PELBAGAI warna pastel untuk si comel.
PELBAGAI warna pastel untuk si comel.
Siti Zarinah Sahib


SIFAT lasak anak perempuan membuatkan ada ibu gusar memikirkan pakaian yang dipakai ketika menghadiri sesuatu acara. Comot akibat tumpahan air atau terkena makanan menyebabkan kesan kotoran kelihatan begitu menonjol.

Menyedari masalah yang sering dihadapi ibu ketika membawa anak menghadiri majlis tertentu mendorong Wajihan Ibrahim menghasilkan rekaan busana untuk anak perempuan dengan menekankan kesederhanaan namun tampil elegan.

Menurut Wajihan, ketika menghadiri acara keraian bersama anak perempuannya Sofea, dia sedikit gusar apabila memikirkan kelasakan anaknya yang tidak duduk diam.

“Daripada situ muncul idea untuk menghasilkan jenama Sofeasbywi dengan memberi penekanan kepada pemilihan fabrik yang selesa namun tidak menghalang mereka melakukan aktiviti yang mereka gemari,” katanya.

MATERIAL tahan lasak dan mudah dibersihkan.
MATERIAL tahan lasak dan mudah dibersihkan.

Menggunakan fabrik tahan lasak double matte satin dan organza, kedua-duanya lembut, tidak panas dan mudah digosok. Lebih penting sekiranya kotor, ibu boleh mengambil kain basah dan mengelap sahaja kesan kotor terbabit. Menggunakan fabrik polos supaya kelihatan lebih menyerlah, Wajihan turut menampilkan perincian batu bunga ‘rhinestones’ yang selamat untuk pakaian kanak-kanak.

“Walaupun sifat mereka lasak, dalam sesetengah keadaan anak-anak ini perlu kelihatan seperti puteri dan mengekalkan gaya feminin mereka. Setiap padanan sesuai dipakai untuk perayaan, kenduri kendara atau acara hari jadi yang memerlukan anak-anak ini berpenampilan anggun namun masih mengekalkan ciri comel seorang kanak-kanak.

“Di sinilah letaknya daya kreativiti pereka apabila menambah perincian bagi memastikan ibu dan anak sedondon bergaya,” katanya.

Walaupun lebih suka memilih rona gelap agar kotoran tidak ketara, dia turut menyediakan barisan rona pastel dengan rekaan berbeza. Ia sesuai terutama untuk acara kenduri atau majlis hari jadi yang memerlukan mereka ceria dan gembira.

Mula menghasilkan rekaan sekitar 2011, Wajihan yang bermula sebagai guru sangat meminati bidang rekaan dan mula menghasilkan potongan sendiri. Menyedari ramai bertanya mengenai busana dihasilkan wanita ini, dia mula mengambil tempahan untuk keluarga.

“Bermula secara kecil-kecilan, saya mula membuka tempahan untuk rakan-rakan dan mereka yang mengikuti laman media sosial saya. Lama-kelamaan saya mula terfikir untuk menghasilkan rekaan kanak-kanak disebabkan ingin memberikan sepenuh tumpuan kepada si kecil yang mana dahulu saya tidak peroleh disebabkan kekangan masa sebagai guru dan berniaga.

“Oleh kerana sibuk menghasilkan rekaan, saya dapati masa bersama keluarga terutama Sofea sangat terbatas. Jadi saya mula terfikir menghasilkan rekaan buat si kecil agar dapat meluangkan masa bersama anak tersayang,” katanya.

Selain busana kanak-kanak, Wajihan turut menyediakan pakaian ibu dan anak sedondon untuk mereka yang berusia 25 hingga 40 tahun manakala kanak-kanak dari usia sebulan sehingga 15 tahun.

Untuk pakaian dewasa harga ditawarkan RM250 sepasang manakala kanak-kanak bermula RM135 sehingga RM160. Mereka boleh mendapatkannya menerusi penjualan dalam talian atau terus membuat pembelian di butik.

MENAWAN menggayakan busana biru dan merah jambu.
MENAWAN menggayakan busana biru dan merah jambu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 5:00 AM