PADANAN selesa sesuai untuk bersantai bersama rakan.
PADANAN selesa sesuai untuk bersantai bersama rakan.
Intan Mas Ayu Shahimi


PERUBAHAN zaman menuntut remaja kini lebih pantas dan kreatif memikirkan idea untuk tampil ringkas, namun masih mengekalkan ciri sopan, menepati gaya serta trend fesyen terkini.

Tidak dinafikan, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, fesyen remaja memang banyak dipengaruhi gaya dari Korea, Jepun dan Taiwan. Tambahan, gaya yang ditonjolkan tidak terhad kepada remaja yang tidak bertudung.

Asalkan pandai mencantum gaya bersesuaian dengan identiti diri, tentu pilihan pakaian yang disarung ke tubuh mampu menyerlahkan penampilan. Lebih dari itu, ia mungkin jadi ikutan teman dan sahabat yang mahukan gaya serupa.

Meneliti koleksi blaus, seluar kembang, kemeja longgar, skirt dan jaket jenama keluaran anak tempatan, ThePopHead, memang kebanyakan pilihan yang ditonjolkan menepati gaya dan trend remaja hari ini.

Padanan jaket denim dengan blaus longgar dan skirt beropol lebar tidak pernah mengecewakan, apalagi ketinggalan zaman.

Kata pemilik jenama terbabit, Raja Nur Azreen Raja Mohd Ghazali, padanan ringkas itu wajar dimasukkan dalam senarai pakaian wajib ada untuk setiap remaja perempuan yang mementingkan gaya dan keselesaan.

Andai mahukan gaya santai, mereka boleh memilih padanan kasut sniker rona putih atau pastel bersulam. Namun, jika selesa dengan gaya ranggi, sepatu bertumit tebal mungkin lebih sesuai untuk melengkapkan penampilan.

“Selain skirt beropol, jenis potongan A juga menepati trend remaja kini. Ia sesuai dipadankan dengan kemeja longgar atau blaus potongan ringkas. Apa yang penting, ia nampak sopan, selesa dan tidak keterlaluan jika dipadankan dengan sepatu kanvas.

“Bagi remaja yang sukakan gaya kasual dan kemas, pemilihan jaket memainkan peranan penting. Pilih sama ada kardigan potongan longgar atau jaket kasual yang memiliki perincian paling ringkas. Suai padan dengan denim dan sepatu jenis sarung atau sniker,” katanya.

Jelas Raja Nur Azreen, selain blaus dan skirt rona semula jadi, kemeja corak jalur dengan warna terang juga menjadi pilihan terkini remaja hari ini. Semua helaian ini masih boleh dicampur padan mengikut kesesuaian dan keselesaan pemakai, sekali gus menampilkan lebih banyak gaya dalam satu-satu masa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 7:01 AM