MAKANAN pedas boleh mengancam bakteria baik dalam usus.
MAKANAN pedas boleh mengancam bakteria baik dalam usus.
PENYAKIT berkaitan sistem penghadaman adalah penyebab utama keenam kematian di hospital awam dan swasta.
PENYAKIT berkaitan sistem penghadaman adalah penyebab utama keenam kematian di hospital awam dan swasta.
Probiotik secara signifikan tingkat kebolehan sistem imun untuk mencapai keseimbangan ideal.
Probiotik secara signifikan tingkat kebolehan sistem imun untuk mencapai keseimbangan ideal.
Aniza Zainudin


Gara-gara tahap kepedasan yang melampau, mi segera buatan Korea Selatan pernah menjadi viral dalam kalangan rakyat Malaysia.

Malah carian di laman sosial sama ada Instagram mahupun YouTube dipenuhi dengan perkongsian ‘keberanian’ masyarakat yang pernah mencuba mi segera berkenaan.

Lagi pedas, lagi me­ngujakan! Apatah lagi lidah rakyat Malaysia terutama orang Melayu sememangnya tidak betah menjamu hidangan tidak pedas.

Di sebalik keghairahan menikmati hidangan bercili dengan kepedasan melampau sebenarnya secara perlahan-lahan kita mengundang masalah kesihatan perut.

Pegawai Perubatan Kesihatan Awam, Unit Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit, Pejabat Kesihatan Daerah Gombak Dr Sofwan Albar Nusyirwan berkata, amalan pemakanan tidak sihat dalam kalangan masyarakat boleh memberi impak negatif terhadap sistem penghadaman merangkumi proses pencernaan dan penyerapan manusia.

“Makanan pedas menghasilkan asid dalam perut yang mengurang­kan ketahanan mikroorganisma atau bakteria baik di bahagian perut dan usus yang berfungsi mengekalkan kesihatan, membantu fungsi sistem penghadaman dan penyerapan.

“Sistem penghadaman bermula dari mulut bagi proses mengunyah makanan menjadi bahagian lebih kecil sebelum ia disalurkan ke perut yang bertindak menghaluskan makanan bersama asid dan enzim tertentu untuk meneruskan proses penyerapan di bahagian usus.

“Usus mengandungi banyak bakteria flora baik yang bertindak meningkat­kan lagi proses penyerapan zat makanan berkualiti diperlukan tubuh.

“Mikroorganisma ini wujud secara semula jadi dalam perut tetapi ia boleh berkurangan berpunca daripada amalan pemakanan individu yang menggemari makanan pedas, berasid tinggi atau pengambilan antibiotik.

“Bagi mereka yang biasa makan makanan pedas perlu tahu perkara ini. Makanan pedas akan meningkatkan kadar asid dalam perut, sampai satu tahap mereka mudah me­ngalami sakit perut dan cirit-birit kerana tempoh transit usus (ITT) lebih pendek antara lima hingga 10 saat,” jelasnya.

Tempoh transit usus adalah tempoh yang diperlukan untuk makanan bergerak dari mulut melalui saluran penghadaman dan pencernaan, seterusnya sisa makanan yang tidak diperlukan akan dibuang menerusi dubur.

Justeru, kewujudan mikroorganisma baik pada dinding usus menggalakkan kesihatan optimum, memberi keseimbangan dan membantu sistem penghadaman berfungsi dengan lebih baik.

Meskipun bakteria, virus ataupun kulat yang sinonim dengan epidemik berbahaya, kultur bakteria probiotik seperti lactobacillus dan bifidobacterium dalam tubuh manusia pula berfungsi melindungi mahupun mencegah masalah kesihatan.

Malah disarankan komposisi tubuh manusia memiliki 85 peratus probiotik ini.

Sepanjang kitaran hidup seseorang manusia, terdapat lebih 1,000 spesies mikroorganisma merangkumi bakteria, virus, ragi dan kulat dalam usus manusia yang membesar dan berkembang.

Menurut Sofwan lagi, probiotik boleh diambil menerusi minuman kultur atau dalam bentuk serbuk serta pil bagi merangsang lagi kebaikan dan menggalakkan pertumbuhan bakteria flora yang bermanfaat serta meningkatkan tahap imunisasi badan.

Disarankan pengambilan probiotik harian antara 4,000 hingga 8,000 cfu (iaitu unit pembentukan koloni), namun pengambilannya tidak digalakkan dalam kalangan individu yang mempunyai daya ketahanan imunisasi rendah seperti pesakit kronik.

Menegaskan kesihatan perut berpunca daripada pemakanan, beliau menyarankan pe­ngambilan makanan yang seimbang dan kaya serat bagi melancarkan proses penghadaman serta pencernaan.

Kekurangan makanan yang kaya serat seperti sayuran dan buahan boleh mengakibatkan isu kesihatan seperti sembelit, cirit-birit serta radang perut.

Sempena sambutan Hari Kesihatan Penghadaman Sedunia (WDHD 2018) baru-baru ini, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) mendedahkan bukti positif dengan

pengambilan probiotik secara teratur terhadap sistem imun subjek kajian, iaitu rakyat Malaysia.

Diketuai Pakar Perunding Perubatan dan Gastroenterologi PPUKM Prof Madya Dr Raja Affendi Raja Ali berkata, dua probiotik yang didapati dalam bentuk minuman susu kultur mengandungi Lactobacillus acidophilus dan Lactobacillus paracasei secara signifikan meningkatkan kebolehan sistem imun untuk mencapai keseimbangan ideal mampu dikekalkan.

Hasil penyelidikan dibentangkan dalam Forum Penyakit Penghadaman Antarabangsa di Hong Kong ini mendapati sebanyak 96 peratus subjek kajian dilaporkan mengalami simptom sembelit berkurangan, penggunaan tandas kurang daripada 10 minit (45 peratus), kurang meneran ketika di dalam tandas (36 peratus), najis lebih lembut (31 peratus) dan masa penghadaman makanan lebih pantas (33 peratus).

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Dr Azman Abu Bakar mengakui kepenti­ngan hasil kajian berkenaan, sekali gus menunjukkan keadaan serius kesihatan penghadaman yang dialami kebanyakan rakyat Malaysia.

“Berdasarkan Fakta Kesihatan 2017 dikeluarkan KKM, penyakit sistem penghadaman adalah penyebab utama keempat bagi kemasukan hospital di sektor swasta manakala ketujuh bagi kemasukan ke hospital kerajaan.

“Penyakit sistem penghadaman ini juga adalah penyebab utama keenam bagi kematian dicatatkan di kedua-dua hospital kerajaan dan swasta.

“Justeru, kedua-dua sektor perlu bekerjasama secara aktif bagi menyelesaikan masalah ini dengan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sementara itu, penganjur WDHD 2018, Program Penghadaman Sihat VITAGEN dan Persatuan Kesihatan Penghadaman Malaysia (DHM) berharap penganjuran acara tahunan ini dapat menggalakkan dan mempromosi kesihatan penghadaman yang optimum dalam kalangan masyarakat awam di Malaysia menerusi kempen pendidikan komuniti dan inisiatif.

Kebaikan probiotik terhadap kesihatan perut:

- Membantu proses pencernaan makanan dengan lebih baik

- Meningkatkan metabolisma badan dengan me­ngeluarkan lebih banyak tenaga daripada nutrien dalam makanan

- Menghasilkan vitamin B

- Menghapuskan toksin

- Mengekalkan kesihatan dinding usus

Kebaikan probiotik terhadap sistem imunisasi:

- Probiotik bersaing mendapatkan zat nutrisi daripada bakteria jahat

- Probiotik membentuk lapisan pada dinding usus sekali gus melindungi usus daripada bakteria jahat

- Probiotik bertindak melawan bakteria jahat

- Sel imun terus menyerang bakteria jahat dan menghilangkannya

- Mengurangkan jangkitan dan selesema

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Julai 2018 @ 5:58 AM