NOR Saliza sentiasa menceritakan kebaikan berpuasa kepada Wan Eryna.
NOR Saliza sentiasa menceritakan kebaikan berpuasa kepada Wan Eryna.
Yusliza Yakimir Abd Talib


MENDIDIK anak berpuasa mungkin menjadi satu cabaran buat sesetengah ibu bapa. Dalam tempoh kurang seminggu lagi sebelum bermula Ramadan, ramai ibu bapa yang mula membuat persiapan khususnya penyediaan makanan untuk bersahur dan berbuka puasa.

Bagi anak kecil yang baru pertama kali mula belajar berpuasa, pasti banyak telatah mencuit hati menjadi memori indah sekeluarga.

Tidak kurang juga yang begitu teruja dan tidak sabar menanti kehadiran bulan itu kerana pelbagai hidangan enak yang menjadi habuan selepas seharian menahan lapar dan dahaga.

Pengalaman anak kecil belajar berpuasa yang dikongsi beberapa ibu ini mungkin boleh dijadikan panduan khususnya buat yang pertama kali mahu mendidik si manja mereka berpuasa.

Bagi Nor Saliza Ahmad Khairani, 36, tahun ini anaknya Wan Eryna Batrisya Wan Mohd Murtadha, 8, kali kedua berpuasa selepas mula belajar melakukannya tahun lalu.

Katanya, dia biasanya menceritakan pada anak perempuannya itu mengenai puasa, mengapa perlu melakukannya dan kebaikan puasa.

Menurutnya, pada pertama kali Wan Eryna mula berpuasa, dia meminta anaknya itu cuba berpuasa setengah hari terlebih dulu kerana mahu dia belajar menahan lapar.

“Kita tidak boleh terlalu memaksa kanak-kanak kerana akan menyebabkan mereka hilang mood atau fokus. Hidangan berbuka juga menjadi faktor utama, misalnya saya selalu tanya dia mahu makan apa ketika berbuka.

“Jika dia mampu berpuasa sekerat hari saja, saya selalu memesan supaya dia tidak makan begitu saja kerana perlu hormat orang lain yang berpuasa,” katanya.

Menurut Nor Saliza, seperti ibu lain, dia juga tidak terlepas daripada berdepan pengalaman lucu ketika mula-mula anaknya cuba berpuasa antaranya kerap bertanyakan jam berapa ketika itu.

Malah katanya, pintu peti sejuk juga kerap dibuka dan pertanyaan lain seperti perlukah puasa setiap hari atau hari itu masih perlu puasa juga antara yang kerap ditanya.

“Ketika bangun sahur juga perlu mendukungnya ke meja makan. Ini semua antara pengalaman lucu ketika melayan anak mula berpuasa. Memang mencabar juga melayan telatah mereka dan ada kalanya menguji kesabaran tapi tidak mengapa, mereka masih kecil dan masih peringkat belajar berpuasa,” katanya.

Antara tip Nor Saliza untuk menggalakkan anak berpuasa ialah ibu bapa perlu bijak menerangkan kepada anak mengenai puasa dan kebaikannya supaya mereka faham mengapa perlu melakukannya termasuk menerangkan mengenai perkara yang tidak boleh dilakukan ketika puasa.

Selain itu katanya, minta anak yang baru belajar untuk berpuasa setengah hari dulu supaya si kecil tidak rasa tertekan kerana kita tidak mahu mereka fikir puasa ini seperti menyusahkan sedangkan Islam itu mudah dan penuh dengan kelembutan.

“Ketika sahur, saya selalunya akan beri anak sajian sahur di hujung waktu supaya dia tidak lemah pada waktu siang. Buat atau beri pilihan hidangan untuk anak berbuka supaya kita dapat tanam minat dia berpuasa dengan mudah,” katanya.

Bagi Norhasyikin Abdul Wahab, 41, meskipun puasa kali ini adalah tahun ketiga anak bongsunya, Nur Hasanah Madiha Mohd Baharin, 10, berpuasa, persiapan rapi tetap diteruskan untuk membantu anaknya itu melakukan ibadah itu dengan sempurna.

Katanya, sebagai persediaan dia akan membelikan makanan yang digemari anaknya itu ketika sahur seperti telur, roti, bijirin, sup cendawan dan ayam.

Memandangkan anaknya itu kurang gemar makan nasi ketika sahur, Norhasyikin akan menyimpan roti canai sejuk beku yang dipanaskan ketika sahur untuk anaknya itu.

Ketika berbuka pula katanya, dia biasanya bertanya terlebih dulu apa makanan yang digemari dan selalunya makanan yang tidak pedas menjadi pilihan seperti nasi ayam, nasi goreng cina, roti telur, sup dan mi segera goreng.

“Hasanah antara anak yang agak susah ketika mula-mula mengajarnya berpuasa kerana dia suka minum air sejuk. Jadi, masa awal-awal dulu, dia kadang-kadang pergi kantin untuk minum dan disebabkan dia bersekolah di tempat sama saya mengajar, jam 3 petang dia sudah minta mahu makan dan minum air sejuk.

“Ada masa dia buat ‘drama’ nak pengsan atau demam kerana mahu minum. Waktu sahur, ada masa dia kunyah makanan sambil pejam mata. Ini antara pengalaman lucu yang kami sekeluarga akan kenang sampai bila-bila,” katanya.

Menurutnya, antara tip penting untuk menggalakkan anak berpuasa adalah pastikan mereka bersahur dan berikan air kosong secukupnya untuk elakkan dehidrasi. Sediakan makanan yang anak boleh makan sesuai dengan seleranya.

Selain itu katanya, selalu ingatkan dan galakkan anak berpuasa kerana ibadah ini datang setahun sekali dan melakukannya kerana Allah. Ceritakan juga kesusahan orang lain di luar negara terutama kanak-kanak yang tidak dapat makanan secukupnya kerana peperangan dan kemiskinan supaya anak kita insaf.

“Jadikan mereka terbiasa dengan amalan bersedekah seperti berkongsi makanan berbuka dengan jiran tetangga. Selain itu, beri anak tidur sekejap pada waktu siang supaya badan mereka dapat berehat.

“Akhir sekali, hargai atau hadiahkan anak dengan baju dan kasut raya yang mereka mahukan jika mampu,” katanya.

DARI kiri, Norhasyikin membuat persiapan rapi lebih awal untuk memudahkan Nur Hasanah berpuasa. Tun Noraihan pertama kali mahu mendidik Maryam berpuasa penuh.
DARI kiri, Norhasyikin membuat persiapan rapi lebih awal untuk memudahkan Nur Hasanah berpuasa. Tun Noraihan pertama kali mahu mendidik Maryam berpuasa penuh.

Bagi Tun Noraihan Abdul Kadir, 32, tahun ini amat bermakna buatnya sebagai ibu kerana pertama kali mahu mengajar anaknya, Maryam Nur’Arafah, 7, berpuasa penuh.

Katanya, anaknya itu mula berpuasa separuh hari tahun lalu dan meskipun tidak dapat berpuasa penuh kerana masih kecil, Maryam sentiasa bersemangat mahu cuba lakukannya setiap hari.

“Kami sentiasa bercerita padanya mengenai bulan Ramadan dan kepentingan berpuasa untuk umat Islam. Meskipun masih kecil dan tidak faham, saya merasakan pentingnya didikan supaya lambat-laun menjadi kebiasaan dan tidak kekok melakukannya lagi.

“Ketika mula melatih Maryam berpuasa hanya separuh hari, namun yang lucunya apabila pukul 11 dia sudah meminta makan atau minum dan memberi pelbagai alasan seperti sakit perut dan pening kepala.

“Bagaimanapun, saya tidak pula memarahinya kerana tahu ketika itu dia masih kecil dan tidak faham. Insya-Allah, tahun ini diharapkan dia dapat belajar berpuasa penuh.

“Sebenarnya, untuk menggalakkan anak kecil berpuasa kita kena latih mereka bersahur dan memahami kenapa dia perlu berpuasa. Kita kena terangkan juga mengenai pahala dan ganjaran umat Islam jika berpuasa di bulan Ramadan. Lama-kelamaan, mereka pasti terbiasa dan dapat melakukannya dengan mudah,” katanya.

Dalam pada itu, Ema Ismail, 44, berkata, anaknya, Eyaan Zainul Firdaus, 9, mula berpuasa sejak berusia enam tahun dan tidak sukar mendidiknya melakukan ibadat itu.

Katanya, pada mula belajar berpuasa, dia hanya galakkan anak lelakinya itu berpuasa separuh hari dan melanjutkan tempoh berpuasa secara berperingkat hingga akhirnya dia mampu berpuasa hingga waktu berbuka.

“Pada hari yang dia hampir tewas, kami cuba pujuknya dengan makanan yang disukai untuk berbuka. Pengalaman lucu, dari mula berpuasa hingga kini, tiap kali bersahur atau hampir waktu berbuka, dia akan tersadai berbaring depan tangga atau pintu,” katanya.

Menurut Ema, antara tip yang diamalkan ketika mendidik anaknya itu berpuasa adalah jangan memaksa kerana tidak mahu anak melakukannya hanya kerana tidak mahu dimarahi.

Sebaliknya katanya, banyakkan bercerita kepada anak kecil kelebihan berpuasa dan mungkin beri ganjaran ketika berbuka, terutama pada hari yang amat mencabar buatnya.

EMA sentiasa beri pujian dan motivasi untuk Eyaan bersemangat berpuasa.
EMA sentiasa beri pujian dan motivasi untuk Eyaan bersemangat berpuasa.

Ema juga menasihatkan supaya sentiasa mengajak anak aktif membuat sesuatu yang disukai seperti melukis, bermain, membantu di dapur, terutama pada dua atau tiga jam terakhir berpuasa. Penuhkan masanya supaya dia tidak rasa seperti masa begitu lambat berlalu.

“Sentiasa beri pujian, motivasi dan galakan kepadanya. Bagi dia rasa seperti bangga dengan dirinya. Macam saya lakukan, saya cabar dia, contohnya, katakan tahun lalu dia puasa penuh 15 hari saja, tapi tahun ini kita galakkan dia berpuasa 20 hari pula.

“Akhir sekali, jangan sesekali beri dia rasa berpuasa itu suatu beban. Biar ibadat berpuasa ini menjadi sesuatu yang dia tidak sabar tunggu setiap tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 5:30 AM