RONA jingga polos dipadankan palazo tampil menyerlah.
RONA jingga polos dipadankan palazo tampil menyerlah.
Siti Zarinah Sahib

Menampilkan 18 koleksi pakaian wanita dan empat lelaki, rekaan diketengahkan jenama Jubahsouq di pentas peragaan Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW18), baru-baru ini tentunya menarik perhatian ramai.

Mana tidaknya dibayangi potongan sopan berkonsepkan Muslimah, kali ini jenama inspirasi dua anak muda berbakat Zack Amrul dan Amirudin Yatin ini memberikan kelainan serta gaya yang ditunggu-tunggu peminatnya.

Bercakap mengenai konsep atau koleksi di KLFW18, jelas Zack, mereka masih menseimbangkan antara pakaian yang nampak sopan tetapi pada masa sama mengikut trend semasa.

“Contohnya, jika kami menghasilkan rekaan berlengan pendek untuk KLFW kerana ingin menarik perhatian pasaran bukan Islam atau wanita tidak bertudung. Bagi wanita berhijab yang ingin menggayakannya mereka masih boleh memadankan dengan kardigan atau alas baju di dalam,” katanya.

BLAUS dengan unsur lipatan pada lengan menjadi tanda pengenalan jenama ini.
BLAUS dengan unsur lipatan pada lengan menjadi tanda pengenalan jenama ini.

Tambahnya lagi, untuk KLFW, jenama ini masih mengambil kira aspek kesopanan dalam setiap helaian. Ini disebabkan akan ada busana yang diambil dari pentas peragaan kemudian diubah suai mengikut potongan pasaran peminat mereka.

“Kami mendapat maklum balas daripada pelbagai lapisan masyarakat yang hadir ketika KLFW berlangsung. Mereka memberikan pendapat yang sangat positif dan juga memberangsangkan. Untuk menembusi pasaran baru, kami perlu melabur. Jadi disebabkan itu, KLFW itu sendiri adalah satu platform yang bagus untuk lebih dikenali di Malaysia,” katanya.

Untuk koleksi kali ini, baik Zack mahupun Amirudin cuba memberikan kelainan apabila menggabungkan imej yang lebih santai dan kasual dengan elemen adibusana yang sama. Himpunan ini lebih mudah disuai padan, namun diberikan sedikit suntikan gaya jalanan.

“Sebagai contoh, kemeja-T berkolar penyu sesuai digabungkan dengan seluar berlipat manakala track berbutang sepadan digayakan bersama gaun berbutang,” kata Zack.

KEUNIKAN pada skirt berona terang dipadankan blaus putih.
KEUNIKAN pada skirt berona terang dipadankan blaus putih.

Mengambil inspirasi daripada fesyen semasa, namun masih mengekalkan ketulenannya apabila gaun diperagakan diolah dengan rekaan bertingkat atau berlapis yang menjadi tanda pengenalan jenama ini.

Untuk pertunjukan fesyen kali ini, setiap helaian diolah menjadi jumpsuit yang dihasilkan dengan potongan berbeza bagi menampilkan sisi feminin seorang wanita.

Kelihatan elegan digayakan jelas Zack, dia menggunakan material sutera shantung untuk mendapatkan kesan yang lebih berstruktur selain premium satin, sutera sifon dan royal duchess sebagai pilihan.

Istimewanya apabila mereka menggunakan material telus seperti plastik untuk beberapa rekaan.

“Misalnya baju diperbuat daripada plastik dan hologram manakala panel skirt juga dihasilkan daripada plastik. Agar ia kelihatan cukup menarik, pemilihan warna sangat penting.

“Rona terang dengan rangkaian warna neon dan hologram seperti magenta, kuning lemon, biru firus dan hijau epal dipilih kerana ia sukar diperoleh dan nampak unik,” katanya.

GAUN dengan perincian ikatan reben pada pinggang.
GAUN dengan perincian ikatan reben pada pinggang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 September 2018 @ 3:00 AM