USAH pandang ringan masalah penghadaman.
USAH pandang ringan masalah penghadaman.
Intan Mas Ayu Shahimi

Genap setahun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewartakan peraturan makanan baru yang memperakui dan mentakrifkan probiotik. Peraturan makanan ini menetapkan keperluan khusus bagi produk makanan yang diistilahkan sebagai produk mengandungi probitiok, iaitu jenis bakteria dibenarkan dan mempunyai jumlah kultur probitik hidup dalam jumlah minimum.

Apa sebenarnya probiotik? Banyak kempen penghadaman sihat kini kerap kali menyebut perihal berkaitan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), probiotik ialah mikro organisma hidup yang memberi kebaikan kepada kesihatan apabila diambil dalam kuantiti mencukupi.

Bagaimanapun, tidak ramai mengambil peduli kepentingan probiotik dalam membantu mengekalkan sistem penghadaman yang sihat. Lebih mengecewakan, ada juga yang mengandaikan kandungan probiotik hanya sebahagian daripada strategi pemasaran produk.

Menurut Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM) Dr Tee E Siong, statistik terkini menunjukkan kanser kolon menjadi antara kanser paling biasa dihidapi lelaki dan wanita di seluruh dunia.

“Malah di Malaysia, ia menjadi kanser paling biasa menyerang lelaki dan kedua paling hampir dengan wanita. Selain kanser kolon, terdapat juga masalah pencernaan lain seperti penyakit radang usus (IBD), iritasi usus besar, cirit-birit, sembelit dan kembung.

“Jika diperhatikan, statistik membimbangkan ini wujud berikutan sikap rakyat Malaysia yang tidak mengambil serius mengenai kesihatan penghadaman mereka,” katanya ketika menyampaikan ucapan rasmi sempena pelancaran Program Pendidikan Probiotik di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada program itu, Dr Tee turut mengundang ahli NSM iaitu Ketua Unit Gastroenterologi dan Hepatologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Prof Madya Dr Raja Affendi Raja Ali, Pakar Pemakanan dan Dietetik Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Rosita Jamaluddin dan Penolong Setiausaha Kehormat NSM merangkap Pensyarah Kanan Fakulti Sukan Sains dan Rekreasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Mahenderan Appukutty.

Jelas Dr Tee, sistem pencernaan yang baik ditentukan beberapa faktor, namun usus memainkan peranan paling penting. Selain memastikan sistem penghadaman berjalan baik, usus juga memegang peranan dalam menguatkan sistem imun.

“Terlalu ramai di antara kita yang mengabaikan kesihatan pencernaan. Mereka mengambil mudah soal pemakanan, gaya hidup dan masalah kecil seperti sakit perut, kembung, sembelit dan sebagainya.

“Perlu diingat, walaupun masalah penghadaman mungkin tidak mengancam nyawa, jika terus dipandang ringan, ia mungkin boleh menjejaskan kualiti kehidupan di masa depan.

“Andai dibiarkan berpanjangan dan tidak diberi rawatan sepatutnya, masalah penghadaman yang kecil boleh menjadi punca penyakit lebih besar hingga mengancam nyawa seperti kanser kolon. Sebab itulah perlunya penjagaan usus dan kesihatan diri.

“Saya percaya, sedikit perubahan kecil dalam hidup kini boleh mengurangkan risiko masalah pencernaan. Sentiasa jalani gaya hidup aktif, amalkan diet seimbang dan pelbagai serta ketahui kebaikan probiotik untuk mengekalkan kesihatan usus sekeluarga,” katanya.

DR Tee (kiri) bersama Poh dan Hiroshi melancarkan buku Probiotik.
DR Tee (kiri) bersama Poh dan Hiroshi melancarkan buku Probiotik.

Makanan sumber probiotik

Mengenai sistem penghadaman manusia, Dr Tee berkata, saluran pencernaan individu adalah rumah kepada trilion mikro organisma yang dikenali sebagai mikrobiota.

“Mikrobiota usus yang seimbang cukup penting untuk membantu kita mengekalkan usus sihat, seterusnya mengawal fungsi sistem pencernaan dan menguatkan sistem imun. Ini semua adalah faktor penting dalam mengekalkan kesihatan secara keseluruhan.

“Gaya hidup dan faktor pemakanan kita setiap hari pula memainkan peranan penting dalam memastikan mikrobiota usus sentiasa seimbang. Salah satu faktor pemakanan yang boleh membantu mengekalkan keseimbangan mikrobiota adalah probiotik.

“Selain minuman kultur seperti Vitagen dan Yakult, kita ada banyak sumber probiotik yang boleh ditemui dalam makanan harian seperti sauerkraut (kubis jeruk Jerman), kimchi, tairu dan tapai pulut. Semua jenis makanan ini melalui proses fermentasi dan menghasilkan bakteria baik, probiotik,” katanya.

Pada majlis sama, Dr Tee bersama Pengurus Besar Vitagen Malaysia Milk Poh Eng Lip dan Pengarah Urusan Yakult Hiroshi Hamada turut melancarkan buku bertajuk Probiotik: Bakteria Baik untuk Kesihatan yang boleh didapati dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Inggeris dan Cina.

Buku berkenaan memaparkan maklumat menarik mengenai kesihatan usus yang mudah difahami untuk orang awam. Poster info grafik yang terkandung di dalamnya mudah dijadikan bahan rujukan tidak kira orang dewasa mahupun kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 2:57 PM