KUMPULAN superhero The Ultimate Cosplayers  bersama pesakit di wad kanak-kanak PPUM.
KUMPULAN superhero The Ultimate Cosplayers bersama pesakit di wad kanak-kanak PPUM.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Wad Pediatrik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) baru-baru ini penuh dengan keceriaan, apabila Kumpulan Value Based Ambassador - EPF 11 (VBA-EPF 11) mengadakan lawatan khas bagi meraikan kanak-kanak di wad itu menerusi Program Be The Reason for Someone to Smile Today.

Program berkenaan hasil inisiatif Kumpulan VBA-EPF 11 terdiri daripada 27 kakitangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi kempen kutipan dana dalam kalangan warga KWSP termasuk kenalan dan keluarga terdekat mereka.

Kurang sebulan berkempen, sebanyak RM31,000 dikumpulkan dan dana itu digunakan sepenuhnya untuk pembelian keperluan utama wad pediatrik PPUM.

Penyerahan sumbangan dilaksanakan oleh wakil Kumpulan VBA-EPF 11 yang juga Pengurus Jabatan Perancangan Strategik KWSP Jamaliah Awang kepada Ketua Jabatan Pediatrik PPUM Prof Madya Muhammad Yazid Jalaludin.

Jamaliah berkata, program itu dilaksanakan berdasarkan semangat kerjasama yang diterapkan dalam kalangan warga KWSP bagi memberikan manfaat berterusan kepada masyarakat.

PAKAR Perunding PPUM Dr Ng Ruey Terng (kiri) memberi penerangan kepada wakil VBA-EPF11 Timbalan Pengurus Bahagian Dana Ekuiti Seksyen Domestik KWSP Mohammad Farhan Shazne Zaine (kanan) ketika penyerahan mesin fototerapi Bili.
PAKAR Perunding PPUM Dr Ng Ruey Terng (kiri) memberi penerangan kepada wakil VBA-EPF11 Timbalan Pengurus Bahagian Dana Ekuiti Seksyen Domestik KWSP Mohammad Farhan Shazne Zaine (kanan) ketika penyerahan mesin fototerapi Bili.

Menurutnya, menerusi pertemuan antara wakil VBA-EPF11 dan PPUM, terdapat beberapa peralatan yang amat diperlukan oleh wad pediatrik pusat perubatan itu antaranya mesin fototerapi Bili bagi pesakit bayi yang menghidap demam kuning atau jaundis kritikal dan berisiko tinggi untuk menjalani proses pertukaran darah.

“Jaundis yang teruk boleh menyebabkan bahagian otak bayi rosak, yang boleh mengakibatkan kerencatan akal dan palsi serebrum.

“Selain itu, pihak PPUM juga memaklumkan keperluan lain seperti Peripherally Inserted Central Catheter (PICC), sejenis alat yang berfungsi sebagai ‘port’ kemoterapi bagi pesakit kanser. PICC ini disumbangkan kepada pesakit kanser kanak-kanak yang kurang berkemampuan selepas menjalani proses saringan unit kebajikan PPUM.

“Selain mesin fototerapi Bili dan PICC, PPUM juga mengalu-alukan sumbangan seperti kerusi penjaga yang boleh dilaraskan menjadi katil. Keselesaan penjaga amat dititikberatkan disebabkan sokongan mereka dan keluarga sepanjang pesakit berada di hospital amat diperlukan dalam memberi semangat kepada pesakit untuk kembali pulih dan sihat,” katanya.

Menurutnya, aspek pendidikan juga tidak dilupakan, apabila Kumpulan VBA-EPF 11 turut melawat Sekolah Dalam Hospital (SDH) yang mula dibuka sejak 2013 di PPUM. Antara keperluan utama adalah buku rujukan baru selaras dengan perubahan silibus yang terkini.

MASKOT adiwira melawat dan menceriakan pesakit kanak-kanak.
MASKOT adiwira melawat dan menceriakan pesakit kanak-kanak.

Selain itu, Kumpulan VBA-EPF 11 diberikan peluang menziarahi pesakit di wad pediatrik PPUM bersama jemputan khas kumpulan adiwira dari The Ultimate Cosplayers bagi menceriakan suasana.

Cenderahati keperluan pesakit turut diberikan semasa lawatan selain sesi ramah mesra bersama maskot untuk menceriakan pesakit kanak-kanak dan petugas PPUM.

“Kami berbesar hati dan berterima kasih terhadap semua penyumbang dana dan Kumpulan VBA-EPF 11 kerana menjayakan program ini sekali gus memberikan impak yang sangat besar dan membawa perubahan baru budaya bagi warga KWSP dalam menerapkan nilai murni bersama mereka yang memerlukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 1:14 PM