SULAMAN emas menyerlahkan elemen matador.
SULAMAN emas menyerlahkan elemen matador.
Intan Mas Ayu Shahimi


Mengambil ilham daripada matador! Belum ramai anak muda seberani pereka tempatan ini. Meneliti satu per satu rekaan Qudyn Aziz di pentas Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2017 (KLFW 2017) lalu, sukar untuk menidakkan rasa kagum.

Mengekalkan elemen sulam yang menjadi tanda pengenalan dirinya, Qudyn dilihat cukup selesa menyuntik elemen budaya di Sepanyol itu dalam helaian koleksi terbarunya.

“Koleksi ini diilhamkan daripada kostum matador. Saya sengaja membawa kelainan dalam koleksi baju sedia pakai (RTW). Kalau dilihat, satu daripada ciri utama kostum matador adalah kemasan sulam emasnya.

“Jadi, saya cuba membawa elemen serupa dalam gaya dan rekaan kasual supaya ia nampak lebih moden dan segar,” katanya.

Menurut Qudyn, dia teruja mengekalkan elemen sulaman dalam rekaannya, sekali gus membawakan pilihan fesyen unik dan tersendiri untuk pemakai.

RINGKAS namun penuh inspirasi.
RINGKAS namun penuh inspirasi.

“Ini koleksi baju sedia pakai pertama saya dan elemen matador cukup tepat untuk mengangkat jenama ini. Bagaimanapun, bagi membolehkan rekaan ini sesuai dipakai, saya menghasilkan sesuatu yang mudah dan ringkas.

“Dari segi warna, saya memilih warna terang dan tidak keterlaluan seperti kuning, hitam, putih serta hijau yang digabungkan dengan sulaman emas bagi mengekalkan imej matador,” katanya.

Jelasnya, terdapat 16 potongan untuk koleksi RTW, antaranya seluar potongan sendat, blaus longgar, jumpsuit, skirt berlapis serta jaket.

UNIK dan penuh emosi
UNIK dan penuh emosi

Mengelak perincian sarat, Qudyn lebih senang memberi sentuhan sulaman di bahagian tertentu saja seperti bahu, pinggul dan kaki seluar. Sementara fabrik digunakan adalah jenis baldu bagi memberi kesan lembut dan berkilau.

“Rekaan dengan elemen matador ini membawa mesej keberanian dan penuh dramatik. Saya harap ia boleh mencipta satu trend baru dalam kalangan peminat fesyen,” katanya.

PERINCIAN pada bahu ilham gaya matador.
PERINCIAN pada bahu ilham gaya matador.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2017 @ 12:07 AM