WARNA pop saling bergabung dengan rona pastel yang melatari himpunan musim bunga dan luruh kali ini.
WARNA pop saling bergabung dengan rona pastel yang melatari himpunan musim bunga dan luruh kali ini.
JUMPSUT inspirasi retro ini diserlahkan dalam potongan lurus dan ringkas.
JUMPSUT inspirasi retro ini diserlahkan dalam potongan lurus dan ringkas.
SANDAL gladiator ini diseimbangkan dengan gaun cetakan feminin.
SANDAL gladiator ini diseimbangkan dengan gaun cetakan feminin.
DENIM antara fabrik pilihan sepanjang musim ini.
DENIM antara fabrik pilihan sepanjang musim ini.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Antara yakin, chic dan penuh selesa. Juga antara glamor dan impak hippie penuh manja. Semuanya saling berbaur dalam titipan retro yang melatari kebanyakan himpunan di pentas peragaan musim ini.

Bagi Dorothy Perkins, interpretasinya ringkas dengan gaya minimal. Namun apa yang dipersembahkan sama sekali bukan tipikal dengan memperlihatkan sisi klasikisme penuh variasi segar dan moden.

Palet warnanya nyata menonjolkan rona lazim musim ini. Pastel, putih, krim, biru, merah jambu dan hijau diberikan sentuhan sofistikated, sesekali diserlahkan dengan warna pop seperti merjan juga biru nila.

Sementara itu, sebahagian besar rekaannya dicedok daripada gaya retro era 1970-an yang boleh dilihat pada helaian gaun, celana panjang dan jumpsut.

Tidak ketinggalan beberapa trend Sports Luxe diketengahkan dengan paduan fabrik menarik antaranya rajut, renda, kulit dan suede.

Tekstur mewah ini kemudian digandingkan bersama denim salah satu fabrik utama sepanjang musim bunga dan panas tahun ini.

Helaian gaunnya sengaja dihasilkan labuh, skirt pula diberi penekanan rekaan A-line manakala celana cropped jadi tumpuan.

Perincian ropol lembut dan cetakan feminin yang mengambil inspirasi dari Timur, menyerlahkan lagi stail romantis bohemian 70-an ini.

Blaus longgar dipadankan bersama skirt berbutang dan celana jean potongan kembang, turut disertakan kasut platform dan topi felt yang mewujudkan siluet klasik 70-an.

Untuk musim bunga dan panas ini, culotte (seluar longgar yang menyerupai skirt) dipersembahkan dalam fabrik kulit dengan rona merah jambu sementara kombinasi seluarnya agak lebar dan kembang yang memberikan penampilan lebih segar serta elegan.

Andai gaya moden yang didambakan, trend Sports Luxe jadi pilihan. Potongan lurus dan ringkas mencipta stail utiliti berteraskan era 1990-an.

Rekaan boxy dan jaket jenis cropped dalam variasi fabrik serta tekstur daripada neoprene hinggalah ke helaian jarang diadun bersama celana panjang yang menyerlahkan gaya sleek eksentrik.

Blaus simetri dan tunik ditambah dalam senarai baru untuk himpunan kali ini.

Aksesori tidak ketinggalan memainkan peranan dalam menata gaya menarik. Sepatu platform amat popular di pentas peragaan kali ini dan tampak padan bersama beg tangan suede.

Beg mini juga diperkenalkan dan dihasilkan dalam beberapa pilihan warna serta gaya menarik.

Semangat musim panas diangkat dengan paduan sandal gladiator hingga ke paras lutut yang biasanya digabung bersama skirt atau celana denim pendek.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2015 @ 5:02 AM