TINJAUAN di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). FOTO Saddam Yusoff
TINJAUAN di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). FOTO Saddam Yusoff
Fazrik Kamarudin


CAJ parkir dan harga makanan yang mahal, fasiliti tidak memuaskan, dan wujudnya unsur kronisme serta eksploitasi keuntungan.

Itu antara dakwaan individu mengenai Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sehingga tular di media sosial dan Whatsapp, baru-baru ini.

Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan sekeras-kerasnya oleh PPUM.

Pengarahnya, Prof Dr Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin berkata, pihaknya memandang serius dakwaan itu yang disifatkan sebagai fitnah berniat jahat bertujuan memburukkan hospital yang sudah beroperasi sejak 50 tahun lalu.

Beliau berkata, kenyataan itu juga dianggap sebagai cubaan menanamkan sentimen anti PPUM dalam kalangan pelanggan dan masyarakat setempat.

“Apakah asas dakwaan ini, penulisnya menulis tanpa nama, tanpa bukti, ini adalah perbuatan yang dilakukan oleh seorang pengecut, saya amat kecewa dengan tindakannya.

“Saya minta supaya dia tampil menunjukkan bukti, jangan bersembunyi di sebalik alam maya, oleh kerana dakwaan ini tular di media sosial, ia sudah menjejaskan imej dan integriti PPUM.

“Kami peka dan akur jika penulis ini menghadapi kesukaran ketika menerima rawatan atau melawat ke hospital kami, namun jika terdapat sebarang ketidakpuasan hati, ia boleh disalurkan kepada kami dengan cara yang betul,” katanya kepada NSTP ketika ditemubual NSTP di pejabatnya, di Petaling Jaya, semalam.

Dr Tunku Kamarul Zaman turut menegaskan, pihaknya sedia disiasat berhubung dakwaan pembabitan kroni, pemberian kontrak dan eksploitasi keuntungan, memandangkan setiap proses penilaian, pemilihan dan transaksi dilakukan secara telus.

“Setiap proses dimaklumkan kepada Jabatan Audit Negara dan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (kini Kementerian Pendidikan Malaysia) melalui pelbagai saluran.

“Selain itu, perlu difahami bahawa geran kerajaan diperuntukkan kepada PPUM (misalnya pada 2018) adalah kira-kira RM400 juta setahun, RM312 juta adalah bagi pembayaran gaji dan bakinya RM88 juta untuk keperluan operasi, tetapi keperluan sebenar adalah sebanyak kira-kira RM560 juta setahun.

“PPUM menggunakan sumber kewangan daripada hasil seperti perkhidmatan parkir serta sewaan ruang bagi mencukupkan keperluan kewangan untuk memberi perkhidmatan rawatan kepada pesakit,” katanya.

Tambah beliau, PPUM sentiasa berusaha untuk menjadi hospital yang menawarkan perkhidmatan terbaik.

“Kami adalah hospital yang disifatkan sebagai hospital kerajaan, sebuah hospital universiti, kami sentiasa ingin membantu orang ramai, kalau ada masalah atau isu kami sedia memberikan pertolongan.

“Kami akui kami tidak sempurna, tetapi kami cuba menambah baik untuk rakyat, janganlah menabur fitnah terhadap institusi yang sudah banyak berbakti,” katanya.

Beberapa hari lalu, tular di media sosial dan aplikasi Whatsapp satu kenyataan yang mengandungi pelbagai dakwaan terhadap PPUM.

Antara yang disebut, caj parkir dan harga makanan yang mahal, fasiliti tidak diselenggara, wujudnya pihak tidak bertanggungjawab mengaut keuntungan serta pemberian tender kepada kroni.

Semalam, pengurusan PPUM menjawab setiap dakwaan berkenaan dan penjelasan terperinci itu juga dimuat naik ke akaun Facebook rasmi PPUM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 3:17 PM