WANI dan suami, Haiqal yang mendorongnya menceburi bisnes membuat lemang periuk kera yang unik.
WANI dan suami, Haiqal yang mendorongnya menceburi bisnes membuat lemang periuk kera yang unik.

“Seronok buat lemang periuk kera kerana ia suatu yang unik. Hasilnya juga cantik dan comel dilihat,” kata Wani Abu Samah, 37.

Menyingkap permulaan wanita ini secara aktif menjual lemang periuk kera, dia akui keluarganya memang sudah membuat dan menjual lemang buluh sejak 10 tahun lalu.

“Ini perniagaan keluarga dan saya sendiri tidak asing dengan kerja membakar lemang,” katanya.

Di hadapan rumah bapanya di Paya Mengkuang, Melaka, ada ruang tanah yang kosong. Di situlah mereka sekeluarga menjadikannya tempat membakar lemang dengan deretan tungku lemang.

“Lemang buluh memang perkara biasa dalam keluarga kami. Namun setelah berkahwin dengan suami yang berasal dari Sabah, dia mengajak saya mencuba membuat lemang periuk kera. Di Sabah ia sudah menjadi kebiasaan, jadi dialah yang mengajar saya,” katanya.

Suami Wani, Hariq Haiqal @ Marinus Gausing mendorong isterinya supaya mencuba sesuatu yang baharu pula. Dia sama-sama membantu membuatnya serta mencari pembekal periuk kera melalui kenalan di Pahang.

Sudah biasa membuat lemang buluh, apabila mahu mencuba sesuatu yang baharu, Wani agak risau. Adakah orang mahu membelinya? Di Melaka ia sesuatu yang baharu. Memang ada yang membuatnya tetapi sangat sedikit.

Ternyata, rezekinya tetap ada kerana sambutannya sangat baik. Mengenai pokok periuk kera, ia dikatakan mempunyai kira-kira 138 spesies. Bentuknya begitu banyak dan semuanya sangat unik dengan warna yang menarik. Tumbuhan ini terdapat di hutan dan tidak mudah dibiakkan di tanah biasa. ‘Periuk’ itu digunakan bagi memerangkap serangga.

Di Sabah, biasa saja masyarakatnya memasak nasi menggunakan periuk kera. Orang Asli juga begitu, lemang periuk kera adalah hidangan istimewa bagi mereka.

Cara masakan begini sebenarnya sudah bertapak sejak sekian lama di negara kita, namun kerana kesukaran mendapatkan periuk kera, masakan ini semakin lama semakin dilupakan dan tidaklah sepopular lemang buluh kerana lebih buluh lebih mudah diperoleh.

Wani sendiri menggunakan periuk kera yang dipanggilnya periuk kera betina.

“Ada juga jenis periuk kera yang tidak sesuai dibuat lemang kerana ia melekat. Jadi kami pilih jenis ini yang diambil daripada pembekal hutan Pahang. Seminggu kami memerlukan sekitar 200 hingga 300 sarung periuk kera. Musim bulan puasa pula lebih daripada 1,000 unit seminggu diperlukan,” katanya.

PENYEDIAAN RUMIT

Pasangan suami isteri itu menunjukkan cara memasak lemang periuk kera yang tampak senang tetapi sebenarnya rumit.

Haiqal membuatnya penuh berhati-hati supaya hasilnya kelak kemas dan tidak melimpah.

“Penyediaan sejak awal memang rumit dan periuk kera ini bukan mudah untuk mendapatkannya. Ia juga perlu dibersihkan dengan teliti. Apabila stok sampai, kami memilih yang terbaik saja, mencuci dan menyimpannya dengan berhati-hati. Ia tahan hanya beberapa hari kerana jika dibiarkan begitu saja, ia jadi layu dan tidak boleh digunakan lagi,” kata Wani.

Cara memasak pun ada dua cara, semuanya mengikut kehendak pelanggan.

“Satu jenis basah dan satu lagi kering. Jenis basah sesuai untuk mereka yang mahu makan segera manakala yang kering untuk perjalanan jauh. Ia boleh bertahan sehingga empat hari dengan syarat jangan menyentuhnya dengan tangan,” katanya.

Wani menambah, untuk mendapatkan hasil yang kering dan tahan lama, jumlah santannya dikurangkan.

Lemang ini enak dimakan dengan rendang ataupun serunding.

“Apabila pelanggan membeli lemang periuk kera daripada kami, ia disertakan rendang. Pada pendapat saya, lemang periuk kera lebih sedap rasanya daripada lemang buluh kerana rasa santannya lebih menyerap,” katanya.

Kini selepas tiga tahun, Wani mempelbagaikan resipi lemang periuk kera dengan inti tambahan. Ada inti nanas, jagung, pulut hitam dan strawberi.

“Saya cipta resipi tambahan ini untuk memberi kelainan dan pilihan kepada pelanggan. Nampaknya mereka menyukainya. Sebenarnya, pada hari biasa saya bukan hanya membuat lemang periuk kera tetapi juga lemang buluh dan ketupat palas. Kami menerima tempahan secara dalam talian, tempahan untuk majlis serta rumah terbuka. Bulan puasa paling sibuk sehinggalah habis Syawal. Lemang periuk kera kini mempunyai ramai penggemarnya,” katanya.

Lemang periuk kera

Penyediaannya tidak mengambil masa lama seperti lemang buluh. Sekiranya ditolak masa merendam pulut selama sejam, waktu penyediaan dan memasak mungkin sekitar 40 minit saja. Mengukus pun mengambil masa hanya 30 minit.

Bahannya:

- 1 kilogram pulut

- 1 kilogram santan

- Garam secukup rasa

Cara membuatnya

1. Pulut direndam kira-kira sejam.

2. Santan dicampur garam. Gaul bersama pulut sehingga rata.

3. Masukkan tiga suku pulut ke dalam periuk kera yang sudah dicuci bersih. Kemudian masukkan santan lebih sedikit daripada pulut tadi. Jangan berlebihan untuk mengelak pulut daripada melimpah selepas masak.

4. Susun di dalam pengukus dan kukus selama setengah jam.

5. Selepas setengah jam, daun sudah lembut dan berubah warna. Lemang sedia dihidangkan untuk dimakan bersama rendang yang enak. - Kusyi Hirdan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2017 @ 1:44 AM