PENDUDUK Palestin yang menghuni kem perlindungan di Rafah. FOTO AFP
PENDUDUK Palestin yang menghuni kem perlindungan di Rafah. FOTO AFP
Bernama-Anadolu

London: Keputusan sementara oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) supaya Israel mengambil langkah mencegah tindakan pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza adalah "keputusan yang sangat penting," kata kumpulan peguam yang berpangkalan di United Kingdom (UK) mengenai hak-hak Palestin pada Jumaat.

"Ia hari bersejarah untuk mengiktiraf dengan jelas hak asasi manusia Palestin, termasuk hak asasi mereka untuk hidup, kebenaran penting dalam tindakan undang-undang untuk menegakkan hak asasi," lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Lawyers for Palestinian Human Rights (LPHR).

Sambil mengambil maklum bahawa perintah itu mengikat Israel secara sah dan dikemukakan secara automatik kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), LPHR berkata, semua kerajaan dan badan PBB wajar mengambil tindakan untuk memastikan Israel mematuhinya.

"Sementara kes undang-undang bersejarah ini berjalan lancar, kami sangat menekankan semula bahawa semua langkah diplomatik perlu dilaksanakan segera untuk merealisasi gencatan senjata serta-merta," katanya.

LPHR berkata, perintah itu sangat penting tetapi tidak akan, dengan sendirinya, menamatkan penderitaan manusia yang melampau dan perjuangan untuk terus hidup.

ICJ mengarahkan Israel mengambil semua langkah dalam kuasanya untuk mencegah tindakan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, yang setakat ini mengorbankan lebih 26,000 orang sejak 7 Oktober.

Afrika Selatan, yang membawa kes itu, meminta mahkamah untuk mengenakan tindakan sementara terhadap Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2024 @ 3:38 PM