DR Christina melihat buku derma darah penderma. FOTO Amirudin Sahib
DR Christina melihat buku derma darah penderma. FOTO Amirudin Sahib
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Satu pain darah yang mengandungi kira-kira 450 mililiter (ml) darah boleh menyelamatkan tiga nyawa.

Ramai mengetahui kebenaran itu, namun masih ramai juga tidak berani untuk menderma darah disebabkan rasa ketakutan yang menebal dalam diri.

Ditambah penyebaran maklumat tidak tepat mengenai derma darah, ia membantutkan niat murni mereka untuk melakukan kerja amal ini.

Ketua Jabatan Perubatan Transfusi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr Christina Lee Lai Ling berkata, darah adalah keperluan penting di hospital untuk kegunaan kes kecemasan bagi menyelamatkan nyawa pesakit.

Bagaimanapun, menurutnya, adalah agak sukar untuk memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi kerana tidak ramai yang sanggup menderma secara sukarela.

"Pandemik Covid-19 yang melanda sejak dua tahun lalu menyebabkan bekalan darah semakin menyusut.

"Ini kerana orang ramai teragak-agak untuk tampil menderma darah kerana bimbang dengan jangkitan virus Covid-19," katanya.

Dr Christina berkata, PPUM tidak terkecuali berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan darah sehingga menyusut 40 peratus tahun lalu.

Katanya, pada tahun lalu, bekalan darah di PPUM ialah 19,000 pain dan setakat Oktober lalu, bekalan darah hanya 17,000 pain.

"Bekalan darah yang paling rendah dalam simpanan Tabung Darah Jabatan Perubatan Transfusi PPUM ialah jenis O dan A.

"Ia disebabkan keperluan terhadap dua jenis darah itu yang tinggi memandangkan ketika ini, PPUM mempunyai ramai pesakit berdarah A.

"Ada ketikanya kita terpaksa memberikan pesakit ini darah O disebabkan bekalan darah A tidak mencukupi," katanya.

Dr Christina berkata, keperluan darah yang tinggi pada masa ini juga disebabkan hospital sudah mula melakukan proses pembedahan sepenuhnya, bagi kes tertangguh agak lama kerana pandemik Covid-19.

"Tahap selamat stok bekalan darah di PPUM ialah purata 400 pain darah seminggu.

DARAH penuh penderma. FOTO Amirudin Sahib
DARAH penuh penderma. FOTO Amirudin Sahib

"Stok bekalan darah selamat ini bermaksud ia (bekalan darah) mampu menampung keperluan selama tujuh hari.

"Bagi tahap kritikal pula diukur berdasarkan stok bekalan darah yang bertahan untuk tiga hari," katanya.

Kata Dr Christina, mesyuarat harian diadakan untuk mengemas kini stok bekalan darah yang ada di PPUM.

"Bagi tahap kritikal, bekalan darah digunakan untuk kes kecemasan iaitu merawat mangsa kemalangan jalan raya, pembedahan dan wanita hamil mengalami pendarahan.

DARAH penuh penderma di Tabung Darah Jabatan Perubatan Transfusi PPUM. FOTO Amirudin Sahib
DARAH penuh penderma di Tabung Darah Jabatan Perubatan Transfusi PPUM. FOTO Amirudin Sahib

"Manakala kes penting pula ialah merawat pesakit talasemia major yang memerlukan proses memasukkan darah setiap bulan.

"Sekiranya pesakit talasemia tidak mendapatkan transfusi darah, mereka akan mengalami masalah kesukaran bernafas dan tanda-tanda anemia," katanya.

Menurutnya, ada individu perlu menjalani proses memasukkan darah hampir setiap hari iaitu pesakit hemato onkologi seperti leukemia, limfoma dan sebagainya.

"Ini kerana tulang sum sum mereka dimusnahkan oleh sel barah menyebabkannya tidak boleh menghasilkan darah merah, platelet dan plasma," katanya.

Menurut Dr Christina, stok bekalan darah O perlu lebih banyak kerana ia sesuai didermakan kepada penerima kumpulan darah yang lain.

"Sementara pesakit darah O hanya boleh menerima darah O sahaja.

"Pesakit darah A boleh terima darah O atau A, kumpulan B (boleh terima O atau B) dan darah AB (boleh terima semua)," katanya.

Jelasnya, setiap hospital akan membantu satu sama lain jika kekurangan bekalan darah.

PENUNTUT Universiti Malaya, Mohammad Hazwan Denny Asman menunjukkan buku menderma darah. FOTO Amirudin Sahib
PENUNTUT Universiti Malaya, Mohammad Hazwan Denny Asman menunjukkan buku menderma darah. FOTO Amirudin Sahib

"PPUM sendiri pernah minta bantuan bekalan darah dari Pusat Darah Negara, Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan sebaliknya.

"Ia terutama darah kumpulan rhesus negatif kerana populasi di Malaysia tidak ramai daripada kumpulan berkenaan.

"Melayu hanya dua peratus, Cina satu peratus dan India tujuh peratus. Berbanding di barat, 15 peratus penduduknya adalah kumpulan darah rhesus negatif," katanya.

Menurut Dr Christina, pihaknya giat membuat hebahan di pelbagai platform untuk menarik lebih ramai penderma termasuk penderma baharu.

"Penderma tetap ialah mereka yang sudah dua kali menderma, sekurang-kurangnya sejak dua tahun lalu," katanya.

Beliau berkata, selain diberikan keistimewaan rawatan percuma, penderma darah juga akan mendapat manfaat kesihatan daripada aktiviti menderma darah.

Antaranya dapat mengesan masalah kesihatan, badan rasa lebih sihat, menjaga kesihatan jantung dan mengawal tekanan darah.

"Saya menyeru orang ramai untuk menderma darah kerana ia amalan mulia.

"Orang ramai yang berbuat demikian boleh datang ke Tabung Darah, Jabatan Perubatan Transfusi PPUM atau mana-mana pusat derma darah lain di seluruh negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 7:00 AM