Syafil Syazwan Jefri

KEDATANGAN Ramadan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedikit sebanyak memberikan pengalaman berbeza buat kita semua.

Bagi penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob, sambutan Ramadan kali ini berbeza dari segi lokasi tempat bekerja, namun masih menjalani kesibukan rutin yang sama seperti tahun sebelum ini.

"Dalam tempoh PKP ini, banyak perkara yang perlu disusun atur dengan cara berbeza. Kalau Ramadan sebelum ini saya banyak habiskan masa di dapur restoran serta hotel, sekarang rutin memasak masih sama, cumanya saya berada di rumah," katanya.

Ditanya mengenai salah satu resipi mudah yang boleh dibuat di rumah sepanjang Ramadan ini, Fazley tidak lokek untuk berkongsi resipi yang dihasilkannya sendiri iaitu Salad Buah-buahan Berkrim dengan Oreo dan Meringue.

TIDAK lokek kongsi resipi yang dihasilkannya.
TIDAK lokek kongsi resipi yang dihasilkannya.

"Ini adalah resipi mudah dan sangat sesuai dalam bulan Ramadan ini. Bukan saja untuk berbuka puasa, tetapi sesuai dimakan ketika waktu sahur. Penyediaannya juga tidak rumit dan lebih menarik yang mana ia boleh disimpan dalam peti sejuk selama lima hingga tujuh hari.

"Bahan-bahannya adalah yogurt, esen vanila, koktel buah-buahan dalam tin, madu dan cebisan kurma. Untuk bahagian atas, saya menggunakan biskut Oreo yang dihancurkan dan meringue yang boleh dihasilkan dengan menggunakan putih telur serta gula.

"Kemudian, bahagian atas putih telur dan gula itu dilayur untuk menghasilkan meringue sebelum dihias dengan buah-buahan," katanya.

Menurut Fazley, dia mendapat idea bagi menghasilkan resipi itu ketika menyambung pengajian di New Zealand suatu ketika dahulu.

"Suatu ketika musim panas di sana, saya berfikir bagaimana nak hasilkan makanan yang boleh menyejukkan badan. Jadi, muncul idea untuk menghasilkan resipi ini. Alhamdulillah, pelajar dan pensyarah pun suka.

"Jadi, seminggu sekali saya akan buat kerana bahan-bahan mudah didapati dan prosesnya tidak susah. Lagi satu, kita boleh cantik dan sesuaikan saiz penyediaannya mengikut kesesuaian," katanya.

Menurut Fazley, resipi itu umpama manisan yang lengkap dan pada masa sama dapat menjaga perut serta mengawal nafsu makan ketika berpuasa.

"Dengan adanya buah-buahan dan yogurt, ia dapat membantu 'menenangkan' perut kita dan pada masa sama, memberikan tenaga kerana ia adalah satu manisan yang lengkap," katanya.

Berkongsi mengenai aktivitinya sepanjang Ramadan, Fazley menyiapkan beberapa video memasak selain meluangkan masa bersama keluarga di rumah.

"Kalau sebelum ini saya bekerja di dapur, kali ini saya wujudkan studio di rumah. Jadi, dalam pada sibuk bekerja, saya dapat juga menghabiskan masa bersama isteri dan anak-anak.

"Kebanyakan kerja dilakukan secara dalam talian dan ada juga kami menerima pesanan untuk penghantaran juadah berbuka puasa. Semuanya saya lakukan di rumah," katanya.

RUTIN memasak masih sama tetapi Ramadan ini Fazley buat di rumah.
RUTIN memasak masih sama tetapi Ramadan ini Fazley buat di rumah.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2020 @ 6:01 PM