BERNARD perkenalkan renda sebagai fabrik utama sempena Syawal.
BERNARD perkenalkan renda sebagai fabrik utama sempena Syawal.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Setiap kali tampil dengan koleksi baru, pastinya setiap inci ruang padanan koleksi terbaru pereka tersohor ini ingin diterokai. Daripada rekaan, potongan, perincian sehingga kepada fabrik nyata memperlihatkan inovasi terkini walaupun atas nama rekaan tradisional.

Bermula dengan koleksi Petang Raya 2006, Datuk Bernard Chandran tampil dengan gaya memikat membawa revolusi baru dalam rekaan baju kurung. Kekal tradisi, namun diperindahkan menerusi potongan bagi memperlihatkan penggayaan wanita moden dan glamor, setiap tahun rekaannya tidak pernah mengecewakan kerana dia nyata memberikan suntikan berbeza dalam setiap helaian busana yang dihasilkannya.

Tidak mahu kalah dalam mengekalkan kelangsungan rekaan busana yang inovatif dan kreatif, sekali lagi Bernard tampil dengan koleksi Petang Raya 2015/16 dengan menonjolkan revolusi gaya, namun masih berpegang teguh kepada akar tradisi Melayu.

Jika fabrik renda diangkat sebagai bahan untuk memperindahkan pakaian mempelai, Bernard menggunakan kepakarannya dengan memperkenalkan renda sebagai fabrik utama sempena Syawal.

Menurut Bernard, dia menghasilkan beberapa reka bentuk renda yang akan mewujudkan kesan baru. Misalnya penampalan renda dengan cara yang lebih bersahaja dan pada masa sama, mengekalkan elemen tradisinya.

"Saya sengaja memilih renda untuk Petang Raya 2015/16 bagi mengetengahkan unsur glamor dan elegan kepada wanita. Setiap potongan dikemas kini dengan ciptaan ala blaus dan gaun bagi memberi inspirasi kepada wanita untuk menerima pakaian tradisional bukan dalam acara tradisi saja.

"Begitu juga dengan fabrik bulu yang sudah tentu sukar diterima di Malaysia memandangkan keadaan iklim di sini. Saya menggunakannya sebagai cetusan idea bagi memberikan sesuatu yang segar dan sudah tentu ia boleh dipelbagaikan. Misalnya di negara yang mempunyai empat musim, anda dapat melihat fesyen tradisional mereka mengĀ­gunakan bulu sama ada sebagai bahan utama atau sebagai perincian saja," katanya.

Menggunakan palet rona segar seperti jingga, merah jambu pekat, hijau sitrus, turquoise dan hitam, jelas Bernard, warna ini diambil menerusi warna kemeja-T anak perempuannya yang memberikan kecerian kepada si pemakai.

"Saya berasakan warna ini selain ceria ia amat menyeronokkan kerana si pemakai akan tampil muda. Malah ia masih mengekalkan gaya glamor dan tradisional," katanya.

Bercerita mengenai rekaan Bernard yang terkenal dalam penghasilan baju kurung yang inovatif lebaran kali ini, dia turut menampilkan kelainan menerusi kurung berkolar, lengan, bentuk blaus dan poket serta diperindahkan dengan perincian kerawang menggunakan manik tiub dan kristal sebagai corak jalur.

Apa yang ingin ditampilkan adalah wanita yang yakin, sukakan cabaran dan tidak menyembunyikan sifat kewanitaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2015 @ 11:54 AM