SETIAP wanita hamil perlu menghargai diri masing-masing.
SETIAP wanita hamil perlu menghargai diri masing-masing.
Siti Nadirah Hafidzin

Tempoh kehamilan adalah saat paling sesuai kepada setiap wanita untuk mula menjaga diri dengan sebaik mungkin bermula dari aspek fizikal juga emosi.

Bukan niat untuk mengada-ngada namun ia antara detik paling penting kepada mana-mana wanita untuk kekal sihat, gembira dan bertenaga.

Bagi yang menempuh saat kehamilan, berilah peluang melalui proses kehamilan itu bebas daripada masalah terutama apabila ia berkaitan emosi kerana ia penting untuk memiliki bayi yang sihat.

Berkongsi mengenai panduan mudah yang boleh dilakukan wanita hamil, Perunding Fertiliti dan Sakit Puan, Dr Mohan Raj berkata, penjagaan diri dari semua aspek amat penting dan ia tidak boleh dipandang remeh demi kesihatan diri dan bayi dalam kandungan.

Menurutnya, ia antara tempoh kritikal terutama pada saat awal kehamilan juga trimester terakhir.

“Mungkin ada sesetengah wanita mengandung terutama yang sudah hamil anak kedua dan seterusnya menganggap ia saat biasa dan hanya melalui rutin harian seperti biasa namun ternyata ia salah.

“Hargai tempoh ini sebaik-baiknya, tidak kiralah anda dalam keadaan kesihatan yang baik atau sebaliknya. Suami juga perlu membantu dalam memberi semangat serta mewujudkan emosi gembira kepada pasangan sepanjang kehamilan,” katanya.

SUAMI perlu beri semangat dan menggembirakan isteri.
SUAMI perlu beri semangat dan menggembirakan isteri.

Dr Mohan berkongsi panduan mudah bagi setiap wanita hamil:

Rancang rawatan antenatal

Buat perancangan dari awal kerana penjagaan antenatal yang baik penting untuk kesihatan bayi anda. Memilih doktor terbaik yang menjaga anda dari awal juga langkah tepat.

Jika anda tidak mempunyai pilihan doktor yang akan bersama anda sehingga detik kelahiran (seperti di klinik dan hospital kerajaan), anda masih boleh membina persefahaman yang baik dengan seorang bidan atau pakar obstetrik yang sering anda temui dalam tempoh pemeriksaan kehamilan.

Makan dengan baik

Anda tidak perlu ‘makan untuk dua orang’ apabila hamil, minum susu penuh krim atau mengambil makanan tambahan yang dipasarkan sebagai susu untuk ibu. Malah, keperluan tenaga anda tidak berubah dalam tempoh enam bulan pertama kehamilan dan keperluan ini hanya meningkat sedikit dalam tempoh tiga bulan terakhir (sebanyak sekitar 200 kalori sehari).

Namun, penting untuk mengambil diet yang sihat dan seimbang. Ramai wanita hilang selera dengan makanan tertentu, tetapi ia boleh digantikan dengan makanan lain yang mengandungi nilai nutrisi serupa. Pastikan diet anda merangkumi banyak buah-buahan dan sayur-sayuran (sekurang-kurangnya lima hidangan sehari).

Berhati-hati mengenai kebersihan makanan

Lebih baik mengelak pengambilan makanan tertentu semasa hamil sebab ia membawa risiko kesihatan bayi. Jangkitan boleh berlaku disebabkan memakan daging ayam yang tidak dimasak sempurna dan telur mentah atau separa masak.

Elakkan juga daripada makan daging kurang masak atau mentah, dan cucilah sayur-sayuran dengan rapi untuk membersihkannya daripada sebarang tanah atau kotoran.

Ambil asid folik

Tambahan diet yang dianggap benar-benar penting ialah asid folik (juga dikenali sebagai folat), yang boleh membantu mencegah kecacatan bayi.

Spina bifida ialah penyakit kongenital yang serius. Ia berlaku apabila tiub yang melindungi sistem saraf pusat tidak menutup sepenuhnya dan boleh mengakibatkan ketidakupayaan yang teruk. Semua wanita yang merancang untuk hamil dinasihatkan supaya mengambil tambahan harian asid folik 400mcg dari masa pembenihan dan sepanjang tiga bulan pertama kehamilan.

Anda juga boleh meningkatkan pengambilan folat semula jadi melalui pemakanan. Folat didapati dalam banyak makanan berbeza, terutama sayur-sayuran dan bijirin sarapan yang diperkuatkan dengan vitamin.

Sering bersenam

Jangan menganggap anda tidak perlu bersenam ketika hamil. Program senaman boleh memberi anda kekuatan dan ketahanan yang diperlukan untuk menampung berat badan yang bertambah semasa hamil dan menangani tekanan fizikal kelahiran.

Ini juga memudahkan anda kembali ke bentuk badan asal selepas kelahiran bayi. Senaman juga boleh menambah perasaan ceria dan membantu anda menangkis kemurungan semasa hamil.

BERSENAM baik untuk ibu dan bayi di dalam kandungan.
BERSENAM baik untuk ibu dan bayi di dalam kandungan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 3:37 PM