“Saya banyak bercerita mengenai niat, solat Terawih dan bangun sahur supaya perkara ini melekat di mindanya. Walaupun pada mulanya dia kurang faham, lama-kelamaan apabila diulang-ulang dia mudah mengikutinya tanpa banyak soalan,” katanya.

Sama seperti kanak-kanak tipikal yang perlu diisi masanya dengan aktiviti berfaedah supaya mereka tidak bosan, begitu juga dengan autisme. Sebaik pulang dari sekolah, Zaharatul Sophia cuba melakukan aktiviti bersama Faris.

“Selepas mandi dan solat Zuhur jika dia tidak tidur saya akan melukis dan mewarna bersamanya. Kemudian keluar membeli makanan berbuka puasa. Memang Faris jenis aktif dan suka keluar. Jadi apabila masanya terisi membuatkan dia tidak fikir mengenai makanan,” katanya.

Zaharatul Sophia juga akan memastikan tiada makanan di meja atau peti sejuk yang boleh membuatkan Faris ingin makan selain memperbanyakkan doa kepada Allah supaya memudahkan urusan puasa anaknya itu sehingga sampai penghujung Ramadan.

Melatih Faris secara berperingkat ibu ini mengakui pada asasnya semua anak-anak syurga ini mamu menahan lapar. Namun naluri ibu dan rasa kurang yakin menyebabkan ada antaranya tidak membenarkan anak berpuasa. Mungkin khuatir dan takut sekiranya ia mengganggu kesihatan.

“Namun ia hanya anggapan. Sama seperti saya dulu yang kasihan melihat Faris berpuasa, sedangkan bagi anak ia tidak menjadi masalah malah mereka boleh melakukannya dengan baik,” katanya yang menasihati ibu bapa supaya yakin dengan kebolehan anak autisme supaya si kecil menjadi lebih kuat.

Walaupun anak autisme sering kali dikatakan sebagai penghuni syurga, ibu bapa tidak seharusnya ambil mudah asas didikan agama mereka. Sama seperti anak lain yang diajar solat, mengaji dan berpuasa, anak autisme ini perlu diberikan lebih penekanan.

“Bayangkan jika anak normal dihantar ke kelas mengaji al-Quran, dilatih solat dan puasa sejak usianya tujuh tahun, tetapi anak autisme dipinggirkan.

“Sebagai ibu saya ingin mengubah pandangan ini dan berharap ibu bapa memberikan nilai yang sama kepada anak. Saya percaya apa juga yang Allah jadikan tidak sia-sia dan bukan juga satu kesilapan apabila Allah menciptakan mereka ini sebegitu.

“Saya banyak belajar menerusi mereka. Saya sedar ini hadiah terindah yang Allah berikan untuk melihat usaha ibu bapa. Mereka didatangkan untuk memberi kesedaran kepada orang lain. Pada akhirnya bukan pengakhiran yang dinilai sebaliknya usaha dan kesungguhan dalam mengejar pahala di sana nanti,” katanya.

FARIZATUL ceria di samping Fawwaz.
FARIZATUL ceria di samping Fawwaz.

DIDIK FAWWAZ CINTAI AGAMA

Bagi ibu kepada enam cahaya mata, dengan seorang daripadanya anak autisme, Muhammad Fawwaz Muhammed Saleh, 13, dia mempunyai alasan tersendiri mengapa bersungguh-sungguh mendidik Fawwaz untuk mencintai akhirat.

Jelas Farizatul Yasmin Abd Hamid, jika anak lain boleh didedahkan dengan pelbagai kemahiran, mengapa ilmu agama tidak boleh diberikan.

“Ia lebih kepada tanggungjawab sebagai ibu bapa. Saya tidak mahu dipersoalkan di akhirat kelak mengapa tidak menunaikan peranan sebagai ibu sehingga anak tidak boleh solat, mengaji al-Quran dan berpuasa.

“Atas sebab ini saya perlu memastikan Fawwaz dapat solat dengan baik, mengaji, menghafaz al-Quran dan berpuasa penuh pada Ramadan,” katanya.

Mula berlatih berpuasa pada usia lapan tahun, menurut Farizatul Yasmin ia tidak terlalu rigid. Ini kerana di sekolah anaknya turut berkawan dengan rakan Cina dan India jadi melihat mereka makan dan minum, Fawwaz turut meminta yang sama.

“Pada usia 12 tahun apabila saya menukarkan sekolahnya dia lebih berdisiplin. Ini disebabkan semua rakan berpuasa menyebabkan dia ingin melakukan perkara sama. Namun dua minggu sebelum Ramadan saya banyak bercerita mengenai konsep berpuasa iaitu tidak boleh makan dan minum. Alhamdulillah dia mudah,” katanya.

Dalam tempoh itu menjadikan proses berpuasa berjalan lancar, Farizatul Yasmin akan memastikan anak yang lain tidak makan dan minum di hadapan Fawwaz. Dia juga akan melakukan aktiviti bersama-sama supaya perjalanan puasa itu sesuatu yang menggembirakan dan dipenuhi aktiviti berfaedah.

“Ramadan ini aktiviti Fawwaz bermula dengan hafazan kemudian saya akan meminta dia tidur sekejap atau bermain permainan video bersama adik yang lain. Apabila leka bermain dia tidak rasa lapar dan berpuasa sehingga penghujungnya,” katanya.

Melihat perkembangan Fawwaz, Farizatul Yasmin melahirkan kesyukuran kerana terlalu banyak perubahan yang berlaku ke atas diri anaknya. Pada usia 13 tahun Fawwaz mampu menghafaz semua surah dalam juzuk Amma selain surah al-Mulk dan Yasin.

“Apabila melihat Fawwaz dapat menghafaz dengan baik, ia memberi semangat kepada adik-adik melakukan perkara sama. Selain al-Quran Fawwaz juga boleh menjadi imam kepada adik-adiknya,” katanya.

NUR AFRINA berpuasa penuh ketika berusia 13 tahun.
NUR AFRINA berpuasa penuh ketika berusia 13 tahun.

BERI GANJARAN JIKA ANAK BERPUASA

Bagi Ratenah Ismail, memiliki Nur Afrina Nazifa Mohd Hishamuddin, 16, adalah satu hadiah terindah daripada Allah. Ini kerana sejak kecil dia bukan sahaja bertanggungjawab mendidik Nur Afrina supaya mendalami agama sebaliknya dia turut terdidik jiwanya menjadi lebih penyabar dan sentiasa bersyukur kepada Allah.

Mendekatkan Nur Afrina kepada solat, hafazan dan membaca al-Quran sejak kecil, setiap kali Ramadan Ratenah tidak lupa melatih anaknya berpuasa.

“Saya mula mengajar Nur Afrina berpuasa ketika dia berusia 10 tahun. Tetapi ketika itu dia belum berpuasa penuh. Apabila tidak tahan di sekolah dia akan minum air di dapur kelas begitu yang berlaku saban tahun sehingga pada usia 13 tahun selepas akil baligh dia dengan sendiri berpuasa sepenuhnya,” katanya.

Mengakui latihan diberikan kepada Nur Afrina menuntut kesabaran, namun sebagai ibu istiqamah adalah sangat penting terutama penjelasan hal berkaitan ibadat.

“Oleh kerana anak saya banyak bertanya jadi saya banyak memberi penerangan terperinci berkenaan puasa. Saya juga memberikan hadiah RM1 jika dia dapat berpuasa penuh setiap hari. Ganjaran ini membuatkan dia lebih bersemangat untuk berpuasa cukup sebulan,” katanya.

Dia yang membuat jadual waktu untuk Nur Afrina sepanjang Ramadan, setiap hari Ratenah akan memastikan anaknya tidur lebih awal daripada biasa supaya dapat membiasakan diri bangun sahur.

“Biasanya saya akan bertanya makanan kesukaannya pada hari itu. Seboleh-bolehnya saya akan menyediakan hidangan kegemarannya untuk berbuka dan bersahur bagi mengekalkan tenaga sepanjang Ramadan.

“Nur Afrina sama seperti anak normal yang mempunyai pelbagai cita rasa. Jadi saya tidak kisah dia meminta saya menyediakan itu dan ini asalkan dia dapat berpuasa penuh,” katanya.

Bagi mengisi masa terluang sebelum tiba waktu berbuka Nur Afrika akan melukis anime di komputer dan mendengar lagu. Dia sangat berkebolehan apabila ‘berinteraksi’ dengan komputer dan bercita-cita menjadi pereka grafik karekter suatu hari nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 5:30 AM