Siti Nadirah Hafidzin

Kesihatan diri antara harta paling berharga yang tidak mampu dibeli dengan wang ringgit, namun ramai yang tidak mengambil perhatian sehingga akhirnya menghidap pelbagai penyakit serius.

Ramai juga yang tidak menyedari peranan pengambilan makanan berkhasiat untuk memastikan kesihatan yang baik. Punca utama serangan penyakit serius seperti kanser dan penyakit jantung adalah pengambilan makanan yang tidak seimbang dan kurang mengambil makanan berkhasiat selain kurang bersenam.

Corak pengambilan makanan yang teratur dan seimbang sepatutnya dimulakan sejak kanak-kanak dan perlu diteruskan sehingga dewasa terutama apabila usia semakin meningkat. Makanan seimbang adalah makanan yang membekalkan cukup zat untuk keperluan badan setiap hari.

Antara kepentingan pengambilan makanan seimbang:

Pembesaran lebih sempurna dari aspek fizikal

Tubuh perlu menerima semua zat yang diperlukan untuk membina badan yang kuat serta sihat. Keupayaan fizikal ini membolehkan kita menjalankan tugas dengan baik dan sempurna.

Pemakanan seimbang menjadikan fizikal seseorang itu lebih baik dan sihat berbanding individu yang kurang menjaga aspek pemakanan.

Menyediakan vitamin mencukupi kepada badan

Keperluan vitamin mencukupi ini menjadikan tubuh manusia lebih tahan untuk menghadapi sebarang jangkitan penyakit atau dengan kata lain, tidak mudah jatuh sakit.

Mampu mengawal obesiti

Salah satu aspek utama pemakanan seimbang adalah keperluan mengambil makanan dalam kuantiti yang kecil tetapi cukup khasiat.

Pengawalan pemakanan menjadikan tubuh seseorang itu ideal dan mudah menjalankan pelbagai aktiviti terutama senaman yang mampu menyihatkan badan sekali gus menghindar obesiti.

Perkembangan mental tidak terganggu

Kekurangan zat makanan tertentu boleh membuatkan seseorang cepat letih fizikal dan mental.

Keadaan ini menjadikan seseorang itu gagal berfikir untuk menyelesaikan masalahnya dengan lebih efektif.

Selain empat manfaat di atas, amalan pemakanan seimbang dan sihat juga memberi kesan kepada berat badan ideal yang menjadi dambaan setiap orang. Boleh dikatakan mendapatkan berat badan ideal menjadi cabaran besar kepada hampir semua orang khususnya selepas usia menjangkau angka 40.

Ikuti enam langkah mudah yang dapat membantu anda untuk mendapatkan berat badan ideal namun perlu diingat, segalanya memerlukan kekuatan disiplin diri:

Mulakan sekarang

Menurunkan berat badan tidak sekadar cukup dengan bermodalkan niat. Anda perlu tekad melakukannya selain memastikan diri mengikut segala perancangan terutama dari segi pemakanan harian anda.

Letakkan sasaran yang munasabah

Tetapkan sasaran yang mampu dicapai dan bukannya di luar kemampuan diri. Penurunan berat badan 0.5 kilogram setiap minggu dianggap jumlah yang ideal dan tidak keterlaluan. Malah, anda juga tidak berasa tertekan untuk mencapai sasaran.

Keupayaan seseorang individu berbeza antara satu sama lain. Sesetengah orang yang mempunyai perancangan teratur dan tekad yang tinggi mungkin boleh mencapai penurunan yang lebih banyak berbanding setengah kilogram dalam tempoh seminggu. Jangan paksa diri sehingga melebihi kemampuan.

Tidak perlu terlalu memaksa

Jangan memaksa diri dengan langsung tidak mengambil makanan wajib seharian. Ramai yang mungkin menyarankan supaya anda mengehadkan itu dan ini, tetapi sebaiknya dapatkan ilmu mengenai pemakanan.

Ketahui jumlah kalori yang perlu diambil setiap hari, begitu juga jumlah kalori yang perlu anda bakar supaya ia memudahkan lagi proses penurunan berat badan anda.

Sekiranya anda langsung tidak mengambil makanan penting, ia bukanlah dapat membantu anda menurunkan berat badan. Hakikatnya ia lebih membuatkan anda berasa terlalu lapar dan seterusnya mengambil jumlah makanan dalam kuantiti yang banyak. Apabila mengambil makanan lebih daripada had sewajarnya, tentu sekali kalori juga bertambah.

Percepatkan sarapan

Jangan meninggalkan pengambilan sarapan kerana ia ternyata membantu anda menurunkan kalori dengan lebih cepat. Sekiranya anda meninggalkan sarapan, bimbang anda akan terlebih makan menjelang tengah hari kerana terlalu lapar.

Banyakkan minum air kosong

Kurang minum menyebabkan berlakunya banyak masalah kesihatan lain dan mengganggu proses menurunkan berat badan. Anda perlu minum air kosong dengan banyak bagi memudahkan proses penurunan berat badan.

Bersenam walaupun ringkas

Senaman memainkan peranan penting dalam proses menurunkan berat badan. Senaman yang dilakukan secara sistematik menyebabkan proses mengeluarkan peluh dan pembakaran kalori berjalan dengan cepat sekali gus membantu mendapatkan berat badan ideal.

Amalkan senaman tiga kali seminggu tetapi bukannya 10 minit setiap kali bersenam. Sekurang-kurangnya, lakukan 45 minit senaman sebanyak tiga kali seminggu. Bagi yang tidak biasa, ia mungkin kelihatan membebankan tetapi percayalah pasti ada hikmah di sebaliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2016 @ 11:25 AM