VITAGEN

Sindrom Usus Rengsa atau Irritable Bowel Syndrome (IBS) adalah antara masalah gastrousus paling lazim di dunia, namun si pesakit masih mempunyai kesukaran mendapatkan kelegaan daripada simptom IBS termasuk ketidakselesaan atau kesakitan (kejang) perut atau usus, perut kembung, sembelit dan/atau cirit-birit.

Pada 2002, Yayasan International Foundation for Functional Gastrointestinal Disorders (IFFGD) membuat satu kajian untuk mendalami beban symptom IBS dalam kalangan orang dewasa Amerika Syarikat dan mendapati ciritbirit, sama ada berlaku secara berasingan atau seiring dengan sembelit,

merupakan masalah IBS yang paling utama.

Selain itu, responden yang mengalami simptom sembelit dan/atau cirit birit melaporkan simptom perut kembung dan sakit abdomen dengan purata kekerapan melebihi 200 kali setahun! Ini merupakan gangguan ketara yang mengehadkan keselesaan aktiviti harian mereka, bekerja mahupun bersosial bersama kawan atau keluarga.

Prevalen IBS

Data mengenai prevalen IBS di Malaysia adalah terhad. Namun begitu, dianggarkan dalam lingkungan 15-19% rakyat Malaysia menghidapi IBS di mana ia setanding dengan beberapa negara lain termasuk Amerika Barat, Amerika Selatan dan Rusia.

Malaysia merupakan negara paling obes di Asia. Rakyat Malaysia secara amnya tidak memenuhi keperluan harian nutrien dan pengambilan serat yang disarankan, serta kurang menjalankan aktiviti fizikal; kesemua ini menyumbang kepada peningkatan penyakit tidak berjangkit, terutama yang melibatkan sistem penghadaman dan pencernaan.

Satu Penyelesaian Tempatan Ditemui!

Setiap orang akan mengalami simptom yang berbeza berdasarkan jenis IBS yang mereka hidapi. Oleh itu, tidak hairanlah jika rawatan yang berkesan bagi seseorang mungkin tidak berkesan untuk orang lain. Ini menyukarkan doctor untuk merawat pesakit IBS dan lebih mengecewakan lagi bagi pesakit.

Banyak kajian dijalankan untuk mencari satu pendekatan umum bagi melegakan simptom IBS dan terdapat satu alternatif yang semakin berkesan dan popular iaitu penggunaan bakteria – lebih khususnya, probiotik. Probiotik menjadi pilihan penyelesaian kerana ia selamat, mudah didapati dan secara relatifnya lebih murah.

Secara ringkas, probiotik didefinasikan sebagai mikroorganisma hidup dan jika diberi dalam sukatan yang mencukupi, ia boleh memberi manfaat kesihatan kepada hos. Satu kajian yang dijalankan oleh para penyelidik di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) mendapati bahawa probiotik tersebut – dari spesis Lactobacillus acidophilus dan Lactobacillus casei – dapat memperbaiki tempoh transit usus atau intestinal transit time(ITT). Tempoh transit usus ialah tempoh masa yang diperlukan untuk makanan bergerak dari mulut melalui saluran penghadaman dan pencernaan dan seterusnya sisa makanan yang tidak di perlukan akan ke dubur anda untuk dibuang.

Prof Madya Dr Raja Affendi Raja Ali, Pakar Perubatan dan Perunding Gastroenterologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, PPUKM berkata, “dalam sesetengah pesakit, ITT mungkin terlalu pantas dan menyebabkan cirit-birit. Manakala dalam pesakit lain, tempoh transit terlalu perlahan dan menyebabkan najis menjadi keras dan sembelit. Pesakit IBS yang mempunyai simptom sembelit mempunyai ITT yang lebih panjang. Beliau menerangkan dengan lebih lanjut bahawa semakin lama tempoh transit, semakin ketara simptom sembelit. Hasil kajian membuktikan bahwa probiotik boleh mengurangkan ITT dan dengan itu membantu menggerakkan makanan melalui usus. Ini seterusnya melegakan symptom sembelit. Ia merupakan penemuan yang penting memandangkan ramai pesakit IBS yang mengalami sembelit melaporkan mengalami najis keras, berketul dan sakit perut setiap kali mereka meneran untuk membuang air besar.

Hasil Makmal Terbukti

Kajian tempatan sedang dijalankan oleh sekumpulan pakar penyelidik dari Unit Gastroenterologi di PPUKM dan membabitkan 180 subjek yang terbahagi sama rata antara yang sihat dan yang dikenalpasti menghidap IBS dengan sembelit sebagai simptom utama (IBS-C).

Kesemua subjek perlu melengkapkan regimen diet yang terdiri daripada tiga botol minuman susu berkultur yang mengandungi probiotik L.acidophilus dan L.casei setiap hari selama 30 hari berturut-turut. Setakat ini, hasilnya sangat memberangsangkan dari segi pengurangan ITT dan juga mengurangkan simptom sembelit dalam kedua-dua subjek IBS-C dan yang sihat.

Selain itu, subjek yang melaporkan sentiasa membuang najis keras sebelum pengambikan regimen berkenaan mendapati simptom sembelit berkurangan dengan mendadak; najis menjadi lebih lembut, lalu mengurangkan kesakitan dan ketidakselesaan yang mereka kerap hidapi sebelum ini.

“Keputusan awal penyelidikan yang masih berjalan ini adalah memberangsangkan dan rumusan awal yang boleh dibuat adalah sama dengan kajian lain menggunakan strain probiotik yang berbeza di seluruh dunia, iaitu probiotik boleh memperbaiki sistem penghadaman dan pencernaan kita,” kata Prof Madya Dr Raja Affendi.

Bagaimana Probiotik Membantu Pesakit IBS

Seseorang yang menghidap IBS-C juga mempunyai ketidakseimbangan bakteria baik dan jahat dalam usus mereka. Ketidakseimbangan ini, dipanggil disbiosis, memburukkan lagi simptom sembelit dan mengganggu penghadaman dan pencernaan secara am. Bakteria dalam usus kita banyak membantu dari segi penghadaman dan pencernaan makanan kita, dan kekurangan bakteria baik akan mengurangkan proses penghadaman dan pencernaan sekaligus meningkatkan ITT dalam pesakit IBS yang menjadi salah satu punca sembelit.

Beberapa spesis bakteria usus (bakteria jahat) dikaitkan dengan IBS dan boleh mempengaruhi beberapa simptom yang dialami pesakit. Maka, dengan meningkatkan bakteria baik dalam usus, keseimbangan boleh dipulihkan dan ini akan membantu melegakan simptom IBS dan semestinya bagi orang yang sihat juga.

Nilai Tambah Probiotik

Faedah probiotik tidak terhad kepada usus. “Terdapat bukti baharu daripada penyelidikan ini yang menunjukkan probiotik juga memainkan peranan penting dalam kesihatan mental dan kejelasan fikiran serta fungsi imuniti yang lebih baik.” Tambah Ketua Penyelidik tersebut, “L.acidophillus dan

L.casei yang digunakan dalam kajian juga menunjukkan kebolehan untuk mempengaruhi respons imun dalam kalangan subjek penyelidikan ini.” Kajian lain juga menunjukkan keupayaan probiotik untuk menunjukkan sifat antiinflamasi, anti-bakteria dan anti-virus yang melindungi hos.

Kepelbagaian faedah probiotik merentasi pelbagai fungsi tubuh kita menjadikan ia pilhan bernilai dalam rawatan pelbagai masalah.

Sepanjang beberapa tahun yang lalu, timbulnya konsep baru yang berkaitan dengan mekanisma dan status penyakit IBS. Paradigma yang berubah ini mungkin memberi peluang terapeutik bagi probiotik dalam merawat pesakit IBS dan juga bagi orang sihat yang mengalami simptom gastrousus. Kajian lanjutan diperlukan tetapi buat sementara waktu, apa yang kita ketahui ialah probiotik mempunyai potensi sebagai pilihan dalam merawat sembelit pesakit IBS dan orang sihat serta berpotensi melegakan simptom lain juga.

Profesor Madya Dr Raja Affendi Raja Ali merupakan Pakar Perunding Perubatan & Gastroenterologi. Pakar/Penulis tiada kaitan dengan dan tidak menyokong mana-mana jenama atau produk. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 03-5632 3301.

Artikel ini adalah sumbangan PROGRAM PENGHADAMAN SIHAT VITAGEN.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2017 @ 11:15 AM