Kenderaan eletrik yang sedang dicas di stesen pengecas super di Burbank, California. - FOTO AFP
Kenderaan eletrik yang sedang dicas di stesen pengecas super di Burbank, California. - FOTO AFP
Bernama-Dpa

London: Pemilik kenderaan akan mendapat manfaat daripada perang harga kereta elektrik tahun ini, menurut analisis baharu, lapor PA Media/dpa.

Harga di United Kingdom (UK) akan jatuh disebabkan persaingan dari China dan pengeluar terkenal bersaing untuk menguasai pasaran di tengah-tengah sasaran baharu, kata laporan Auto Trader.

Analisis itu meramalkan bahawa jenama China akan menguasai satu per enam daripada jualan kereta elektrik baharu UK menjelang 2030 apabila mereka beralih ke luar negara selepas menakluki pasaran domestik mereka.

Minat terhadap pengeluar China seperti BYD dan GWM semakin berkembang di UK, dan syarikat itu mempunyai ruang untuk mengatasi jenama terkenal dengan mengurangkan harga, kata laporan itu.

Auto Trader berkata BYD Dolphin sedang dijual di UK dengan harga permulaan £25,000 (AS$32,000) berbanding £13,000 di China, manakala GWM ORA 03 dijual pada harga £31,000 di UK tetapi hanya £12,000 di China.

Laporan itu menjangkakan pengenalan mandat kenderaan pelepasan sifar (ZEV) oleh kerajaan pada awal Januari juga akan memberi tekanan ke atas harga.

Dasar itu bermakna sekurang-kurangnya 22 peratus kereta baharu yang dijual oleh setiap pengeluar di UK tahun ini mestilah sifar pelepasan, yang secara amnya bermaksud kenderaan elektrik bateri.

Ambang akan meningkat setiap tahun sehingga mencapai 100 peratus menjelang 2035.

Pengilang yang gagal mematuhi peraturan atau menggunakan fleksibiliti - seperti membawa elaun dari tahun-tahun sebelumnya - akan dikehendaki membayar kerajaan £15,000 bagi setiap kenderaan.

Pada September tahun lalu, Perdana Menteri Rishi Sunak menangguhkan larangan penjualan kereta dan van petrol serta diesel baharu di UK dari 2030 ke 2035.

Pengarah komersial Auto Trader, Ian Plummer berkata: "Pemandu yang mempertimbangkan untuk mengambil langkah pertama dalam perjalanan pemanduan elektrik mereka tidak pernah berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk mendapat manfaat daripada kejatuhan harga kenderaan elektrik berbanding pada 2024."

"Walaupun PM telah menolak larangan penjualan kereta petrol dan diesel baharu sehingga 2035, pengenalan mandat ZEV bermakna pengeluar masih berada di bawah tekanan untuk menjual lebih banyak kereta elektrik dan untuk melakukan itu, mereka perlu bersaing pada harga."

"Peningkatan China dalam kereta elektrik hanya akan menambah tekanan harga itu kerana mereka mempunyai kuasa untuk merebut bahagian pasaran UK."

"Untuk benar-benar menyemarakkan penggunaan besar-besaran kereta elektrik, kerajaan harus mempertimbangkan pendekatan yang lebih adil dengan menyamakan VAT ke atas caj awam dan swasta serta mengurangkan VAT ke atas kereta elektrik terpakai."

Steve Gooding, pengarah badan amal penyelidikan permotoran, Yayasan RAC, berkata: "Tahun yang akan datang ini perlu menjadi tahun yang baik untuk jualan kenderaan elektrik atau syarikat kereta akan gagal memenuhi sasaran jualan sifar pelepasan mandatori mereka dan negara akan gagal dalam usahanya untuk beralih kepada permotoran hijau."

"Pada penghujung tahun 2023, terdapat satu juta kereta elektrik bateri tulen di UK."

"Ini kedengaran banyak tetapi perlu dilihat dalam konteks keseluruhan jumlah kereta yang berjumlah hampir 33 juta."

"Jalan untuk mengurangkan kesan pemanduan terhadap alam sekitar masih panjang."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 5:41 PM