PENYOKONG Palestin menyertai tunjuk perasaan mendesak gencatan senjata di Queens, New York. FOTO Reuters
PENYOKONG Palestin menyertai tunjuk perasaan mendesak gencatan senjata di Queens, New York. FOTO Reuters
AFP

The Hague: Rakyat Palestin mengalami "penjajahan dan apartheid" di bawah Israel, kata Menteri Luarnya, Riyad Al-Maliki kepada mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam, sambil menggesa hakim memerintahkan penamatan segera dan tanpa syarat kepada pendudukan Israel.

"Rakyat Palestin mengharungi penjajahan dan apartheid... Ada yang marah dengan kata-kata ini. Mereka sepatutnya marah dengan realiti yang kita alami," kata Al-Maliki kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

ICJ mengadakan prosiding sepanjang minggu ini mengenai implikasi undang-undang pendudukan Israel sejak 1967, dengan 52 negara, sesuatu yang belum pernah terjadi sebelumnya, termasuk wakil dari Amerika Syarikat dan Rusia, dijangka memberikan keterangan.

Israel tidak akan mengambil bahagian dalam prosiding itu tetapi menyerahkan dokumen bertulis bertarikh 24 Julai 2023, yang mana ia menggesa mahkamah menolak permintaan untuk mendapatkan pendapat ICJ itu.

Bercakap di Istana Keamanan di The Hague, yang menempatkan ICJ, menteri itu merayu kepada hakim untuk mengisytiharkan pendudukan itu menyalahi undang-undang dan mengarahkannya untuk dihentikan "segera, sepenuhnya dan tanpa syarat."

"Keadilan ditangguhkan adalah keadilan dinafikan dan rakyat Palestin dinafikan keadilan, terlalu lama," katanya.

"Sudah tiba masanya untuk menamatkan standard dwistandard yang menyebabkan rakyat kita ditawan terlalu lama."

Merumuskan perkara itu, utusan Palestin di PBB, Riyad Mansour bergelut untuk menahan air matanya ketika beliau menyeru untuk "masa depan di mana kanak-kanak Palestin dilayan sebagai kanak-kanak, bukan sebagai ancaman demografi."

Pada Disember 2022, Perhimpunan Agung PBB meminta ICJ memberikan "pendapat nasihat" yang tidak mengikat mengenai "akibat undang-undang yang timbul daripada dasar dan amalan Israel di Wilayah Palestin yang Diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur."

Walaupun sebarang pendapat ICJ tidak akan mengikat, ia datang di tengah-tengah tekanan undang-undang antarabangsa yang semakin meningkat ke atas Israel berhubung perang di Gaza yang dicetuskan oleh serangan kejam Hamas pada 7 Oktober.

Perbicaraan itu berasingan daripada kes berprofil tinggi yang dibawa oleh Afrika Selatan yang mendakwa Israel melakukan genosid (pembunuhan beramai-ramai) semasa serangan di Gaza, pada masa ini.

Pada Januari lalu, ICJ memutuskan dalam kes itu bahawa Israel mesti melakukan segala-galanya untuk mencegah pembunuhan beramai-ramai dan membenarkan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Berhubung prosiding di ICJ, semalam, Perhimpunan Agung PBB meminta mahkamah dunia itu untuk mempertimbangkan dua soalan.

Pertama, mahkamah harus meneliti akibat undang-undang "pelanggaran berterusan oleh Israel terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri."

Ini berkaitan dengan "pendudukan, penempatan dan pengilhakan yang berpanjangan ke atas wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967" dan "langkah-langkah yang bertujuan untuk mengubah komposisi demografi, watak dan status Kota Suci Baitulmaqdis."

Pada Jun 1967, Israel menumpaskan beberapa negara jiran Arabnya dalam perang enam hari, merampas Tebing Barat termasuk timur Baitulmaqdis dari Jordan, Bukit Golan daripada Syria, dan Semenanjung Gaza dan Semenanjung Sinai daripada Mesir.

Israel kemudian mula menduduki kawasan seluas 70,000 kilometer persegi wilayah Arab yang dirampasnya itu. PBB kemudiannya mengisytiharkan pendudukan Israel di wilayah Palestin sebagai haram. Kaherah mendapatkan semula Sinai di bawah perjanjian damai dengan Israel pada 1979.

ICJ juga diminta untuk melihat akibat daripada apa yang disifatkannya sebagai "penggunaan undang-undang dan langkah-langkah diskriminasi berkaitan Israel."

Kedua, ICJ harus menasihati bagaimana tindakan Israel "mempengaruhi status undang-undang pendudukan" dan apakah akibatnya kepada PBB dan negara lain.

Mahkamah akan membuat keputusan "segera" mengenai perkara itu, mungkin menjelang akhir tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 10:48 AM