MEMILIKINYA bukan pembaziran bahkan kemestian untuk penggemar fesyen.
MEMILIKINYA bukan pembaziran bahkan kemestian untuk penggemar fesyen.
Redzuan Muharam


Jika dulu, pemakaian blazer sinonim dengan mereka yang bekerja di pejabat atau ke acara formal, namun kini tidak lagi kerana ia juga boleh dipakai untuk kelihatan kasual.

Malah, memilikinya ibarat satu kemestian bagi penggemar fesyen terutama emaja kerana pelbagai gaya boleh disesuaikan dengannya.

Jadi, tiada istilah membazir kerana baik lelaki mahupun perempuan, kedua-duanya sesuai menyarung blazer dengan syarat anda bijak menyuai padan.

Berikut antara lima gaya pilihan untuk mereka yang ingin cuba lari daripada kebiasaan:

BAJU-T

Bersesuaian imej kasual maka baju yang dipakai juga hendaklah lebih ringkas.

Jadi, memadai jika pemakai blazer menyarung baju-T saja di bahagian dalam sebagai pengganti kemeja.

Warna putih amat sesuai namun rona lain yang lebih terang juga boleh dipakai .

SELUAR PENDEK

Padanan blazer dan slack agak ‘cliche’ jadi sekali-sekala, apa kata anda gayakan blazer yang ada dengan seluar pendek.

Gaya ini cukup sesuai terutama untuk jejaka yang mahu ke acara santai dan bagi kelihatan lebih kasual, sarungkan kasut jenis sniker.

Apa yang penting, anda berani kerana belum cuba belum tahu!

SKIRT

Untuk gadis, anda boleh memilih skirt sebagai alternatif dan pengganti kepada seluar slack jika tidak mahu kelihatan maskulin.

‘Pencil skirt’ antara pilihan jika ingin ke pejabat manakala skirt material denim pula lebih sesuai untuk penggemar gaya ranggi dan kasual.

Bagi yang berimej Muslimah pula boleh memakai skirt potongan labuh rona polos atau bercorak.

DENIM POTONGAN ‘SKINNY’

Denim adalah pilihan selamat untuk mereka yang mahu tampil ringkas tetapi kasual namun pilih potongan jenis skinny.

Seluar denim potongan skinny bukan saja menyerlahkan bentuk kaki anda tetapi turut memberi keseimbangan terutama jika blazer dipakai bersaiz longgar atau ‘oversized’.

Rona denim pula terpulang sama ada senada dengan warna blazer atau sedikit kontra.

SELUAR ‘JOGGER’

Kenapa tidak anda menyuai padan blazer bersama seluar ‘jogger’? Lagipun, ia cukup sesuai dengan imej remaja.

Malah, ia universal yakni sesuai untuk gadis mahupun jejaka yang menggemari gaya kasual.

Untuk kelihatan ‘sporty’, sarungkan saja sniker kegemaran anda!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2017 @ 8:34 AM