SEMAKIN ramai belia terbabit dalam aktiviti sukarela termasuk membersihkan pantai.
SEMAKIN ramai belia terbabit dalam aktiviti sukarela termasuk membersihkan pantai.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

PENCEMARAN daripada sisa plastik seakan-akan wabak yang berbahaya kepada hidupan laut dan kesannya terhadap kesihatan manusia amat membimbangkan.

Setiap hari jutaan plastik digunakan manusia di seluruh dunia dan akhirnya dibuang ke tapak pelupusan sampah atau hanyut ke laut.

Seluruh dunia menyumbang kepada pencemaran daripada plastik yang akhirnya mencemar laut dan memberi masalah kepada kehidupan marin serta mengancam kesihatan manusia.

Isu pencemaran laut terus mendapat perhatian banyak pihak dan atas kesedaran terhadap kesan kepada hidupannya, pelbagai program dijalankan antaranya Hari Membersihkan Pantai Antarabangsa.

Lebih membanggakan apabila melihat semakin ramai belia kian aktif menyertai aktiviti sukarela antaranya membersihkan pantai, bahkan usaha jitu mereka dalam memperjuangkan kelestarian alam berupaya mengelakkan lebih banyak hidupan laut diancam kepupusan.

Baru-baru ini, The Body Shop Malaysia menyertai inisiatif global sempena Hari Pembersihan Pantai Antarabangsa di Pantai Redang, Sekinchan, dengan hampir 200 sukarelawan terdiri daripada pelbagai golongan termasuk belia.

Tahun ini, program itu turut bertujuan membantu mengumpul data mengenai jenis sampah yang ada di kawasan pantai tempatan yang kemudian dihantar ke Ocean Conservancy sebagai sebahagian daripada pengumpulan data global yang akan dianalisis.

Secara keseluruhan, sukarelawan mengumpul sejumlah 583.2 kilogram (kg) sampah di pantai berkenaan dan maklumat daripada aktiviti pembersihan pantai itu dikombinasikan dengan inisiatif lain bagi mendapatkan data indeks tahunan sisa marin global.

Menurut Pengarah Urusan The Body Shop Malaysia Datin Mina Cheah-Foong, program itu bukan sekadar memungut sampah supaya pantai menjadi bersih, tetapi apa yang lebih penting ialah memastikan ia tidak kembali ke dalam laut dan menjejaskan hidupan marin.

“Kita perlu sedar kesan sampah ke atas alam sekitar dan apa akan terjadi sekiranya ia tidak dibuang dengan betul.

“Sasaran utama inisiatif ini untuk mengelak sampah daripada masuk semula ke perairan, mendidik masyarakat dan memperlihatkan hasil pungutan yang berjaya dikumpulkan kepada orang ramai.

“Kami gembira semakin ramai sedar kepentingan penjagaan kebersihan ini khususnya belia apabila mereka aktif mengambil bahagian dalam pembersihan pantai. Mereka dapat melihat sendiri jumlah sisa dan ancaman sampah.

“Aktiviti ini adalah platform untuk meningkatkan kesedaran mengenai peningkatan pencemaran lautan. Selain membersihkan pantai ia bertujuan mendidik orang ramai kepentingan mengekalkan kebersihan dan keselamatan air untuk kehidupan marin dan generasi masa depan kita,” katanya.

Katanya, ia juga sejajar dengan misi jenama itu untuk mengembangkan perniagaan yang menggunakan sumber alam supaya ia boleh ditanam dan dituai hasilnya secara semula jadi.

Inilah sebabnya usaha menjaga kebersihan sumber air, pantai, laut, tasik dan sungai secara berterusan amat penting, bukan sekadar aktiviti sehari dalam setahun.

Sisa marin dari tapak pelupusan sampah serta pembuangan sampah katanya mempunyai kesan negatif secara langsung terhadap kesihatan hidupan liar pesisir dan kesihatan manusia sendiri.

SUKARELA bergambar bersama.
SUKARELA bergambar bersama.

Pencemaran plastik salah satu daripada penyumbang terbesar sisa laut. Ini menyebabkan masalah yang memberi kesan kepada semua orang.

“Haiwan tersilap menelan plastik kerana disangka makanan, ikan terikat dalam serpihan, keindahan pantai hilang menyusutkan nilai pelancongan, diet terjejas kerana kita memakan makanan laut yang tercemar dengan sisa kimia dan mikro plastik.

“Planet kita menderita. Isu ini lebih besar daripada yang sering disangkakan banyak pihak. Cara paling mudah untuk mengelakkan lautan menjadi tempat pembuangan sampah sejagat ialah dengan sentiasa menjaga kebersihan alam sekitar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 5:10 AM