Orang ramai berkumpul menyaksikan keputusan ICJ mengenai tuntutan Afrika Selatan terhadap Israel. - FOTO AFP
Orang ramai berkumpul menyaksikan keputusan ICJ mengenai tuntutan Afrika Selatan terhadap Israel. - FOTO AFP
Bernama-Anadolu

Kampala: Uganda pada Jumaat berkata pendirian hakim Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) Julia Sebutinde dalam kes yang dibawa oleh Afrika Selatan terhadap Israel berkaitan perang di Semenanjung Gaza, tidak mewakili pendirian negara itu.

Sebutinde, warga Uganda, mengundi menentang kesemua enam langkah ICJ. Beliau kini menghadapi kemarahan dunia.

"Keputusan hakim Sebutinde di ICJ tidak mewakili pendirian Kerajaan Uganda mengenai situasi di Palestin," lapor Agensi Anadolu memetik Wakil Tetap Uganda ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Adonia Ayebare, di X.

"Sokongan Uganda terhadap nasib rakyat Palestin aalah jelas melalui corak pengundian kami di PBB," katanya seperti dilaporkan Bernama-Anadolu.

Afrika Selatan mengheret Israel ke ICJ yang berpangkalan di The Hague pada 29 Dis atas tuduhan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.

Pada Jumaat, ICJ mendapati dakwaan Afrika Selatan bahawa Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai adalah munasabah dan perlu menghentikannya. Mahkamah turut mengeluarkan perintah sementara menggesa Israel berhenti menghalang penghantaran bantuan ke Gaza dan memperbaiki keadaan kemanusiaan di wilayah itu.

Sebutinde merupakan hakim tunggal yang menentang perintah darurat terhadap Israel.

Namun, di sebalik undiannya, mahkamah PBB itu tetap mengarahkan Israel supaya mengambil semua langkah dalam kuasanya untuk menghalang tindakan pembunuhan beramai-ramai di kawasan yang dikepung itu.

Sementara itu, Reuters melaporkan, 15 daripada 17 hakim mengundi menyokong langkah sementara yang diputuskan, termasuk presiden mahkamah, Joan Donoghue dari Amerika Syarikat.

Hakim Julia Sebutinde dari Uganda adalah satu-satunya yang mengundi menentang semua enam langkah yang diterima pakai oleh mahkamah.

Hakim ad hoc Israel, Aharon Barak, mengundi menentang empat langkah yang dinyatakan.

"Saya telah mengundi menyokong dengan harapan bahawa langkah itu akan membantu mengurangkan ketegangan dan tidak menggalakkan retorik yang merosakkan," tulis Barak.

Selepas keputusan yang dibuat ICJ ini, Israel dikehendaki mengemukakan laporan kepada mahkamah mengenai langkah-langkah yang telah diambil untuk mematuhi perintah itu dalam tempoh satu bulan.

Mahkamah akan meneliti secara terperinci merit kes itu, satu proses yang boleh mengambil masa bertahun-tahun.

Walaupun keputusan ICJ adalah muktamad dan tanpa rayuan, mahkamah tidak mempunyai cara untuk menguatkuasakannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2024 @ 3:39 PM