BYD muncul sebagai pemimpin pasaran EV di Malaysia.
BYD muncul sebagai pemimpin pasaran EV di Malaysia.

Kuala Lumpur: Sime Darby Beyond Auto (SDBA), pengedar eksklusif BYD di Malaysia meraikan pencapaian cemerlang 2023 apabila BYD muncul sebagai peneraju pasaran kenderaan elektrik (EV) di negara ini.

Kejayaan itu, sekali gus memperlihatkan populariti BYD seiring dengan minat yang semakin bertambah dalam kalangan rakyat Malaysia untuk menggunakan pengangkutan lestari.

Pengarah Urusan Asia Tenggara Sime Darby Motors, Jeffrey Gan berkata, pencapaian jualan EV tertinggi pada 2023 itu mencerminkan sokongan dan kepercayaan kukuh oleh pengguna Malaysia terhadap BYD.

"Rangkaian sokongan selepas jualan kami yang menyeluruh di seluruh negara ialah pembeza penting kejayaan ini.

"Kami teruja untuk menyediakan perkhidmatan luar biasa dan penjagaan teknikal kepada semua pemilik BYD," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, SDBA menyambut ketibaan 2024 dengan sambutan luar biasa apabila lebih 660 tempahan diterima sehingga hujung minggu lalu bagi model BYD ATTO 3 dan BYD DOLPHIN.

SDBA berkata, sejajar dengan kejayaan ini, syarikat itu bakal melancarkan siri promosi menarik, tawaran eksklusif dan kempen hebat dengan kadar faedah sifar.

"Inisiatif ini dirangka untuk mengekalkan momentum dan memberikan nilai yang tiada tandingan kepada pengguna yang mahu beralih kepada EV," katanya.

Sementara itu, BYD ATTO 3 berjaya menempa nama sebagai model pilihan utama dalam kalangan rakyat Malaysia, terutama disebabkan harga menarik, menjadikan pemilikan EV lebih mudah bagi lebih ramai orang dan sesuai bagi seisi keluarga.

Selain harga berpatutan, BYD ATTO 3 adalah kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama yang dibina menggunakan e-platform 3.0 lanjutan BYD, dengan jarak perjalanan hebat sehingga 480 kilometer (km) dengan cas penuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 6:20 AM