AMINAH bersama suami, anak dan menantu.
AMINAH bersama suami, anak dan menantu.
Siti Nadirah Hafidzin

Berstatus nenek dan mempunyai lapan cahaya mata tidak menjadi penghalang kepada wanita ini untuk kekal sihat dan cergas.

Melihat personaliti dirinya langsung tidak menunjukkan usia sebenar yang sudah mencecah angka 56 tahun.

Mana tidaknya, wanita ini masih ligat bekerja dan menjalankan rutin hariannya sama seperti wanita muda tanpa menunjukkan tanda penat.

Aminah Mohamed Daim yang tidak lokek senyuman ini berkongsi langkah mudah yang diamalkannya sejak berusia belasan tahun hingga kini bagi memastikan kekal sihat.

Menurut Aminah, dia amat menekankan aspek senaman dalam rutin hariannya kerana yakin ia adalah langkah paling tepat untuk mendapatkan tahap kesihatan terbaik.

“Saya bukanlah individu mempunyai jadual bersenam konsisten setiap hari namun apa yang saya amalkan adalah mudah iaitu dengan bersenam mengikut kemampuan diri walaupun sekadar berjalan.

“Tidak perlu memaksa diri, asalkan lakukan senaman yang mudah tidak kira di mana saja kerana ia akan membantu anda kekal cergas walaupun usia sudah meningkat,” katanya.

Aminah berkata, selain senaman, dia juga mengamalkan pengambilan air suam selepas bangun tidur iaitu sebelum bersarapan.

“Ia juga boleh dilakukan sebelum tidur sambil membaca selawat sebanyak tiga kali. Pengambilan air suam yang cukup amat baik untuk kesihatan dan kalau boleh cuba elakkan minuman berais.

“Semua ini memang nampak remeh tetapi ia memberi kesan jangka masa panjang kepada kesihatan terutama membabitkan tahap kecergasan dan tidak mudah lesu,” ujarnya.

SUSUKAN SEMUA ANAK

Dianugerahkan lapan cahaya mata membuatkan Aminah berpeluang memberikan susu badannya kepada semua anaknya.

“Ini antara teknik paling mudah, murah dan berbaloi kerana ketika menyusukan bayi ia dapat membantu mengekalkan bentuk badan.

“Amat rugi kepada wanita yang mempunyai susu badan dan tidak mengalami sebarang masalah tetapi tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya. Walaupun anda ada banyak wang untuk membeli susu formula, tetapi khasiatnya tetap tidak setanding dengan susu badan kerana semua proses membabitkan penyusuan turut memberi kesan positif kepada badan ibu,” katanya.

Menurutnya, atas sebab itu juga, dia sentiasa menasihatkan anaknya untuk mengamalkan pemberian susu badan kerana ia memberi banyak manfaat kepada ibu juga kepada bayi.

“Dalam aspek pemakanan, saya sentiasa mengambil lebih sayur-sayuran, ulam dan buah-buahan dalam diet harian. Ini semua orang sudah tahu tetapi ramai yang tidak mengamalkannya.

“Apa yang saya amalkan adalah mudah kerana semuanya tidak memerlukan perbelanjaan yang tinggi asalkan ada dilakukan secara konsisten,” ujarnya.

Aminah turut menekankan aspek penjagaan diri dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak kerana ia adalah tempoh paling sesuai untuk menjaga kesihatan diri.

“Untuk sihat jangan sesekali abaikan petua nenek moyang seperti bertungku, berbengkung, berurut, pengambilan jamu juga madu.

“Syukur, sehingga ke usia ini saya kekal sihat tanpa sebarang penyakit dan berharap dapat terus menjaga kesihatan supaya berada pada tahap yang baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2017 @ 5:41 AM